Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengumpul pandangan pelbagai pihak berkenaan garis panduan pemakaian murid ke sekolah untuk sesi akan datang.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya mengambil pendekatan terbuka mengenai perkara tersebut.
"Kita masih mendengar pandangan, input dan sumbang saran semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemegang taruh. Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi.
"Teruskan dengan pemakaian yang ada buat masa ini, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian,” ujarnya ketika mengadakan lawatan kerja gangguan bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada Khamis.
Pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan komplikasi kesihatan.