pelajar-ucsi
pelajar-ucsi

3 pelajar perubatan Malaysia bakal jalani penyelidikan di Harvard

Adlan Farhan Azwan
09 Sep 2022 02:42pm
A
A
A

Tiga pelajar perubatan, UCSI University terpilih untuk menjalani penyelidikan perubatan berimpak tinggi di Harvard School Brigham and Women’s Hospital, Amerika Syarikat mulai 15 September ini.

UCSI University dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan ketiga-tiga pelajar iaitu Fiona Ho Jing Min, Clarice Siow Jing Rou dan Ngu Hui Ling dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan akan menjalani penyelidikan selama setahun di Harvard.

“Sejak 2014, seramai 14 pelajar perubatan UCSI University terpilih melalui program Star-Trek bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi di Harvard.

“Melalui program ini, pelajar UCSI University akan dipilih oleh mana-mana universiti terbaik dunia termasuk Harvard University, Imperial College London, The University of Chicago, Tsinghua University, The University of British Columbia dan The University of Queensland dalam pelbagai disiplin untuk menyertai penyelidikan berimpak tinggi di universiti mereka,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Jing Min berkata, mereka bertiga akan memfokuskan penyelidikan terhadap aldosteron dengan mengkaji faktor yang menyebabkan perubahan hormon itu dan impaknya terhadap badan manusia.

“Secara umumnya, aldosteron ialah hormon steroid yang dirembeskan oleh kelenjar adrenal yang berperanan mengawal garam dan air dalam badan, sekali gus mempengaruhi tekanan darah.

“Ia juga merupakan salah satu hormon yang memainkan peranan penting dalam mengawal hipertensi dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap kesihatan sistem kardiovaskular seseorang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Siow Jing turut merakamkan penghargaan buat pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar serta bimbingan sepanjang sesi pengajian di universiti itu.

“Saya berharap penyelidikan yang dihasilkan nanti akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat untuk menikmati kehidupan lebih baik,” jelas Siow Jing.

Artikel berkaitan

Jalinan kerjasama Universiti UCSI dan UCSI Hospital bersama USIM, pertukaran kakitangan akademik dan penyelidik

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Mimpi jadi realiti, Nur Diyanah luah rasa terharu berpeluang ikut program pertukaran pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok