Kekecewaan jelas terbayang pada wajah Izz Khalisa Amri apabila menerima keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, baru-baru ini.
Dengan keputusan kurang cemerlang iaitu 1B+, 2B, 1C+, 1E dan 3G, ia telah membuatkan Izz Khalisa sedih dan hampir putus asa.
Katanya, dia sudah berusaha dengan mengulang kaji pelajaran di rumah. Namun, disebabkan pembelajaran era pandemik, menyukarkan Izz Khalisa untuk belajar sehingga mengakibatkan dia hilang fokus.
Tidak mahu gagal sekali lagi, Izz Khalisa mula mencari solusi untuk bangkit dan mengejar keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sebenar.
Langkah pertama, Izz Khalisa menyertai program Selekoh Akhir Pecutan SPM anjuran Pusat Peningkatan Akademik dan Pakar Dalam Membantu Pelajar SPM (PTTI). Dari sini, dia mula belajar bersungguh-sungguh dengan bimbingan guru-guru PTTI.
Usaha tanpa henti yang dilakukan bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor ini, menjadikan keputusan peperiksaan SPM yang sebenar sangat mengejutkan Izz Khalisa dan ahli keluarganya.
Jelasnya, dia memperoleh keputusan 5A 4B dalam SPM 2021 dan 5A itu terdiri daripada subjek Bahasa Melayu (A+); Sejarah (A-); Matematik (A); Prinsip Perakaunan (A) dan Kimia (A-).
Manakala 4B adalah mata pelajaran Bahasa Inggeris (B); Pendidikan Islam (B+); Matematik Tambahan (B+) dan Fizik (B+).
Kerana kejayaan luar biasa Izz Khalisa ini, pihak PTTI telah memilih pelajar hebat tersebut untuk menerima anugerah SPM batch 04.
Penganugerahan yang diadakan pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 di Double Tree Hotel by Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini bertujuan meraikan pelajar-pelajar SPM 2021 yang memperoleh kejayaan cemerlang hasil usaha pusat peningkatan akademik yang terulung ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput untuk menyampaikan anugerah kepada pelajar terpilih dan dalam masa sama, Dr Mahathir turut menjadi ahli panel bagi Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara yang diadakan bersempena majlis tersebut.
Pendapat Dr Mahathir
Sementara itu, Dr Mahathir tidak ketinggalan berkongsi pendapat mengenai usaha dalam mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini menerusi wacana berkenaan.
Program yang dimoderatorkan oleh Muhd Habibunajjar Sazali itu turut menyentuh mengenai teknologi dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh guru-guru.
Dr Mahathir berkata, teknologi bergerak laju dan hampir setiap hari ada penemuan baharu. Ini bermakna, menjadi keperluan untuk kita melengkapkan pelajar dengan kepelbagaian kemahiran.
"Kita perlu akur bukan semua guru mempunyai kemahiran sedemikian. Jadi, para guru perlu dilengkapi dengan ilmu baharu sekali gus membolehkan pelajar menerima ilmu tersebut daripada cikgu mereka,” ujarnya.
Kunci kejayaan
Dalam pada itu, Izz Khalisa turut berkongsi beberapa tip kejayaannya dalam SPM 2021.
Katanya, doa dan dorongan daripada ibu bapa adalah kunci kejayaan yang utama selain tidak mudah putus asa dan sentiasa konsisten dalam kelas.
"Jangan suka ponteng kelas kerana sikap ini sangat merugikan. Kemudian, teruskan ulang kaji di rumah dan di mana sahaja kita berada.
"Seperkara lagi, jangan suka bandingkan keputusan sendiri dengan kawan-kawan yang lain. Bandingkan sahaja keputusan peperiksaan sendiri dengan bulan lalu. Jika ada peningkatan, maksudnya kita mampu buat dan ia boleh menjadi lagi cemerlang. Yang penting, jangan putus asa,” ujarnya.
Artikel berkaitan
Kisah murid kelas hujung berebut bantu guru terseliuh kaki buat warga maya hampir menangis!
Trend tayang keputusan SPM semua ‘G’ di TikTok, bukan satu kebanggaan
11 pelajar Henry Gurney buktikan kemampuan, raih keputusan cemerlang dalam SPM 2021