Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bakal memperkenalkan program laluan pantas (fast track) dan Micro Credential kepada pelajar tahfiz.
Menurut Rektor KUIPs, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle, laluan pantas dan Micro-Credential ini ditawarkan kepada pembelajaran tertentu mengikut kadar upaya masing-masing sama ada di kampus berkenaan atau mengikutinya secara dalam talian.
"Peluang yang ditawarkan membolehkan pelajar tahfiz menyambung pengajian di kampus ini mengikut kelayakan mereka,” katanya.
Muhamad Rozaimi berkata demikian selepas menerima kunjungan beberapa Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan At-Tibyan (YKAT) dari Kuantan, Pahang yang diketuai Pengerusinya, Datuk Zulkifli Jaafar.
Sementara itu, Muhamad Rozaimi berkata, dalam perbincangan bersama YKAT, mereka bersetuju untuk melaksanakan beberapa program secara bersama.
Ia termasuk menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA), Memorandum Persefahaman (MoU), menganjurkan kem semasa cuti persekolahan dan beberapa program lain kelak.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kunjungan tersebut membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk melaksanakan program bersama-sama.
Ujarnya, beberapa pendekatan akan dilaksanakan segera terutama program laluan pantas dan Micro Credential untuk pelajar tahfiz.
YKAT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuantan yang bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan secara berterusan termasuk menerapkan nilai-nilai agama dan dakwah untuk masyarakat.