KPM lancar portal aduan buli
KPM lancar portal aduan buli

KPM lancar portal aduan buli

Roshlawaty Md Raieh
18 Aug 2022 04:26pm
A
A
A

“Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan portal aduan buli bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada mereka.” Demikian kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas melancarkan portal tersebut, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya pagi tadi.

Menurut Radzi, portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli yang berlaku di sekolah.

Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (adubuli@moe.gov.my) dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.

“Talian khas berkenaan boleh dihubungi 24 jam dan setiap aduan akan diambil tindakan segera oleh KPM,” katanya.

Turut dilancarkan ialah program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat iaitu kolaborasi antara KPM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu buli dan salah laku melibatkan penggunaan barang terlarang iaitu dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Radzi berkata, KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli dan pihak sekolah juga telah diarahkan untuk tidak menyembunyikan kes buli di tempat mereka.

“Kita tidak perlu berselindung dan tidak perlu sorokkan (kes buli)…sebab itu ketika saya masuk kementerian jika ada kes buli kami tidak pernah sorokkan.

“Kami maklumkan pada pihak sekolah jangan ada sesiapa yang cuba sorokkan kes buli ini kerana untuk selesaikan masalah, kita kena faham setakat mana perkara ini berlaku,” ujarnya lanjut.

Sambung beliau, pihaknya memandang serius mengenai kejadian buli yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Kerana kecaknaan kementeriaan ini, akaun Facebooknya turut memuat naik beberapa maklumat berkaitan buli sebagai panduan kita bersama.

Yang terbaharu, KPM berkongsi info tentang lima kategori buli yang dikenal pasti boleh berlaku di sekolah.

Kategori tersebut adalah

1. Peras ugut - Minta duit, menyembunyikan barang mangsa dan menjadi orang suruhan

2. Memulau - Tidak dimasukkan dalam kumpulan, tidak suka murid yang ikut peraturan

3. Fizikal - Pukul, tendang, cubit

4. Lisan - Ejek, mencarut

5. Isyarat bukan lisan - Jelir lidah, jegil mata, isyarat lucah

Artikel berkaitan 

Pelaksanaan ‘spotcheck’ mengejut, tangani isu buli di sekolah berasrama 

Bukan kali pertama, ini 4 kes buli sehingga menyebabkan kematian yang pernah berlaku di Malaysia 

Alumni kibar bendera universiti di puncak tertinggi dunia, jayakan misi UPM di Puncak Dunia@Everest 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok