HomeGen Z6 tip menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik

6 tip menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik

Sesungguhnya tulisan jawi ini sangat unik kerana huruf-hurufnya diambil daripada bahasa Arab akan tetapi bunyinya mengikut rumi sekali gus menjadikan ia satu keunikan yang tidak ada pada tulisan lain.

Masyarakat hari ini beruntung kerana ulama terdahulu telah membantu memudahkan urusan harian terutama dalam penyebaran agama Islam ke Tanah Melayu malah kitab-kitab Arab juga diterjemah serta disampaikan kepada masyarakat umum menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi.

Di sekolah turut diajar subjek Jawi supaya ia tidak terus luput ditelan zaman atau dilupakan oleh generasi muda pada hari ini.

Sehubungan itu, minggu ini Sinar Bestari mendapatkan pandangan daripada Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), Mohd Nor Salam Othman yang juga Jurulatih Utama dan Ketua Hakim Khat Sekolah Rendah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengenai tip untuk menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik.

Mohd Nor Salam.

Berguru

Setiap perkara baharu memerlukan ilmu untuk dikuasai dengan lebih baik, sama seperti tulisan jawi. Murid yang ingin mengenal jawi, membaca dan menulis wajib belajar dengan guru yang lebih mahir. Sebagai contoh murid boleh belajar di sekolah rendah ataupun di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Kementerian Pendidikan (KPM) telah memberi pendedahan awal kepada murid untuk mengenal jawi kepada semua lapisan masyarakat tidak kira Melayu, Cina, mahupun India. Belajar jawi adalah sebagai menghargai warisan Tanah Melayu yang menyatukan semua kaum.

Sumber rujukan terbaharu

Selain perlu berguru untuk menguasai Jawi dengan baik, seorang murid atau guru juga haruslah mempunyai sumber rujukan kaedah penulisan jawi terbaharu yang diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan merupakan antara rujukan paling bagus digunakan dengan penerangan yang sangat mudah dan jelas. Ini kerana terdapat banyak kaedah jawi agak memeningkan murid serta guru, akan tetapi usaha DBP memperkenalkan buku ini sangat dihargai.

Gambar hiasan daripada internet.

Minat

Bagi seorang murid yang ingin menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik, sebenarnya ia lahir daripada minat. Kecenderungan untuk memperbaiki bacaan dan tulisan itu lahir daripada minat yang mendalam serta cinta terhadap seni kaligrafi khat yang berkait rapat dengan tulisan jawi. Contohnya, menulis apa sahaja perkataan dalam tulisan jawi dalam buku catatan sama ada sewaktu belajar ataupun waktu senggang sejak di bangku sekolah rendah sehingga ke alam pekerjaan. Minat ini membawa kepada tercetusnya hobi menghasilkan kaligrafi Islamik moden. Sekiranya tiada minat terhadap tulisan jawi, maka sukar bagi seseorang untuk kuasai tulisan jawi dengan baik dan cantik.

Sertai pertandingan

Terdapat banyak pertandingan yang telah diadakan oleh pelbagai pihak untuk memupuk rakyat menulis jawi. Setiap pertandingan disediakan hadiah serta cenderahati yang lumayan. Untuk bersaing dengan bakat-bakat yang hebat, usaha yang lebih perlu dilakukan oleh setiap murid dalam menguasai penulisan jawi supaya dapat memberikan saingan yang hebat buat semua. Jadi, untuk menguasai jawi dengan baik, murid harus mencabar diri dengan menyertai setiap pertandingan yang diadakan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Dorongan ibu bapa

Ibu bapa juga memainkan peranan yang sangat penting. Ini kerana ramai ibu bapa hari ini sendiri tidak mampu untuk membaca jawi dengan baik dan tidak mendedahkan kepada anak mereka untuk mengenal jawi. Ibu bapa harus bersama-sama dengan anak mencari jalan untuk menguasai jawi dengan baik supaya tulisan jawi tetap dipelajari oleh generasi akan datang.

Latihan berterusan

Setiap perkara harus dilazimi untuk kita mahir dalam bidang tersebut. Begitu juga dengan tulisan jawi. Murid yang ingin mahir dalam pembacaan dan penulisan jawi harus rajin melakukan latihan pembacaan dan penulisan berterusan. Latihan berterusan ini adalah asas kepada penulisan jawi yang baik dan cemerlang.

Artikel berkaitan 

Nak jadi peguam tetapi tidak tahu laluan yang betul? Mohon hadam info penting ini

Kemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang kulinari 

Fakta menarik untuk pelajar ambil tahu; 4 mata wang nilai paling tinggi di dunia 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok