Rahsia personaliti kekalkan kisah cinta

Iklan
Mengenali dan memahami personaliti diri dan pasangan adalah proses berterusan yang memerlukan memerlukan masa dan usaha. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Zahra.
Apa itu personaliti diri? Gage dan Berliner (1984) ada menyatakan personaliti adalah segala aspek tingkah laku manusia kerana ia merupakan motif, sikap, pendapat, kepercayaan, pemikiran kognitif, emosi dan ciri-ciri seorang.

Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi ke-4, personaliti membawa maksud keperibadian, perwatakan.

Oleh itu, personaliti diri merujuk kepada ciri-ciri psikologi unik, termasuk pemikiran, emosi, sikap dan tingkah laku yang membentuk keperibadian dan perwatakan seseorang.

Ia merupakan kombinasi kompleks yang membezakan seseorang individu dengan yang lain.

Bagaimana untuk Mengenali dan Fahami Personaliti Pasangan?

1. Ujian personaliti:

Ujian personaliti seperti Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) atau Big Five Inventory (BFI) sedikit sebanyak membantu mengenal pasti jenis personaliti diri dan pasangan. Ia antara ujian personaliti yang paling popular di dunia.

• Myers-Briggs Type Indicator (MBTI)

MBTI membagi personaliti kepada 16 jenis berdasarkan empat dimensi: Extraversion vs Introversion (E/I), Sensing vs Intuition (S/N), Thinking vs Feeling (T/F) dan Judging vs Perceiving (J/P).

• Big Five Inventory (BFI)

BFI menggunakan lima dimensi,iaitu Openness, Conscientiousness, Extraversion, Agreeableness, dan Neuroticism. Ia membantu mengukur ciri-ciri asas personaliti yang meliputi kecenderungan terhadap kebukaan, tanggungjawab, ekstraversi, kesopanan dan kestabilan emosi seseorang.

2. Memerhati tingkah laku, komunikasi terbuka dan mendengar aktif

Mengenali dan memahami personaliti pasangan anda memerlukan usaha yang tinggi.

Daripada segi tingkah laku pasangan, perkara-perkara yang dikongsi oleh pasangan dan segala perkara yang berlaku dalam hubungan haruslah ambil cakna.

Perhatikan dengan teliti apa yang dikatakan oleh pasangan anda dan cara mereka mengatakannya. Cuba fahami perasaan dan perspektif mereka, walaupun anda tidak bersetuju.

Dengar dengan teliti dan cuba memahami pandangan pasangan tanpa menilai atau mencelah. Tanya soalan dengan jelas bila perlu bagi mengelakkan gangguan kepada pasangan untuk bercerita.

Selain itu, perhatikan juga tindakan, reaksi, gaya komunikasi dan pilihan mereka dalam situasi yang berbeza. Ini boleh menawarkan petunjuk tentang sifat dan keperluan personaliti pasangan anda.

Akhir sekali, komunikasi terbuka juga sewajarnya dipraktikkan dalam hubungan. Bercakap secara terbuka dan jujur dengan pasangan anda tentang personaliti, suka dan tidak suka, nilai dan matlamat hidup.

Galakkan mereka melakukan perkara yang sama dengan anda. Hal ini dapat membantu membina pemahaman yang lebih mendalam.

Walau bagaimanapun, seseorang itu tidaklah statik di suatu fasa sahaja, mereka akan berkembang mengikut peredaran masa dan begitu juga personaliti mereka. Bersikap terbuka, terima dan hargai perbezaan ini lalu hadapi perubahan ini bersama-sama.

Menjauhi penceraian

Perkahwinan bukan sekadar ikatan yang sah antara lelaki dan wanita sahaja kerana ia perlu disertai dengan tanggungjawab, komitmen serta ilmu berkaitan perkahwinan dalam melayari kehidupan berumah tangga.

Dalam mana-mana perhubungan, kunci memupuk hubungan yang kukuh dan berkekalan terletak pada keupayaan untuk benar-benar memahami dan menghargai satu sama lain.

Mengenali dan memahami personaliti diri dan pasangan adalah proses berterusan kerana perkara ini memerlukan memerlukan masa dan usaha. Perjalanan ini amat bermanfaat kerana boleh membawa kepada hubungan yang lebih mendalam dan hubungan yang lebih memuaskan.

Kejujuran, kesabaran, dan komitmen untuk terus berkembang bersama-sama merupakan asas untuk membina hubungan yang kukuh dan seimbang. Akan tetapi tidak semestinya perkara ini dapat menghindari penceraian sepenuhnya.

Kejayaan hubungan melibatkan komitmen, komunikasi yang baik, pemahaman gegar budaya dan penyelesaian masalah bersama.

Sementara mengenali perbezaan dan persamaan personaliti boleh membantu mengurangkan konflik, faktor-faktor lain seperti kebolehan untuk menyelesaikan masalah, kesetiaan, dan sokongan emosional juga penting.

Kesedaran diri dan kesediaan untuk tumbuh bersama dalam hubungan adalah faktor penting dalam mencegah penceraian.

Penting untuk diingat bahawa setiap hubungan unik, dan tidak ada satu formula atau ujian personaliti yang dapat menjamin kejayaan. Kesabaran, pengertian dan komitmen terhadap pertumbuhan bersama adalah aspek penting dalam hubungan jangka panjang.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun Dua, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Zahra Khiri


Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my