Bina nama di pentas antarabangsa, murid berkeperluan khas bukti kejayaan
Bina nama di pentas antarabangsa, murid berkeperluan khas bukti kejayaan

Bina nama di pentas antarabangsa, murid berkeperluan khas bukti kejayaan

Azliyana Sulaiman
07 Jan 2021 03:45am
A
A
A

“Setiap penyertaan daripada anak murid merupakan kejayaan besar buat saya. Ia secara tidak langsung membuktikan murid berkeperluan khas juga boleh berjaya sekiranya diberikan peluang,” kata jurulatih Muzik, Kumpulan Ensembel Permainan Alat Muzik Tradisional; SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah, Cikgu Stefanus Lucas.

Kejayaan yang dicapai oleh murid-murid Berkeperluan Khas SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah di pentas antarabangsa, Southeast Asia Disability’s Talent Challenge 2020 sangat dibanggakan. Ia membuktikan mereka ini setanding dengan murid di negara lain berdasarkan penyertaan dan kejayaan yang dicapai mereka.

Cikgu Stefanus yang juga guru pembimbing kumpulan muzik berkenaan tidak pernah menyangka murid-muridnya mampu mencipta  nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Usaha gigih serta peluang yang diberikan sesuai dengan potensi dan kebolehan mereka untuk berkarya, antara faktor penyumbang kejayaan.

“Saya juga percaya potensi murid-murid berkeperluan khas ini akan  menjadi kelebihan untuk mereka mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

“Paling menyentuh perasaan, apabila melihat reaksi ibu bapa yang begitu teruja dengan kejayaan anak masing-masing,”katanya.

Southeast Asia Disability's Talent Challenge 2020 dianjurkan oleh Universitas Negeri Surayabaya (UNESA) dengan kerjasama Pusat Prestasi Nasional Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Special Education Needs (SEAMEO Sen), Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPKhas, KPM), Dharmawanita Kota Surabaya dan Junior Chamber International.

SK Pendidikan Khas Tuaran telah menghantar enam penyertaan, dua daripadanya tersenarai sebagai sepuluh yang terbaik. Selain itu, kumpulan Ensembel Permainan Alat Muzik Tradisional yang melibatkan 14 orang murid asrama SKPK Tuaran juga turut mendapat tempat kedua keseluruhan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil, pingat, trofi dan cenderahati, serta liputan media Indonesia.

Menurut guru asal Tamparuli, Sabah ini, pada asalnya sebahagian video pertandingan yang dihantar itu adalah untuk persembahan  program Graduasi Drive-thru SKPK Tuaran bagi tahun 2020.

Namun setelah mendapat tahu maklumat pertandingan daripada kumpulan WhatsApp Alumni Sexuality Education Seamoe Sen 2020 dan juga iklan di laman Instagram PSLD Unesa pada 11 December 2020 lalu, beliau  mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Pada petang 18 Disember 2020, saya telah dimaklumkan bahawa, dua penyertaan daripada sekolah SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah telah dipilih sebagai finalis Top 10 melalui aplikasi pesanan WhatsApp oleh penganjur program.

“Manakala pada 20 December 2020 lalu, saya telah diundang untuk menyertai acara akhir dan diumumkan  Top 3 keseluruhan bagi pertandingan Southeast Asia Disability’s Talent Challenge yang dilaksanakan secara atas talian menggunakan aplikasi zoom yang bersiaran secara langsung daripada Grand City Mall Surabaya, Indonesia,”ujarnya.

Menyentuh tentang cabaran, Cikgu Stefanus menjelaskan setiap mereka memerlukan bimbingan khusus sepanjang latihan dijalankan.

Misalnya dalam permainan ensemble muzik tradisional, beliau perlu mengajar seorang demi seorang, agar mereka dapat memahami dan menguasai rentak serta melodi yang dimainkan.

“Murid yang ketidakupayaan penglihatan tidak boleh membaca skor, jadi saya perlu mengajar mereka menghafal rentak atau melodi yang ingin dimainkan terlebih dahulu, sebelum menggabungkannya dalam kumpulan kecil, sehinggalah ianya boleh dimainkan dalam kumpulan besar.

“Bukan semua murid mempunyai ingatan yang baik, saya perlu mengulanginya semula sehingga mereka dapat menghafal bahagian masing-masing,” katanya.

Pun begitu, beliau sebenarnya tidak keseorangan, ibu bapa dan penjaga banyak membantu, di samping sokongan kuat Guru Besar, Rosidah Abdul Murat dan juga Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah, Luciana E. Deneys.

Tambah beliau, kebanyakan video itu juga dirakam ketika perlaksanaan PdPR fasa II, ibu bapa dan penjagalah yang berperanan besar dalam penghasilan video tersebut.

“Inilah pentingnya hubungan antara ibu bapa, penjaga dan juga guru. Persefahaman yang terjalin ini sedikit sebanyak dapat   membantu guru mengetahui apa yang diminati dan kecenderungan muzikal anak mereka di rumah.”katanya.

Penyertaan SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah

1.    Kumpulan SK Pendidikan Khas Tuaran Hebat, ensembel permainan alat muzik tradisional yang melibatkan sekumpulan murid asrama daripada pelbagai jenis ketidakupayaan dan usia serta dibawah bimbingan Cikgu Stefanus Lucas. Ensembel ini memainkan lagu Saya Anak Malaysia yang hanya melibatkan bahagian chorus sahaja sahaja dan merupakan salah satu finalis Top 10 dan seterusnya mendapat tempat kedua secara keseluruhan.

Link video Youtube: https://youtu.be/sti1uY-0eAo

2.    Caleb Jaremiah Willey, Autism (Ketidakupayaan Pembelajaran) dengan bimbingan ibu bapa dan guru muzik, menunjukkan bakat dalam nyanyian dan telah menyanyikan lagu A Million Dreams. Caleb merupakan salah satu finalis Top 10.

Link video Youtube: https://youtu.be/onNr8Ivw-Ug

3. Low Yu Cheng, Ketidakupayaan Penglihatan, menunjukan bakat permainan alat gendang cina.

4. Kyra Gwen Foo, Ketidakupayaan Penglihatan, menunjukan bakat permainan alat muzik kibod dengan lagunya Dance Monkey.

5. Sohpie Thien Xi Yan, Pelbagai Ketidakupayaan, menunjukkan bakat permainan alat muzik kibod dengan lagunya Bury Me Not on the Lone Prairie.

6. Alya Iiyana Binti Nor Hanizam, Ketidakupayaan Penglihatan, menyanyikan lagu Terima Kasih Guruku.

Video setiap persembahan boleh disaksikan di akaun Youtube Cikgu Stef https://youtube.com/channel/UC2qjJ_7u_qKX4kxtC90srBg

Senarai nama murid yang telibat dalam Kumpulan Ensembel Permainan Alat Muzik Tradisional (Ketidakupayaan Penglihatan)

1. Feldrin Jesry

2. Mohammad Ilham Abdullah

3. Hayden Ethan Hennton

4. Roneld Ryner

5. Alya Iiyana Nor Hanizam

6. Noor Allysha Amanda Abdullah

7. Hilton Emmanuel

8. Jericho Octavind Balangin

9. Nurul Afni Syazmilliya Yanto

10. Haiqal Isyraq Syed Agil Abdul Razzaq

11. Kyra Gwen Foo

12. Muhamad Khiril Ekwan Aliasan

13. Nur Hidaya Abdullah

14. Mohammad Hafis Irwan Judi


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok