Kelayakan akademik dan kemahiran perlu seiring
Masyarakat yang mempunyai pendidikan tinggi akan membantu memacu pembangunan dan meneruskan kesinambungan kejayaan sesebuah negara.
Malah, tidak keterlaluan menyatakan bahawa masyarakat yang gagal menguasai ilmu serta kemahiran seiring perkembangan semasa akan memberi kesan kepada pembinaan negara dan bangsa itu sendiri.
Melihat senario semasa, kerajaan cukup menekankan pentingnya pendidikan sehingga peringkat tertinggi termasuk Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
[caption id="attachment_46277" width="600"] Gambar hiasan. Foto/Sinar Harian.[/caption]
Mengejutkan
Namun, statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, baru-baru ini, 72.1 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran selepas keputusan amat mengejutkan, sekali gus menimbulkan persoalan dan kebimbangan.
Media sebelum ini melaporkan, walaupun data berkenaan adalah dari tahun 2019, namun trend itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.
Berdasarkan kajian, hanya 170,000 daripada 560,000 calon yang mengambil peperiksaan itu berminat menyambung pelajaran.
Sudah tentu ini bukan isu remeh dan boleh dipinggirkan begitu saja, jauh sekali dipandang sebelah mata. Ini soal masa depan negara.
Apabila ini terjadi, pasti ramai tertanya-tanya mengapa ia berlaku ketika negara mahu rakyatnya maju dan menguasai pelbagai kemahiran dan teknologi terkini.
Apakah sebenarnya dimahukan generasi muda hari ini yang sepatutnya menjadi pelapis kepada pembangunan dan kepemimpinan negara.
[caption id="attachment_46270" width="400"] Mohammad Shatar.[/caption]
Manfaatkan bantuan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, lepasan SPM perlu mengambil peluang disediakan kerajaan dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian.
Ujarnya, sebagai tanda komitmen, kerajaan menawarkan pelbagai bantuan antaranya pakej PerantiSiswa, Bakul Makanan Siswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk mereka ini melanjutkan pelajaran dan (peluang) ini tidak terdapat di negara maju.
"Justeru, kami mohon bantuan dan komitmen daripada ibu bapa serta masyarakat untuk memberi gambaran lebih jelas kepada remaja hari ini, jika tidak meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, ia satu kerugian pada masa depan,” ujarnya.
Setanding negara maju
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar memaklumkan kerajaan dan KPT telah berusaha sebaik mungkin memastikan kualiti pendidikan tinggi di negara ini setaraf negara maju.
Malah, ujarnya, Malaysia adalah destinasi pilihan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian disebabkan kualiti pendidikan tingginya.
"Kualiti pendidikan di negara ini juga telah mendapat kepercayaan dari negara maju seperti England dan Australia.
"Apabila MQA tentukan kualiti, maka kita mengikut negara lain sebagai benchmark (penanda aras) yang diterima dunia dan kita pastikan tahap kualitinya.
"Negara luar juga memandang tinggi terhadap Malaysia dan ini dibuktikan dengan penarafan dalam ranking QS (Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds) dan (disenarai) top 200 universiti terbaik dunia,” ujarnya yang menyifatkan pencapaian itu sebagai cukup membanggakan.
Sehubungan itu, tambahnya, adalah pelik jika pengiktirafan diterima negara dalam pendidikan tinggi tidak menarik minat rakyat menyambung pelajaran.
Kualiti
Selain itu, Mohammad Shatar berkata, kecemerlangan bangsa bergantung kepada kualiti masyarakatnya dalam pendidikan.
"Majoriti negara maju di dunia mempunyai penduduk yang memiliki kelulusan ijazah pertama dan seterusnya.
"Oleh itu, kita harus beri perhatian serius agar mereka ada kualiti dan kelayakan untuk kesinambungan kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Tingkat kemahiran
Mohammad Shatar turut menggalakkan pelajar yang berminat dalam bidang kemahiran supaya tidak ketinggalan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
Ini kerana, katanya, kemahiran yang tidak diiringi kelulusan dari pusat pengajian tinggi akan menghadkan potensi tawaran pekerjaan lebih baik.
"Yang penting, kemahiran diperoleh (seiring dengan kelulusan), contohnya kimpal kapal di Qatar, sebelum mendapatkan pekerjaan di negara itu, mereka perlu buktikan kelayakan terlebih dahulu meskipun mempunyai pengalaman lama.
"Kita tidak boleh bercakap tanpa mengemukakan bukti, jadi remaja harus faham, mereka perlu berpandangan jauh ke depan, pendidikan adalah pelaburan jangka panjang,” ujarnya lagi.
[caption id="attachment_46269" width="600"] Mohd Azizee.[/caption]
Perhatian sewajarnya
Sementara itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, meskipun tiada data jelas mengapa pelajar memilih untuk tidak sambung pengajian, namun isu berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, ujarnya, Kementerian Pendidikan perlu membuat kajian sebenar bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, terdapat tiga faktor yang dilihatnya menyumbang kepada masalah berkenaan iaitu kemiskinan, keciciran dan tawaran gaji tidak setimpal kelulusan.
Tambahnya lagi, pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia juga telah mencengkam masyarakat terutama golongan B40 dalam meneruskan kelangsungan hidup.
"Keadaan itu menyebabkan kelompok B40 dalam keadaan dilema antara melanjutkan pengajian ataupun terus bekerja sebaik tamat persekolahan.
"Saya melihat ada yang terpaksa bekerja untuk membantu ekonomi keluarga selepas terkesan akibat pandemik terutama ibu bapa yang diberhentikan kerja.
"Mereka ini ada rasa tanggungjawab mencari pendapatan dan merasakan daripada belajar di universiti, baik bekerja contohnya e-hailing yang tidak memerlukan sijil,” ujarnya.
Gaji tidak setimpal
Selain itu, beliau turut mengaitkan pemikiran mereka ini sudah dipasak bahawa ijazah tidak lagi menjanjikan tawaran kerja dan gaji setimpal.
Oleh itu, ujarnya, mereka yang terhimpit dengan kekangan kewangan dan kelangsungan hidup lebih rela memilih untuk bekerja daripada melanjutkan pengajian.
"Minda mereka sudah diberitahu dengan memiliki ijazah, mereka tidak mendapat tawaran kerja dan gaji setimpal, contohnya dulu belajar kejuruteraan, dapat gaji lebih RM2,000 tetapi sekarang hendak kerja pun payah.
"Jika dapat pekerjaan pun gajinya tidak setimpal, jadi pada mereka, baik bekerja daripada belajar,” tambahnya.
Selain itu, Mohd Azizee mencadangkan supaya kajian semula silibus yang terdapat di universiti dilakukan supaya seiring kemajuan digital yang banyak menawarkan peluang pekerjaan baru.
"Tengok kepada ekonomi hari ini mengenai peluang pekerjaan baru, ia tidak seimbang dengan kemahiran digital sekarang.
"Kita bimbang masa depan negara, kerajaan perlu mendorong mereka untuk terus belajar kerana golongan ini adalah aset besar negara,” katanya.
Kebolehpasaran
Mohd Azizee turut mencadangkan supaya latihan industri dipanjangkan manakala pembelajaran teori dipendekkan bagi memberi peluang pelajar meneroka hala tuju kerjaya.
"Sekolah mahupun IPT sekarang lebih berorientasikan belajar, mungkin universiti perlu lihat semula program diploma dan ijazah dipendekkan tempoh masa pengajian untuk teori dan lebihkan latihan industri,” ujarnya.
[caption id="attachment_46271" width="400"] Nor Azizah.[/caption]
Galakan
Bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kuala Lumpur, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman pula berkata, senario yang berlaku itu sangat tidak sihat dan perlu segera diatasi.
Menyedari tidak semua pelajar memiliki pencapaian akademik yang baik, beliau berharap golongan itu dipimpin dan diberi motivasi untuk berpandangan lebih jauh.
"Pada saya, semua pihak termasuk sekolah, keluarga dan kerajaan perlu terus beri galakan kepada mereka untuk menguasai kemahiran sesuai dengan minat dan bakat masing-masing.
"Di sekolah pula, kaunselor memainkan peranan penting membimbing pelajar dalam mengenal pasti kebolehan dan potensi yang ada pada mereka ini,” ujarnya.
Kesan pandemik
Selain itu, Nor Azizah berkata, tekanan pandemik Covid-19 juga menjadi antara punca mengapa golongan berkenaan tidak berminat menyambung pelajaran.
"Ini kerana, fokus pelajar yang tidak konsisten sepanjang pandemik telah mengakibatkan keputusan peperiksaan kurang memberangsangkan.
"Jadi, apabila keputusan keluar dan kurang cemerlang, maka sudah tentu mereka memilih untuk terus bekerja terutama golongan B40 yang cukup terjejas akibat pandemik sebelum ini,” ujarnya yang turut menyifatkan pandemik Covid-19 telah melahirkan rezeki luar jangka terutama dalam e hailing.
Apa kata mereka
[caption id="attachment_46272" width="400"] Khairunnisa.[/caption]
Isu sangat membimbangkan, biarpun pendidikan tidak mampu menjamin kejayaan seseorang, namun ia membantu untuk lebih matang dalam membuat keputusan. Mereka ini sepatutnya menyiapkan diri dengan kemahiran yang relevan seiring perkembangan semasa.” - Suri rumah, Khairunnisa Kamarudin, 39.
[caption id="attachment_46273" width="400"] Helmy.[/caption]
Untuk pelapis golongan profesional, sudah tentulah perlu ada pendidikan tertiari. Perkara ini membimbangkan kerana kita tidak mahu jawatan contohnya pensyarah dan doktor terpaksa diimport dari luar negara.” - Jurutera, Helmy Khalid, 40.
[caption id="attachment_46274" width="400"] Noor Fariza.[/caption]
Saya terapkan kepada anak pentingnya menuntut ilmu sehingga ke menara gading, hanya dengan ilmu, seseorang itu boleh membuat keputusan bijak dan rasional. Bagaimanapun, saya tidak menafikan generasi muda lebih cenderung bekerja selepas SPM atas beberapa faktor antaranya kekangan hidup lebih mendesak.” - Penjawat awam, Noor Fariza Abu Bakar, 40.
[caption id="attachment_46276" width="400"] Ahmat Fitri.[/caption]
Pada saya, jika tidak berminat masuk ke universiti, mereka perlu pergi ke bidang kemahiran yang mempunyai peluang pekerjaan tinggi. Pada masa ini, siapa yang ada kemahiran mereka boleh ‘survive’ berbanding orang yang mempunyai segulung ijazah.” - Penjawat awam, Ahmat Fitri Jasni, 40.
Artikel berkaitan
Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian
3 pelajar perubatan Malaysia bakal jalani penyelidikan di Harvard
Perluas program vokasional, beri kemahiran kepada lepasan PT3