Perkongsian Cikgu Fadli Salleh mengenai seorang guru yang terseliuh kaki mendapat perhatian dalam kalangan warga maya.
Ini kerana kisah yang dikongsi cikgu tersebut menerusi akaun Facebooknya itu benar-benar menjentik emosi warganet hingga membuatkan ada sebahagian daripada mereka hampir menangis.
Catatan yang mendapat lebih 7,000 tanda suka, ratusan komen dan perkongsian itu, menceritakan tentang seorang guru yang dilihat cukup disayangi semua murid, telah dibantu anak-anak muridnya yang berada di kelas hujung disebabkan kakinya yang sakit.
Walaupun anak-anak ini daripada kelas hujung, namun mereka punya akhlak dan adab yang cukup tebal dalam diri. Mana tidaknya, mereka secara spontan sanggup menolong guru perempuan yang terseliuh kaki dan mula memapah beramai-ramai. Penulis pula sebak!
Sementara itu, posting yang ditulis oleh guru yang mengajar di Gombak, Selangor, itu secara tidak langsung telah membuatkan ramai warganet gagal menahan air mata apabila membacanya.
Masing-masing mula memberi ucapan dan kata-kata semangat kepada mereka.
Tidak lupa juga, ramai yang mendoakan agar cikgu tersebut cepat sembuh dan murid-muridnya sentiasa dalam lindungan ALLAH.
Antara komen mereka
Mohd Hafiz Sifubiz: Selalunya murid yang kelas hujung ini lebih menghargai cikgunya. Jumpa di mana pun tetap tegur cikgu.
Nurul Jannah Nazri: Alhamdulillah begitulah anak-anak. Setiap daripada mereka keistimewaannya juga berbeza.
Hiroshe Hana: Hebat anak murid sekolah ini, hasil didikan cikgu, pihak sekolah dan ibu bapa sendiri. Aamiin.
Mohd Khairul Hafizan: Alhamdulillah moga semua jadi anak-anak yang soleh.
Alin Idris: Anak-anak yang baik. Semoga kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.
Noriah Daud: Alhamdulillah, terharu baca kemenjadian anak-anak ini.
Rokiah Siti: Keep on highlight this kind of reality, anak-anak kita masih punya hati sanubari.
Azimah Abdullah: Insya-ALLAH, semoga ramai anak-anak yang menjadi insan berguna suatu hari nanti.
Selanjutnya, Sinar Bestari kongsikan coretan Cikgu Fadli untuk tatapan semua pembaca yang dihormati.
Ini kisahnya.
*****
Minggu lepas, sewaktu naik ke kelas tingkat atas, seorang guru perempuan terseliuh kaki ketika menaiki tangga.
Guru ini mengajar kelas hujung. Kelas murid-murid yang selalu juga jadi rungutan guru kerana nakal, bising, malas buat kerja dan sebagainya.
Aku kebetulan berjalan dibelakang guru ini masa kejadian berlaku. Terhincut-hincut si guru memanjat tangga dan berjalan. Murid kelas dia nampak guru seperti itu, berlari memimpin tangan dan memapah guru.
Kawan yang lain nampak dari jauh bagitahu kawan-kawan lain pula. Pakat datang mengerumuni guru hendak membantu.
"Cikgu, pegang bahu saya.”
"Cikgu, cikgu sakit dekat mana?”
"Woi! Woi! Ambil kerusi cepat kat cikgu, letak di depan biar cikgu duduk,” jerit yang lain arah kawan dia bersedia terima cikgu yang baru masuk kelas.
Kawan-kawan bergilir papah dan pimpin tangan.
Anak-anak kita, penuh dengan kejutan. Kurang di situ, lebih di sini.
Seronok aku lihat kemenjadian sikap anak-anak ini di depan mata. Akhlak, adab, itu masih menebal dalam diri mereka.
Sesungguhnya, sebelum ilmu itu adalah adab.
Tahniah anak-anak.
Sumber: Facebook Cikgu Fadli Salleh
Artikel berkaitan
Kerana Ammar, sekumpulan guru sanggup kumpul duit dan jahit seluar sekolah. Warga maya sebak!
Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester
Berjaya genggam ijazah walau serba kekurangan, semangat Mahavithia buat ramai kagum!