HomeGen ZBakat Akma Suriati Awang raih perhatian Hollywood

Bakat Akma Suriati Awang raih perhatian Hollywood

Akma Suriati Awang, 56, nama yang cukup sinonim dengan rekaan kostum, bukan saja bakatnya diiktiraf di dalam negara tetapi juga di luar negara seperti Hollywood.

Mengakui bukan satu perjalanan mudah untuk sampai ke tahap ini, namun anak kelahiran Jerangau, Terengganu itu percaya dengan adanya bakat, kreativiti, kemahiran serta jati diri yang kuat mampu menjadikan seseorang itu berjaya.

Pembabitan pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), bagi kategori Kostum dan Busana Terbaik menerusi filem Hanyut ini, dalam bidang rekaan kostum sentiasa mendapat perhatian melalui hasil seninya antaranya dalam filem, drama, teater, acara korporat ataupun kalendar pelancongan negara seperti Citrawarna.

Pembabitan dalam filem Hollywood
Beliau yang mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama pernah diberi tanggungjawab mereka kostum bagi filem Edge of The World berkata, semangat berpasukan amat penting dalam usaha menjayakan sesuatu projek ketika membuat penyelidikan.

“Produksi luar negara amat mementingkan kualiti bagi memastikan setiap rekaan kostum yang dipersembahkan selari dengan tuntutan jalan cerita serta watak.

“Malah, ada masanya kostum yang sama perlu disediakan dalam kuantiti yang banyak untuk satu watak sebagai persediaan bagi mengelakkan perkara yang di luar jangkaan seperti kotor, terkoyak dan sebagainya,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Akma Suriati menjelaskan beliau ditawarkan menjadi pereka kostum bagi filem arahan Micheal Hausmann itu selepas pihak produksi filem tersebut melihat hasil kerjanya menerusi filem Hanyut arahan U-Wei Saari.

Tuturnya lagi, mereka amat tertarik dengan buah fikirannya dalam membuat penyelidikan, lakaran dan menghasilkan kostum berkenaan.

“Pada waktu itu temu duga dilakukan menerusi panggilan video dan mereka meminta saya senaraikan nama-nama produksi lain yang pernah saya bekerjasama.

“Selepas mendapat maklum balas, pihak produksi bersetuju memberi tanggungjawab mereka kostum sepenuhnya kepada saya,” katanya yang menyifatkannya sebagai satu penghargaan cukup besar buat dirinya.

Permulaan kerjaya

Menceritakan permulaan kerjayanya sebagai pereka kostum, lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni dan Rekaan (Rekaan Fesyen), Institut Teknologi MARA (ITM), kini Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, bekas pensyarahnya, Allahyarham Profesor Najib Noor merupakan individu yang banyak memberi dorongan kepadanya.

Berkongsi tip untuk pelapis baru, Akma Suriati memberitahu, mereka perlu memiliki kreativiti, rajin membuat penyelidikan di lapangan dan juga mempunyai jati diri yang kuat.

Tambahnya, generasi baru hari ini banyak bergantung kepada sumber internet dan itu akan membuatkan mereka kurang memahami dan mendalami sesebuah karakter dan kehendak naskah.

“Jika kita kena buat penyelidikan mengenai budaya setempat, kita perlu pergi ke tempat itu, pergi ke akarnya, selidik secara mendalam, baru boleh buat lakaran yang bersesuaian dengan apa yang dimahukan,” jelasnya.

Selain itu, Akma yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan berkata, masyarakat di negara ini masih keliru dan kurang pengetahuan mengenai kerjaya menghasilkan kostum.

“Saya tengok hari ini, ramai yang masih keliru antara kostum dan busana. Kostum merujuk kepada rekaan pakaian mengikut cerita yang terdapat di dalam skrip sama ada filem, drama atau teater.

“Busana pula merujuk kepada pakaian tradisional dan kalau seseorang itu ditugaskan untuk mereka fesyen bagi individu tertentu pula dinamakan penata rias,” katanya lanjut.

Ditanya mengenai perkongsian yang dibuat menerusi media sosial seperti Facebook, blog dan saluran YouTube, Akma Suriati berkata, beliau mahu berkongsi pengalaman dan ideanya bersama masyarakat.

Pembuatan kostum dalam negara melalui;

Teater Puteri Gunung Ledang Muzikal
Filem Hanyut
The Masked Singer Malaysia
Citrawarna
Pesta Flora
Kereta Berhias
•Hari Kemerdekaan

Pembuatan kostum di luar negara melalui;

Filem Entrapment
Filem Anna and The King
Filem Edge of The World
Teater muzikal The Lion King (German)
Drama siri Marco Polo

Artikel berkaitan

6 tip pembuatan kostum yang selesa

Apa yang menarik dalam jurusan fesyen dan pakaian

Azimi, Aina, kongsi impian sama, ingin jadi tukang jahit dan buka butik pakaian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok