Status OKU penglihatan bukan penghalang buat Cikgu Iran Shah cipta inovasi lancarkan PdP

Iklan
cikgu-iran-shah

Meskipun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, ia langsung tidak menjadi penghalang buat Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Cikgu Iran Shah Ramatullah, yang berjaya mencipta inovasi Braille Magic Cell yang mampu melancarkan proses pembelajaran tulisan Braille.

Iklan
Iklan

Inovasi tersebut yang dihasilkan menggunakan bekas telur dan bola ping pong itu dinobatkan sebagai juara kategori individu pendidikan khas pada pertandingan akhir 3-Minute PdP Pitching anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Menara Wilayah, Putrajaya, hari ini.

Iklan

Pertandingan tersebut yang merupakan inisiatif KPM adalah bertujuan untuk menggalakkan guru-guru mencipta inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi meningkatkan kepelbagaian pedagogi bilik darjah.

Iklan

Empat kategori telah dipertandingkan iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah pendidikan khas dengan setiap kategori boleh disertai secara individu atau berkumpulan.

Menurut Cikgu Iran Shah, inovasi Braille Magic Cell dapat membantu pelajar keperluan khas mempelajari tulisan Braille dengan cepat dan mudah.

"Idea untuk inovasi ini tercetus apabila seorang murid saya yang buta sukar untuk belajar tulisan Braille, jadi saya guna bekas telur dan bola ping pong untuk memudahkan dia mengenali tulisan Braille tidak kira sama ada dalam tulisan rumi atau jawi.

"Pelajar boleh pegang bola ping pong dan tahu huruf apa yang sedang dipelajari dan ia secara tidak langsung melatih jari untuk bergerak dan mengenali objek,” katanya selepas selesai sesi pembentangan.

[caption id="attachment_46213" width="600"] Cikgu Iran Shah ketika melakukan pembentangan kit Braille Magic Cell ciptaannya. Kredit foto: Facebook Dr Radzi Jidin[/caption]

Sementara itu, turut muncul cemerlang ialah Guru SMK Sultan Sulaiman, Terengganu Cikgu Noorhasliza Mohamad yang dinobatkan juara bagi kategori berkumpulan menerusi inovasi Kit Abang Sado.

Ujar beliau, pertandingan 3-Minute PdP Pitching ini memberikan ruang untuk guru-guru lebih kreatif dalam PdP.

"Inovasi Kit Abang Sado yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti batang aiskrim memudahkan pelajar memahami struktur lengan manusia.

"Inovasi yang dihasilkan ini akan saya perkenalkan kepada guru-guru lain untuk digunakan,” tambahnya.

Cikgu Iran Shah menerima hadiah wang tunai RM800, tablet, plak penghargaan dan sijil pencapaian manakala Cikgu Norhasliza pula membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil pencapaian yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Dalam pada itu, Mohd Radzi dalam ucapannya berkata, beliau menggalakkan guru-guru untuk mencipta inovasi yang mampu meningkatkan proses PdP selaras anjakan teknologi pendidikan masa kini.

"Kita perlu ramai guru cipta inovasi seterusnya menjadikan suasana pembelajaran di sekolah lebih baik dan seronok.

"Diharap inovasi yang dicungkil melalui pertandingan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh warga pendidik,” ujarnya.

Artikel berkaitan

"Mereka tak mahu ambil saya bekerja kerana diri tidak sempurna” - Luahan hati graduan OKU buat ramai sebak

"Pihak universiti sentiasa menjaga kebajikan orang seperti saya”, graduan OKU penglihatan mata luah rasa bersyukur belajar di UPM

Kerja keras 4 penyelidik berbaloi apabila inovasi COVTIS69 mereka muncul juara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok