Seramai 111 pelajar akan terlibat dalam pementasan teater bangsawan bertajuk ‘Titah Menusuk Retak’ bermula Jumaat hingga Ahad ini di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.
Karya yang berdurasi dua jam dan menampilkan 80 watak itu dibarisi para pelajar yang berusia 9 hingga 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Petaling, Kuala Lumpur; Sekolah Kebangsaan (SK) Wangsa Jaya, Kuala Lumpur dan Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Selangor.
Pementasan ini akan diiringi oleh muzik secara langsung yang dimainkan oleh guru-guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur.
Menurut Pengetua SMK Desa Petaling, Zuraida Hamsiah Mohamed Nasir, pementasan teater tersebut mengisahkan Sejarah Kesultanan Melayu Selangor dan Johor-Riau sekitar tahun 1700 hingga 1717.
Katanya, tajuk tersebut dipilih sebagai usaha memberi maklumat kepada masyarakat berkenaan Sejarah Kesultanan Melayu Selangor dan Johor-Riau.
"Tajuk ‘Titah Menusuk Retak’ diangkat ke pentas teater adalah untuk membangkitkan dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sistem raja berpelembagaan yang diamalkan oleh Malaysia dan menghargai jasa bakti sultan, pembesar dan pahlawan terdahulu.
"Skrip teater ini ditulis dan diarahkan bersama antara saya dan suami, yang juga seorang pengarah teater, Mior Sharul Nizal Mior Ismail,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.
Tambah beliau, antara watak yang dilakonkan adalah Arung Passarai oleh Muhammad Ikhwan Naim Kamal Efend, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (Muhammad Afiq Aznol Rizal), Raja Muda Johor (Muhammad Khairul Adif Mohd Rashidi), Permaisuri Yamtuan Selangor (Nur Qurratul Ifti Mohd Rashidi) dan Permaisuri Sultan Johor (Sitti Norshafinag Mohamed Zainuddin).
Mengulas lanjut, Cikgu Zuraida berkata, pihaknya telah mendapatkan khidmat beberapa orang jurulatih berpengalaman untuk memberi tunjuk ajar kepada para pelakon cilik yang terlibat.
Untuk lakonan, ia dikendalikan sendiri oleh Cikgu Zuraida bersama Mior Sharul manakala untuk pergerakan silat dan koreografer pula, jurulatihnya terdiri daripada Muhammad Radhi Abdul Jamil.
Bagi segmen nyanyian dan pengubah lagu pula, Hafitz Khamis telah dipertanggungjawabkan sementara jurulatih set peralatan dikendalikan oleh Malit Latib dan Shmsiah Abdul Rahman.
Apa yang diharapkan, teater yang dilakonkan oleh para pelajar ini dapat membentuk karekter dan kemenjadian serta mengumpul pemarkahan untuk aktiviti Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Teater ‘Titah Menusuk Retak’ yang akan ditayangkan secara percuma dianjurkan secara bersama Kelab Seni Seri Kenchana Malaysia dan SMK Desa Petaling.
Ia turut mendapat jalinan usahasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; Jabatan Kerja Raya; SK Wangsa Jaya; guru-guru pelatih atau pemuzik dari IPG Kampus Bahasa Melayu; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bagi perancangan masa depan, penganjur akan mementaskan sebuah lagi teater bangsawan bertajuk ‘Kiambang Bertaut Retak Bersurih’ yang merupakan sambungan kepada pengisahan ‘Titah Menusuk Retak’.
INFO
- Teater ‘Titah Menusuk Retak’ akan berlangsung pada 21 Oktober hingga 23 Oktober di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.
- Teater ini akan bermula pada pukul 8.30 malam dan masuk adalah percuma.
- Untuk tempahan pas masuk, sila hubungi Hasnina 012-8223375 dan Fasha 019-2689957
Artikel berkaitan
Video monolog Cikgu Syuaib muncul johan di Festival Seni Australia
Bakat Akma Suriati Awang raih perhatian Hollywood
Membanggakan! Pelajar Berkeperluan Khas KV Keningau terima Anugerah World Changer