Pendidikan inklusif beri peluang murid pendidikan khas terus berdaya saing

Iklan
1191280

Tidak dapat dinafikan, setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini memiliki keistimewaan masing-masing.

Iklan
Iklan

Ini termasuklah Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang juga layak menerima segala peluang dalam kehidupan mereka terutamanya dari segi pendidikan bagi menentukan kerjaya pada masa depan.

Iklan

Pendidikan inklusif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat sebagai antara usaha yang efektif dalam memastikan golongan murid ini mampu bersaing dengan murid-murid di arus perdana yang lain.

Iklan

Pendidikan inklusif adalah sebuah peluang pendidikan yang diberi kepada murid-murid dalam kalangan MBPK yang mempunyai kefungsian tinggi dan hanya memiliki masalah seperti fizikal dan pertuturan.

Pendidikan inilah yang menjadi perantaraan kepada MBPK untuk mendapatkan hak yang sama rata seperti murid-murid normal yang lain.

Pada masa yang sama, pendidikan inklusif juga berupaya membina kemahiran komunikasi dan sosial MBPK dengan lebih baik.

Ini kerana apabila mereka bergabung atau bersama-sama dengan murid arus perdana, proses peniruan tingkah laku akan berlaku sama ada dari segi komunikasi mahupun perbuatan yang dapat melatih murid MBPK untuk berinteraksi seperti murid-murid yang lain.

Penguasaan kemahiran komunikasi dapat membina hubungan MBPK yang lebih baik bersama rakan-rakan lain agar mereka tidak merasa tersisih dan sekali gus meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk mendepani cabaran baharu.

Melihat kepada aspek kerjaya pula, kemahiran komunikasi akan jadi penentu sama ada seseorang itu layak atau tidak menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh majikan.

Tanpa kemahiran komunikasi yang baik, golongan MBPK akan ketinggalan dan pada masa sama mereka akan terlepas peluang untuk membuktikan kemampuan diri.

Oleh itu, peluang menyambung pengajian atau pekerjaan seharusnya dibuka sama rata kerana mereka juga memiliki kemahiran yang sama seperti murid-murid lain.

Hakikatnya, pendidikan inklusif bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada murid dan warga sekolah terhadap keupayaan MBPK malah ia juga membantu masyarakat untuk membuka mata tentang peluang yang perlu diberikan kepada mereka tanpa sebarang diskriminasi.

Pendidikan inklusif memerlukan MBPK melatih diri agar berdikari dalam kehidupan mereka tanpa mengharapkan bantuan orang lain dengan memberi pendedahan kepada mereka untuk mempelajari bidang-bidang yang sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Sifat berdikari yang dilatih sejak di sekolah lagi juga merangkumi aspek pengurusan emosi memandangkan mereka mempunyai emosi yang sensitif.

Justeru, dengan program pendidikan inklusif ini, MBPK dapat memahami serta melatih diri untuk mengawal emosi mereka.

Mereka juga seharusnya tidak mudah untuk melepaskan emosi kepada orang lain kerana perbuatan itu mampu memberikan pandangan negatif terhadap rakan di sekolah atau di tempat kerja kelak.

Kesimpulannya, guru-guru yang ditugaskan mengajar kelas pendidikan inklusif harus dilengkapi pembelajaran yang sesuai dengan kemahiran MBPK di dalam kelas supaya setiap murid dapat mengambil bahagian dan seterusnya memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan berkesan.

Info penulis

Nur Ayuni Shazwani binti Salleh

Pelajar semester 4, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak

Artikel berkaitan

Teknik mudah penghasilan karya seni visual untuk murid berkeperluan pendidikan khas

Status OKU bukan halangan Muhammad Isa lanjutkan pengajian di UIAM

Bina nama di pentas antarabangsa, murid berkeperluan khas bukti kejayaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok