Program Little Scientist telah mengambil pendekatan kreatif dalam mencetus minat kanak-kanak mempelajari bidang berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Little Scientist yang dianjurkan unit STEM, Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan bengkel praktikal yang mempunyai dua modul, bertujuan menjadikan pembelajaran sains lebih menarik dan menyeronokkan kepada generasi muda berusia 9 hingga 15 tahun sekali gus mengaplikasikannya.
Sebagai contoh, modul pertama yang disertai 40 peserta Sekolah Kebangsaan (Felda) Air Tawar 4, Kota Tinggi Johor, telah berjaya menguasai aktiviti membina roket air.
Manakala modul kedua yang diikuti 27 peserta daripada pelbagai latar belakang, memberi tumpuan dengan memperkenalkan keajaiban sains forensik termasuk keunikan cap jari dan cara membaca mesej rahsia menggunakan teori sains.
Menerusi modul terbabit, setiap peserta diberi pendedahan dengan melakukan eksperimen amali berkaitan kimia, meneroka konsep seperti tindak balas asid-bes dan proses pengoksidaan.
Menurut pengerusi program, Dr Nadiah Mad Nasir, penekanan bagi setiap modul berobjektif memupuk semangat untuk mempelajari sains.
"Para peserta bukan sahaja belajar membina roket air tetapi juga mendalami prinsip saintifik asas di sebalik pelancarannya.
"Malah, setiap modul menekankan kepentingan menerapkan pemikiran kritis dan kemahiran kerja berpasukan dalam diri peserta,” ujarnya yang juga pensyarah UPM.
Sementara itu, pengerusi modul dua, Dr Sazlinda Kamaruzaman menzahirkan ucapan terima kasih atas maklum balas positif para peserta dan ibu bapa.
"Sekalung penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam Little Scientist.
"Kami di pihak ahli STEM Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UPM akan terus memberi komitmen untuk meneruskan aktiviti pendidikan dalam komuniti,” tuturnya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah UPM.
Akhir sekali, Little Scientist dilihat mencapai objektif apabila pengisiannya banyak menggabungkan inovasi dengan interaktif.
Di samping itu, bengkel tersebut bukan sahaja menyampaikan pengetahuan saintifik sahaja, tetapi memupuk kemahiran penting yang akan memberi manfaat kepada peserta untuk mempelajari dan mengaplikasikan ilmu sains dalam kehidupan seharian.