Seramai 26 pelajar menyertai bengkel DJ in the making yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor baru-baru ini.
Bengkel berkenaan adalah salah satu program luar kelas akademik yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai dunia penyampai radio konti.
Penasihat bengkel tersebut, Hazila Kadir@Shahar berkata, bengkel berbentuk perkongsian ilmu itu diharap dapat menggilap bakat-bakat terpendam dalam kalangan para pelajar.
"Selain itu, ia juga merupakan platform dalam melahirkan para pelajar serba boleh dalam mengendalikan program-program atau acara dianjurkan Pusat Pengajian Bahasa (PPB) UTHM.
"Bengkel berkenaan merupakan cetusan ilham dekan PPB, Dr Azmi Abdul Latiff yang ingin menganjurkan pertandingan mencari bakat terpendam pelajar sebagai penyampai radio konti," katanya kepada Sinar Bestari.
Hazila yang merupakan guru bahasa PBB memberitahu, bengkel berkenaan merupakan anjuran PBB dibawah kelolaan Jawatankuasa Funnival bagi tahun ini dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM.
Katanya, dia serta pengarah bersama Nuradila Lile dari jabatan akademik dan kebolehpasaran graduan merangka pelbagai aktiviti menarik berbentuk amali dalam menarik minat para pelajar dalam dunia deejay.
"Selain itu, pihak kami mengundang penceramah berpengalaman, Rosdi Abdullah dari Pusat Kebudayaan UTHM menerangkan secara teori pembentangan kepada para pelajar untuk memastikan mereka lebih memahami topik-topik bengkel.
"Penceramah juga merupakan pencipta kandungan yang merupakan platform penyampaian popular dalam kalangan golongan muda hari ini," ujarnya.
Hazila berharap bengkel berkenaan dapat memberi pendedahan dan manfaat kepada para pelajar.
Artikel berkaitan
Selepas terima dua anugerah terbaik universiti, Mek Yun kini ‘wajah’ UTHM
4 pelajar UTHM terpilih sertai Misi Sukarelawan Siswa YSS
Geran penyelidikan, UTHM terima lebih RM3 juta