Seramai 20 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor sesi 2022/2023 mengikuti program ASEAN Leadership BenchMax 2023 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Menurut kenyataan media UiTM, program bertujuan memenuhi visi UiTM ke arah Globally Renowned University (GRU) 2025 dalam aspek sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.
Malah, aspek kepimpinan turut diterapkan melalui penyantunan komuniti setempat menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Kata kenyataan itu lagi, ASEAN Leadership BenchMax 2023 yang dianjurkan MPP UiTM Shah Alam dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Student Government Chulalongkorn University (SGCU) menyediakan pelbagai pengisian menarik kepada para peserta.
Antaranya, forum Empowering Leaders Towards Culturalism, Research, Innovation and Mental Well-Being yang memfokuskan aspek kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan kesejahteraan mental.
Pengisian seterusnya, peserta berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand sekali gus mempelajari sistem Kedutaan Malaysia di negara itu serta memperkenalkan seni budaya melalui acara flashmob di Asiatique The Riverfront, Bangkok.
Selain itu, program CSR Loving Hands Project turut dijalankan di mana semua peserta menyantuni komuniti rumah anak yatim, Baan Hathairak dan melakukan gotong royong serta memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
Sementara itu, Pengarah Program ASEAN Leadership BenchMax 2023, Nur Fatini Hazan berkata, program tersebut memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam membentuk karakter dan jati diri holistik melalui penglibatan elemen pengucapan awam, perbincangan ilmiah, pertukaran budaya dan pemahaman sistem kepemimpinan mahasiswa di Thailand.
"Pemimpin pelajar memperoleh pengetahuan baru dan perspektif global, memperkaya pengalaman akademik serta pembangunan diri mereka.
"Oleh itu, peluang untuk memahami isu-isu global dan berkolaborasi dalam projek antarabangsa mampu membentuk pemimpin yang peka dan berdaya saing di peringkat global.
"Di samping itu, penglibatan dalam program sukarelawan atau projek komuniti semasa lawatan turut memperkukuh nilai-nilai kepimpinan berbudi pekerti dan tanggungjawab sosial," ujar Nur Fatini dalam kenyataan pada Ahad.
Program ASEAN Leadership BenchMax 2023 turut disertai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi; Penolong Presiden Hal Ehwal Pelajar, Universiti Chulalongkorn, Profesor Prin Jhearmaneechotechai; Setiausaha I (Dua Hala) dan Hal Ehwal Pendidikan Mahasiwa Thailand, Nurajirah Abd Majid; Setiausaha II Kedutaan Malaysia di Thailand, Ku Azzuanith Ku Azmi dan Pengarah Baan Hathairak Orphanage Bangkok, Suthisa Hemserm.
Lawatan penanda aras yang berlangsung 26 hingga 30 Disember 2023 lalu, mendapat tajaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Perdana Menteri (PMO), Expressionz Professional Suites, Diah Exclusive, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Pelancongan Malaysia serta Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM.