Di Malaysia, purata suhu cuaca adalah pada sekitar 35 darjah celcius dan tahap kelembapan hampir mencecah 100 peratus sekali gus menyebabkan permintaan terhadap pendingin hawa terus meningkat pada setiap tahun seperti mana negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Jadi, tidak hairanlah mengapa bidang penyejukan dan penyamanan udara turut sama meningkat naik malah semakin berkembang bukan sahaja secara domestik tetapi juga dalam perindustrian.
Permintaan terhadap pendingin hawa yang semakin tinggi bukan sahaja membuka peluang untuk juruteknik melakukan pemasangan tetapi juga permintaan untuk servis berkala dan baik pulih.
Dasar kerajaan yang menggalakkan tenaga baharu yang mesra alam dan jimat elektrik juga menjadikan bidang ini sentiasa berkembang dan lebih ramai pekerja diperlukan untuk memenuhi keperluan industri.
Menurut guru Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32, Triang, Pahang, Nasrul Hakim Zakaria, pelajar yang berhasrat untuk menceburi bidang penyejukan dan penyamanan udara mestilah mempunyai minat yang mendalam dalam aspek ketukangan.
"Bidang ini turut melibatkan elektrik dan mekanikal malah amat penting bagi pelajar mempelajari kemahiran pendawaian dan motor elektrik serta peralatan ujian untuk menguji komponen yang memerlukan asas mengira dan membaca.
"Dalam bidang ini, sijil yang diperoleh adalah amat berharga. Persijilan ini bergantung kepada institusi yang menawarkan kursus tersebut. Contohnya, Sijil Kecekapan Kemahiran (CIDB), Sijil Profesional GIATMARA (SPGM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
[caption id="attachment_39713" width="408"] Pelatih perlu memberi penerangan terlebih dahulu kepada pelajar.[/caption]
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa sekolah menengah yang menawarkan PVMA sudah ditawarkan dengan SKM Tahap Satu dan Dua. Bagi bidang Penyejukan dan Penyamanan Udara, ia bermula dengan Tahap Dua dan ditawarkan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima.
Mengulas lanjut, Nasrul Hakim berkata, pelajar boleh menyambung ke tahap lebih tinggi di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) atau pusat bertauliah swasta.
"Peluang kerjaya sentiasa terbuka dan apa yang penting bagaimana pelajar merebut peluang dan terus belajar mempertingkatkan kompetensi semasa bekerja.
"Di industri atau sektor komersial, pelbagai unit pendingin hawa digunakan dan ini memerlukan kemahiran serta kepakaran tertentu. Industri ini sentiasa menyediakan permintaan kerana ia memerlukan servis dan penyelenggaraan berkala supaya kos operasi berada pada tahap optimum.
"Lepasan bidang ini boleh bekerja di kedai elektrik, syarikat servis atau di syarikat pengilang pendingin hawa dan boleh bermula di peringkat asas sebagai juruteknik servis, penyelia, pembantu jurutera, jurutera hingga ke peringkat pengurusan,” jelasnya.
[caption id="attachment_39715" width="561"] Pelajar akan mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang kondusif dan selesa.[/caption]
Sektor perhotelan, perubatan, penternakan, peruncitan, pengangkutan sejuk beku, makmal komputer dan sebagainya turut memerlukan juruteknik yang mahir dalam bidang penyejukan dan penyamanan udara ini.
Selain itu, lepasan bidang ini juga boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menyediakan perkhidmatan pasang dan servis atau penjualan alat ganti.
Pada hari ini kompetensi pekerja sangat penting dalam suatu organisasi. Majikan memerlukan pekerja yang kompeten dan cekap dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
Oleh itu, pelajar mestilah memiliki kelulusan yang diperlukan terlebih dahulu di samping nilai-nilai insaniah yang diperolehi semasa proses pembelajaran.
Apabila telah tamat pembelajaran, rebutlah peluang yang ada dalam bidang berkaitan dengan terus bekerja dalam mencari pengalaman kerana ia jauh lebih berharga daripada sekeping sijil.
Artikel berkaitan
3 kemahiran yang perlu ada jika memilih kulinari sebagai kerjaya
5 tip permulaan bagi pelajar yang memilih dunia jahitan atau bidang fesyen sebagai kerjaya
Kemahiran dan pemikiran yang harus diterapkan oleh Gen Z untuk membina kerjaya