KPM perkasa pelantar DELIMa 2.0, gabung 3 aspek penting untuk pembelajaran menyeronokkan

Iklan
KPM perkasa portal DELIMa 2.0, gabung 3 aspek penting untuk pembelajaran menyeronokkan

Akses dan kandungan digital yang berkualiti memainkan peranan untuk meningkatkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran serta pemupukan sikap dan nilai murni murid.

Iklan
Iklan

Penyediaan pelbagai sumber pendidikan yang interaktif dan menyeronokkan dapat memperluas peluang murid untuk belajar, meningkatkan motivasi dan prestasi bagi membangunkan potensi serta bakat mereka secara menyeluruh.

Iklan

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) secara konsisten berusaha untuk menyediakan akses dan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi kegunaan guru dan murid termasuk bahan sokongan untuk murid berkeperluan khas.

Iklan

"Malah, murid dan guru juga digalakkan untuk menyediakan kandungan PdP untuk dikongsikan kepada komuniti pendidikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di Dewan Perdana Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), pada Isnin.

Katanya, DELIMa ialah pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan PdP dalam talian.

DELIMa mula diperkenalkan pada 1 Julai 2019 dengan Bilik Darjah Google (Google Classroom). Sejak itu, murid dan guru menerima pakai DELIMa melalui penggunaan yang amat memberangsangkan.

Sambung beliau, sehingga 4 Ogos lalu, 99 peratus guru dan 85 peratus murid menggunakan DELIMa dalam PdP secara aktif melibatkan 5.3 juta pengguna yang merangkumi semua guru dan murid di sekolah-sekolah bawah KPM.

"KPM komited untuk memperkasakan penggunaan DELIMa melalui pembangunan DELIMa versi baharu yang menggabungkan tiga aspek penting iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.

"Ketiga-tiga aspek ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna kepada murid,” ujarnya.

Sebelum itu, majlis pelancaran DELIMa berwajah baharu bertujuan untuk memperkenal, memberi pendedahan, mempromosi dan menyebar luas penggunaan fitur baharu DELIMa.

Adalah diharapkan penggunaan DELIMa dapat melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing dan meningkatkan kualiti pendidikan negara.

INFO

  • Pelantar DELIMa merupakan pelantar pembelajaran pertama di dunia yang merangkumkan semua teknologi terkini melalui pelan pembangunan seni binanya yang unik. Penyesuaian dan integrasi dibangunkan oleh KPM dilaksanakan dengan sokongan daripada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU).
  • Pelantar DELIMa menggunakan rangkaian perkhidmatan yang disediakan oleh Google Workspace for Education termasuklah Bilik Darjah Google atau Google Classroom (GC) sebagai aplikasi utama.
  • Perkhidmatan yang disediakan dalam DELIMa diperluas apabila Microsoft Malaysia menyertai pelantar ini mulai 1 Januari 2020 dengan menyediakan aplikasi dan perkhidmatan Microsoft. Mulai Mac 2022, Apple Malaysia pula menjadi rakan kongsi dengan menawarkan kandungan digital.
  • Melalui kerjasama ini, KPM telah berjaya menggabungkan tiga syarikat gergasi teknologi dunia ini untuk sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
  • Selain daripada kandungan digital untuk PdP seperti buku teks digital, video dan webinar, DELIMa turut menyediakan ruang kepada rakan perkongsian pintar yang berminat.
  • Petrosains dan Shell merupakan antara rakan kongsi yang menyediakan pelbagai sumber dan aktiviti kepada guru dan murid. Selain itu, United Nations International Children's Emergency Fund (UNICEF) juga telah membangunkan aktiviti seperti Kemahiran Masa Depan dan Pendidikan Kewarganegaraan Global.

Pembangunan DELIMa

Reka bentuk DELIMa 1.0 memberi tumpuan kepada tiga bahagian utama iaitu:

1) Aplikasi (contoh Google Classroom dan Google Meet)

2) Kursus dalam talian untuk guru (contoh Komuniti Guru Digital Learning) dan murid (contoh Global Citizenship Education)

3) Kandungan digital (contoh buku teks digital) tersedia ada untuk pengajaran dan pembelajaran.

Evolusi DELIMa seterusnya melibatkan pembelajaran secara personalisasi agar pembelajaran murid lebih bermakna dan terarah.

Ini bermakna pembelajaran digital telah beralih daripada Sistem Pengurusan Pembelajaran kepada Persekitaran Pembelajaran Peribadi.

Berdasarkan konsep ini, KPM mula membangunkan DELIMa 2.0 pada September tahun lalu yang menggabungkan prinsip dan pengalaman pengguna dalam persekitaran pembelajaran peribadi.

Penambahbaikan DELIMa

  • Pada tahun 2022, KPM telah berjaya menambahbaik DELIMa. Pembelajaran secara personalisasi mula digunakan oleh murid dan guru sekolah KPM. Aplikasi, kursus dan kandungan yang lebih relevan kepada guru dan murid telah tersedia dalam paparan halaman/ruang/dashboard mereka sendiri secara eksklusif.
  • Personalisasi pada asasnya menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran, aplikasi dan perkhidmatan, komuniti dan pembangunan profesional atau kursus pembelajaran yang disesuaikan dengan minat dan kecenderungan pengguna. Setiap pengguna boleh berinteraksi dan memilih jenis aktiviti, aplikasi dan perkhidmatan yang diperlukan untuk mengajar atau belajar.

Fitur Baharu dalam DELIMa: Agenda Digital Kita

Murid dan guru kini boleh log masuk ke halaman DELIMa yang menawarkan perkara berikut:

1) Maklumat Pengguna

Memaparkan maklumat peribadi pengguna.

2) Aplikasi

Perisian yang disediakan untuk pelibatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

3) Aplikasi dan Perkhidmatan Bersepadu

Pelbagai aplikasi dan perkhidmatan berkaitan pengajaran dan pembelajaran disediakan.

4) Pembangunan profesional/kursus pembelajaran/projek dan program

Menawarkan webinar, kursus dan lain-lain kepada guru dan murid.

5) Komuniti

Pengumuman yang dikemaskinikan oleh KPM/negeri/daerah/sekolah.

6) Lencana dan Pensijilan

Setiap pengguna mempunyai portfolio lencana dan sijil dalam halaman peribadi mereka.

Persekitaran pembelajaran peribadi dalam DELIMa turut menggalakkan murid belajar secara kolaboratif bersama murid lain.

Murid boleh mengaplikasi, menganalisis dan mensintesis pengetahuan bagi memudahkan pembelajaran manakala guru berperanan sebagai fasilitator dalam persekitaran pembelajaran digital.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan, Google Malaysia, Marc Woo turut memberi pandangan mengenai DELIMa.

"Pendidikan dan pembangunan kemahiran terus menjadi pemacu utama dalam memajukan ekonomi digital Malaysia bagi memastikan semua rakyat Malaysia menerima manfaat daripada peluang pertumbuhan. Google komited untuk bekerjasama bersama KPM untuk memperkasakan golongan guru dan pelajar Malaysia menerusi pembelajaran digital.

"Dengan DELIMa 2.0, Google memudahkan pembelajaran diperibadikan untuk memenuhi keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dan mencapai hasil pembelajaran yang optimum. Adalah menjadi harapan kami bahawa ia akan memainkan peranan penting dalam menyokong sistem pendidikan negara dan mendorong Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang celik digital, dari segi kecekapan dan kemahiran,” katanya.

Artikel berkaitan 

KPM lancar portal aduan buli

7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok