Dua pensyarah kanan dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor iaitu Razif Dasiman (Pensyarah Kanan Fisiologi) dan Fatimah Sham (Pensyarah Kanan Kejururawatan) mencipta kit inovasi Simulasi Luka yang dinamakan ‘WouSim Kit’ untuk kegunaan pembelajaran Simulasi Luka.
Kit yang dihasilkan mereka ini lebih selamat kerana bergred makanan dan diperbuat daripada bahan-bahan campuran asas makanan seperti tepung, bijirin, serbuk teh, jus buah-buahan dan beberapa campuran bahan lain.
Tekstur dan bau yang wangi juga menjadikan kit Simulasi Luka ini mesra pengguna dan lebih selamat digunakan.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Helath and Wellbeing, dan SDG 4 Quality Education, penciptaan inovasi kit Simulasi Luka ini juga telah dijadikan sebagai alternatif gantian kepada produk latex komersil yang digunakan dalam pembuatan model luka palsu.
Inisiatif kit ini mendapat sokongan penuh dan telah digunakan khas dalam beberapa aktiviti Latihan Medan dan Simulasi Bencana oleh pasukan beruniform di UiTM seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Kempen Keselamatan Kebakaran TNB dan model-model lakonan untuk video komersil jabatan berkaitan kecederaan serta kebakaran.
Baru-baru ini, pasukan pensyarah tersebut menerima jemputan untuk mengadakan pameran Wound Simulation sempena Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Peluang ini digunakan sebaiknya oleh mereka dalam memperkenalkan pembelajaran mengenai luka kecederaan, kemalangan dan kebakaran kepada seluruh warga sekolah.
Solekan penghasilan model luka dilakukan secara langsung kepada kumpulan model sukarelawan yang hadir di hadapan para tetamu.
Melalui platform Simulasi Luka ini, para pelajar dapat mempelajari asas kepada jenis-jenis kecederaan, luka dan rawatan asas yang perlu diberikan.
Ketua Projek, Razif berkata, penggunaan kit Simulasi Luka ini akan diperhebatkan lagi penggunaannya kepada mana-mana badan beruniform yang berhajat dan ingin mempelajari dengan lebih jelas berkaitan luka dan kecederaan.
"Selain cadangan untuk mengkomersialkan kit ini, kami juga sedang giat mendapatkan maklum balas daripada para pengguna yang pernah menggunakan kit ini agar penambahbaikan dapat dijalankan ke atas ramuan kit sedia ada.
"Kami juga bercadang untuk memperkenalkan inovasi kit ini kepada penggiat filem dan drama yang ingin menyiapkan pelakon mereka dengan babak kecederaan atau kemalangan,” katanya dengan menambah bahan campuran dalam kit Simulasi Luka perlu ditetapkan resipinya agar luka yang dihasilkan tahan lama, berkualiti dan menarik.
Artikel berkaitan
Juru X-ray: Kerjaya diperlukan, Kolej Vision tawar program Diploma Pengimejan Perubatan
Tersenarai dalam Malaysia Book Of Records, Dr Soo Wincci kini pensyarah muzik di UiTM
7 kriteria pemarkahan inovasi atau produk yang perlu guru ambil tahu. Penting!