Berkat kesungguhan belajar dengan penuh keazaman membuahkan hasil apabila 39 pelajar Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur yang mengikuti program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) berjaya melanjutkan pengajian di Ireland.
Kesemua mereka telah ditawarkan melanjutkan pengajian ACCA peringkat strategik di Griffith College, Ireland selama setahun.
Lebih manis, pengajian mereka di sana turut mendapat pembiayaan penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menurut Naib Canselor KUPTMKL, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, sebelum berangkat ke Ireland, pelajar berkenaan telah pun berjaya menamatkan enam subjek peringkat Applied Skill di institusi pengajian tinggi (IPT) itu .
Ujarnya lagi, enam subjek berkenaan memerlukan tempoh pengajian selama setahun enam bulan di KUPTMKL.
"Hasil usaha dan semangat yang kuat dalam diri pelajar ini membuahkan hasil seterusnya mengorak langkah untuk terus berjaya.
"Mereka akan menyambung pengajian ACCA peringkat strategik profesional selama setahun di Griffith College, Ireland untuk menamatkan empat lagi subjek bagi memastikan pelajar ini memperoleh kelayakan ACCA,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghantar 27 pelajar ACCA yang melanjutkan pengajian di Griffith College, Ireland, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus KUPTMKL, Dr Syamsul Fozy Osman.
Menurut Dr Abdul Rahim, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pelajar berkenaan.
Tambahnya, KUPTMKL akan sentiasa mendoakan kejayaan mereka untuk mendapat keputusan cemerlang sepanjang pengajian di negara itu.
"Pihak KUPTMKL mengucapkan syabas dan sekalung tahniah kepada semua siswa siswi KUPTM yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.
"Diharapkan agar semuanya dipermudahkan serta berjaya menggapai cita-cita yang diimpikan sebaik tamat pengajian nanti,” ujarnya lagi.
[caption id="attachment_45686" width="600"] Amirul Ariff[/caption]
Sementara itu, Amirul Ariff Ahmad, 21, yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di Ireland berkata, dia amat bersyukur kerana dapat menyambung pengajian di luar negara.
"Alhamdulillah, impian saya untuk melanjutkan pengajian telah pun menjadi kenyataan, saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan KUPTM atas segala-galanya,” ujarnya.
[caption id="attachment_45687" width="600"] Nurul Farhana (tiga dari kiri)[/caption]
Pelajar, Nurul Farhana Anuar, 21, pula menyifatkan kejayaannya melanjutkan pengajian di Griffith College sebagai cukup bermakna.
"Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya selama ini, bagi saya, ini adalah satu perjalanan yang penuh bermakna,” ujarnya yang tidak akan mensia-siakan peluang yang telah diberikan kepadanya.
Artikel berkaitan
KUPTM dan GMI meterai nota kolaboratif
Kolej Uniti jalin kerjasama dengan IPB University dalam bidang halal global
Tuah Muhammad Syahmi, lakar kecemerlangan hasil kerja keras