Bagi pelajar yang kreatif dan berbakat dalam dunia fesyen sejak di bangku sekolah, mereka bolehlah menceburi bidang pereka kostum.
Pekerjaan itu menjamin pendapatan lumayan kerana tidak ramai yang menceburinya. Jadi, sebagai langkah awal adalah dengan melanjutkan pengajian dalam jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selepas tamat pengajian boleh mengorak langkah dan menjadi hebat seperti pereka kostum bertaraf antarabangsa, Carven Ong, 54. Anak kelahiran Taiping, Perak, itu mempunyai hobi melukis sejak kecil dan merupakan seorang insan yang bertuah apabila apa yang digemarinya mendapat sokongan daripada ahli keluarga terutama kakaknya.
Bakatnya yang semakin menyerlah dari sehari ke sehari memperlihatkan jejaka berketurunan Tiong Hua itu telah 'dilamar' menjadi pereka kostum peranakan Baba dan Nyonya yang diperagakan ratu cantik Malaysia 2019, Shweta Sekhon.
Busana yang diperagakan itu bukan sahaja mendapat perhatian serata dunia tetapi turut menjulang nama Caven sebagai pereka kostum dari Malaysia.
Bermula dengan pembuatan busana untuk barisan artis negara, kini Carven juga antara pereka kostum yang terkenal.
Bercerita lebih lanjut mengenai penglibatannya dalam rekaan kostum, Carven memberitahu, semuanya bermula apabila penganjur acara Miss Universe 2019 di Amerika Syarikat memberi tanggungjawab tersebut kepadanya bagi menghasilkan kostum untuk wakil Malaysia.
Berbekalkan modal sebanyak RM15,000, anak bongsu daripada tujuh beradik itu menghasilkan busana yang menggabungkan budaya Melayu, Cina, Baba dan Nyonya dalam tempoh tiga bulan untuk dipertandingkan dalam Miss Universe yang ke-68 bagi kategori kostum kebangsaan.
Walaupun Shweta tidak memenangi sebarang gelaran dalam pertandingan tersebut, namun ‘buah tangan’ Carven ini telah dipilih sebagai penerima World Most Outstanding Fashion Designer Grandmaster Excellent Award yang diadakan di Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu.
"Acara tersebut sepatutnya berlangsung tahun lalu, namun disebabkan Covid-19 ia ditangguhkan hampir dua tahun sebelum diputuskan untuk dilaksanakan awal tahun ini.
"Anugerah itu diberikan berdasarkan pencapaian saya yang berjaya menghasilkan busana untuk Shweta dan juga barisan pelakon filem Crazy Rich Asians."Persembahkan seni ini bukan sahaja dihasilkan untuk masyarakat di negara ini malah ia juga untuk dibawa ke peringkat antarabangsa dan disebabkan itulah, pengiktirafan ini diberikan,” katanya ketika ditemui di butiknya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, Crazy Rich Asians adalah sebuah filem Hollywood yang memaparkan kehidupan masyarakat Asia yang datangnya daripada golongan orang berada.
"Mereka datang ke Malaysia dan Singapura untuk menerbitkan filem ini, pada masa sama juga ‘fitting’ pakaian yang telah ditempah.
"Saya beruntung sebab terpilih dan berpeluang menjadi pereka dari Malaysia yang menghasilkan busana untuk mereka.
"Melaluinya, saya meraih keuntungan dengan menghasilkan lebih kurang lapan busana ‘custom-made’ dalam tempoh masa sebulan setengah,” ujarnya yang sudah 32 tahun berkecimpung dalam industri fesyen.
Berbicara pula mengenai kemahiran sebagai pereka kostum, katanya, bagi pelajar-pelajar yang berminat perlu tahu menggunakan komputer dan segala perisian lukisan yang ada hari ini.
"Ini akan membantu kita membuat ilustrasi lukisan supaya lebih jelas selain mestilah mempunyai asas menjahit pakaian.
"Saya dahulu pun tidak suka menjahit, tetapi apabila masuk ke dalam industri ini, saya sedar betapa pentingnya seorang pereka itu untuk mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam jahitan.
"Saya akui bukan mudah hendak menguasai kemahiran ini sebab saya sendiri mengambil masa 15 tahun untuk betul-betul pakar. Jadi, memang perlu rajin dan bersungguh-sungguh mempelajarinya,” tutur beliau.
Untuk itu, Carven tidak lokek berkongsi enam tip pembuatan kostum yang selesa dan bersesuaian kepada semua pembaca.
*
Tip 1: Cari inspirasi
• Untuk menghasilkan kostum yang menarik, ia memerlukan pereka mencari ilham terlebih dahulu dengan merantau ke banyak tempat sesuai dengan bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Apabila dapat inspirasi, maka ia akan memudahkan proses untuk menghasilkan busana. Selain itu, idea juga boleh diperoleh melalui pembacaan di internet atau buku-buku rujukan.
Tip 2: Draf lakaran
• Melukis adalah elemen penting yang perlu ada pada seorang pereka kostum kerana proses awal hingga akhir menitikberatkan seni ini. Jika pereka mendapat ‘job’ daripada pelanggan atau penganjur, ia akan ambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan beberapa draf lakaran yang sewajarnya. Dari situ, pilih satu lukisan yang terbaik untuk dijadikan satu-satunya rujukan sehingga busana siap.
Tip 3: Pilih material
• Material yang bagus akan memberikan impak kepada produk akhir itu nanti. Sebagai contoh, songket dan batik merupakan material utama untuk menghasilkan kostum kebangsaan negara. Ia bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas mengenai budaya Malaysia kepada masyarakat luar manakala kuih-muih tempatan dan hiasan juga sering dipadankan sekali dalam kostum yang dihasilkan.
Tip 4: Ukur
• Model yang memperagakan busana akan datang ke butik pereka supaya ukuran badannya dapat diambil. Ini bagi memastikan kostum yang akan menjadi produk kelak bersesuaian dengan bentuk tubuh si pemakai tanpa sebarang masalah. Secara tidak langsung, pereka dapat mewujudkan komunikasi berkesan dengan model yang akan mempromosikan hasil tangan mereka.
Tip 5: ‘Fitting’
• Akan ada 'fitting' pertama, kedua dan ketiga yang bertujuan untuk melihat kekurangan yang ada pada busana, kemudian akan ditambah dengan manik-manik atau hiasan yang lain. Selain itu, ia juga bagi memastikan kostum yang dihasilkan praktikal dengan model yang akan memperagakannya nanti.
Tip 6: Jahit atau tampal
• Untuk sesetengah kostum yang sudah siap dijahit pula akan ditampal dengan sulaman dan manik-manik.
Artikel berkaitan
6 tip menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik
6 tip menjadi akauntan bertauliah
6 tip buat pemancing udang galah