Sekiranya pelajar meminati bidang fesyen dan menyimpan impian untuk menjadi tukang jahit profesional serta membuka butik pakaian satu hari nanti, Sains Rumah Tangga (SRT) adalah jurusan yang sewajarnya dipilih ketika berada di Tingkatan Empat.
Dahulunya dikenali sebagai Ekonomi Rumah Tangga (ERT), namun selepas penjenamaan semula ia ditukarkan ke SRT.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan (KPM) masih mengekalkan topik Pakaian dan Jahitan dalam sukatan mata pelajaran tersebut.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Buloh, Selangor, Muhammad Azimi Noorisyam,16, jurusan SRT tidak hanya terhad kepada pelajar perempuan malah pelajar lelaki juga dibenarkan mengikuti aliran ini.
Buktinya, di kelas Muhammad Azimi sendiri, terdapat lapan pelajar lelaki termasuk dirinya, manakala 30 lagi dimonopoli oleh pelajar perempuan.
"Pada mulanya saya sangka subjek SRT membosankan tetapi lama-kelamaan saya seronok berada dalam aliran ini.
"Ibu bapa juga menyokong minat saya dan tidak memaksa mengikuti aliran lain yang belum tentu boleh score dengan cemerlang.
"Sekarang kami baru didedahkan dengan topik awal mengenai jahitan, selepas ini nanti akan belajar kemahiran menjahit dengan lebih mendalam,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, apabila didedahkan dengan kemahiran jahitan tidak lama lagi, Muhammad Azimi bercadang untuk mengambil upah menjahit baju.
"Biarlah melakukan kesalahan sekalipun kerana belajar daripada kesilapan itu lebih baik.
"Untuk kelas jahitan nanti, kami perlu menghasilkan pakaian di mana markahnya diambil dan ini merupakan kerja kursus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Untuk SPM nanti, saya target gred A bagi subjek ini kerana ia adalah mata pelajaran yang senang, kalau kita belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Tambahnya, dia akan mengambil tempahan untuk pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.
"Dari situ saya akan mendapat sumber pendapatan dan menimba banyak ilmu pengetahuan.
"Insya-ALLAH sekiranya ada rezeki saya ingin membuka butik satu hari nanti tetapi biarlah saya mendalami lagi ilmu jahitan ini," tuturnya.
Ditanya mengenai bidang pembuatan kostum, Azimi memberitahu dia menyimpan impian untuk menghasilkan rekaan campuran daripada budaya Melayu dan Jepun.
"Saya sebenarnya hendak mencuba sehelai baju Melayu diubah menjadi karakter anime dengan elemen samurai.
"Kalau buat carian di Google akan nampak satu nama karakter, dikenali sebagai Tanjiro dan Zangetsu, saya ambil inspirasi dari situ.
"Kostum ini saya akan sesuaikan dengan budaya Melayu kita di mana akan ada penataan tanjak, katana atau pedang digantikan dengan keris dan bagi pemilihan warna baju pula kuning, hijau dan hitam,” katanya.
Kursus fesyen GiatMARA
Sementara itu, pelajar SMK Kuala Perlis, Perlis, Nur Aina Zurina Ali, 17, berkata, untuk menghasilkan sepasang baju kurung, masa yang diambil adalah kurang dari tiga minggu.
"Ini termasuk sebahagian dalam kerja kursus SRT seperti yang digariskan dalam silibus dan ia menyumbang markah untuk SPM nanti.
"Buat masa sekarang, saya masih belum tahu lagi berapa markah yang diperoleh walaupun sudah berada di Tingkatan Lima.
"Jadi kami fokus untuk topik masakan dahulu kerana ia juga akan ada kerja kursus di mana markah ini akan digabungkan dengan penilaian kerja kursus jahitan tahun lalu,” ujarnya yang ingin menyambung kursus di GiatMARA selepas tamat SPM.
Tambahnya, kursus jangka masa pendek itu akan diambil di luar negeri kelahiran kerana Nur Aina Zurina yang lebih mesra disapa Aina mahu mencari pengalaman.
"Kalau boleh saya ingin menyambung pengajian di Kuala Lumpur sebab sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa, di samping ada ramai kenalan dan sepupu di sana.
"Kemudian, saya bercadang untuk mengumpul modal dan apabila kewangan sudah stabil akan dibuka pula butik pakaian di Pulau Pinang.
"Bagi saya, di sana terdapat banyak tempat yang menjadi tarikan pengunjung dan menarik perhatian,” jelasnya yang tidak berminat membuka butik di dalam pusat membeli belah.
Baginya, langkah itu untuk mengelakkan sebarang persaingan dengan peniaga-peniaga lain yang menjual produk yang sama.
"Antara barangan yang saya hendak jual nanti ialah pakaian selain baju pengantin, sebab hari ini sudah terlalu banyak berada di pasaran.
"Jadi saya nak buat sesuatu yang orang jarang buat seperti ‘dress’ yang mempunyai keunikan dan gaya yang tersendiri,” tutur pelajar itu.
Sambungnya, andai suatu hari nanti perniagaan butik pakaian di Pulau Pinang sudah besar, dia berharap akan ada penaja menawarkan projek membuat kostum untuk acara mereka.
"Dari situ saya akan membina karier dalam industri fesyen.
"Jadi mungkin dari sebuah butik pakaian, saya akan menimba ilmu untuk menjadi pereka kostum dan mengembangkan lagi bisnes sedia ada.
"Sebab saya ingin ketengahkan baju kurung Kedah di peringkat antarabangsa, semoga mereka nampak keunikan Malaysia yang sebenarnya,” katanya mengakhiri bicara.
Artikel berkaitan
Kerana Ammar, sekumpulan guru sanggup kumpul duit dan jahit seluar sekolah. Warga maya sebak!
4 tip pilih warna pakaian ke temu duga
Impian Orang Asli, Arisna mahu jadi contoh terhadap komuniti