Dengan isu inflasi dan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang berlaku dalam negara dan juga di serata dunia ketika ini, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar.
Proses pembelajaran secara dalam talian ini dapat menjimatkan lebih banyak kos sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan harian para pelajar.
Baru-baru ini, kita telah didedahkan dengan isu peningkatan harga barangan dan perkhidmatan termasuk makanan yang dijual di kantin sekolah dan di universiti susulan isu inflasi dan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan yang berlaku pada waktu ini.
Isu inflasi dan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ini tidak dapat dielakkan oleh mana - mana pihak kerana ia turut berlaku di serata dunia.
Semua negara kini dalam proses untuk membangunkan semula sektor ekonomi mereka selepas terjejas teruk akibat penularan virus Covid-19 pada awal tahun 2020.
Semua pihak harus menerima hakikat bahawa usaha untuk memulihkan semula sektor ekonomi akan memakan tempoh masa yang panjang.
Sektor ekonomi tidak boleh dipulihkan dalam tempoh masa yang singkat. Oleh yang demikian, satu langkah proaktif perlu diambil semua pihak bagi mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan yang ditanggung mereka.
Majikan di sektor pekerjaan boleh memperkenalkan sistem aturan kerja secara fleksibel dan amalan bekerja dari rumah bagi mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan pekerja mereka.
Manakala di sektor pendidikan pula, pihak kerajaan melalui KPM dan KPT boleh melaksanakan semula proses pembelajaran secara dalam talian bagi mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan pelajar.
Jimat kewangan dan perbelanjaan
Proses pembelajaran secara dalam talian dapat menjimatkan kos kewangan dan perbelanjaan semua pihak.
Dengan melaksanakan pembelajaran sebegini, para pelajar tidak perlu lagi membazirkan wang untuk bergerak ke sekolah setiap hari dan pulang semula ke rumah dengan menaiki kenderaan awam seperti bas atau van sekolah.
Mereka juga tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli makanan di kantin atau di kedai - kedai makan, membeli pakaian saragam baru, membeli bahan bacaan dan beg sekolah serta pelbagai jenis perbelanjaan lagi.
Bagi pelajar universiti pula, mereka juga tidak perlu membazir wang untuk menyewa rumah yang berdekatan dengan tempat belajar.
Mereka juga tidak perlu lagi membazirkan wang untuk menyewa atau membeli pelbagai jenis kenderaan semata-mata untuk ke kelas dan tidak perlu lagi membelanja wang membeli buku serta barang makanan harian.
Sekiranya aktiviti pembelajaran dilakukan secara dalam talian sama ada di peringkat sekolah ataupun universiti, banyak proses penjimatan wang dapat dilakukan sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan pelajar.
Sekiranya proses pembelajaran ini tidak sesuai dilakukan sepenuhnya setiap hari, kerajaan boleh pertimbangkan untuk melaksanakan proses pembelajaran dalam talian secara hibrid atau mengikut hari-hari tertentu setiap minggu.
Langkah mudah ini sudah pasti dapat menjimatkan wang pelajar dan mengurangkan beban kewangan serta perbelanjaan harian masing-masing.
Beri faedah kepada pelajar
Tidak dapat dinafikan, proses pembelajaran dalam talian ini banyak memberi faedah kepada pelajar sepanjang pelaksanaannya selama hampir dua tahun pada 2020 dan 2021 yang lalu.
Pelaksanaan proses pembelajaran begini menjadi satu keperluan mendesak di kala seluruh dunia termasuklah Malaysia sedang bergelut dengan masalah penularan virus Covid-19.
Akibat daripada penularan virus tersebut, kerajaan satu dunia terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularannya.
Antara langkah paling drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia ialah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020.
Antara intipati utama PKP ialah penutupan semua sekolah dan universiti dan kerajaan telah meminta pihak pengurusan sekolah dan universiti melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian.
Penularan virus Covid-19 dan perintah serta arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sekali gus menjadikan proses pembelajaran secara dalam talian ini menjadi penting dan perlu dipelajari serta dikuasai sepenuhnya oleh semua pihak yang berkaitan di dalam sektor pendidikan iaitu pihak guru, pensyarah dan pelajar.
Pelaksanaan proses pembelajaran secara dalam talian ini perlu diteruskan bukan sahaja bagi membendung penularan virus Covid-19 ataupun sebarang jenis wabak atau virus pada masa akan datang malah kerana ia banyak memberi faedah kepada semua pihak terutamanya kepada pelajar itu sendiri.
Pelajar banyak dapat kemudahan
Proses pembelajaran secara dalam talian ini juga memberi banyak kemudahan kepada pelajar untuk dilakukan secara fleksibel tanpa perlu bergerak ke banyak tempat seperti ke sekolah atau kampus semata-mata untuk mendengar sesi pengajaran daripada guru ataupun pensyarah.
Dengan kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal ini, ia dapat meringankan beban pelajar itu sendiri di dalam proses pembelajaran harian mereka.
Tanpa banyak pergerakan, ia juga dapat menjamin aspek keselamatan dan kesihatan diri pelajar itu sendiri.
Ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu risau tahap keselamatan dan kesihatan diri anak-anak mereka yang perlu bergerak ke sekolah ataupun ke kampus setiap hari.
Para pelajar juga dapat menjimatkan wang saku kerana mereka tidak perlu berbelanja untuk membeli sarapan di kantin ataupun di kedai makan.
Pada masa yang sama, proses pembelajaran dalam talian ini juga dapat mengurangkan pengunaan bahan-bahan seperti kertas kerana segala tugasan yang diberikan oleh guru ataupun pensyarah dapat dilaksanakan melalui alam maya.
Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta pembaziran kertas. Di samping itu juga, para pelajar dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk hadapi dunia moden yang penuh dengan aplikasi baharu.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian ini seperti kekurangan akses kepada internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi bagi melakukan proses pembelajaran berkenaan, namun ia tidak seharusnya dilihat dan dijadikan sebagai batu penghalang bagi melaksanakan proses pembelajaran melalui kaedah moden ini.
Kerajaan terutamanya kementerian-kementerian yang berkaitan seperti KPM dan KPT perlu menyiasat segala rungutan yang diterima daripada guru, pensyarah dan pelajar serta melakukan proses penambahbaikan bagi memastikan kaedah pembelajaran moden ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam negara kita.
Proses pembentangan bajet negara pada masa akan datang juga perlu memberi keutamaan khusus bagi menjayakan proses pembelajaran melalui dalam talian di semua sekolah dan universiti dalam negara kita.
Peruntukan kewangan perlu diberikan supaya setiap guru, pensyarah dan pelajar dapat menjayakan proses pembelajaran melalui dalam talian ini buat selama-lamanya dan bukan hanya mengunakannya ketika hadapi waktu kecemasan ataupun pendemik sahaja.
Maklumat Penulis:
Dr Muzaffar Syah Mallow - Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia
Artikel berkaitan
Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas
4 penyelidik bangunkan Modul STEM Covid-19, bantu guru laksana PdP di sekolah
Kelengkapan pembelajaran digital SJKC Yuk Choi bantu murid-murid sepanjang PdPR