Pegawai Rakan Peningkatan Sekolah (SIPartners+) dan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) perlu berperanan sebagai rakan strategik kepada guru dan pentadbir sekolah, bukannya sekadar hadir untuk mencari kelemahan atau kesalahan di sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pendekatan bimbingan yang dibawa kedua-dua kumpulan pegawai itu perlu berteraskan sokongan, penyelesaian masalah dan perkongsian kepakaran bagi membantu sekolah meningkatkan mutu pendidikan.
Beliau berkata, guru dan pentadbir sekolah perlu melihat SIPartners+ dan SISC+ sebagai rakan yang boleh dirujuk untuk mendapatkan bimbingan serta bantuan apabila diperlukan.
"Saya tidak mahu SIPartners+ dan SISC+ datang ke sekolah hanya untuk mencari apa yang salah. Saya mahu guru dan pentadbir sekolah mengenali mereka sebagai rakan yang boleh membantu menyelesaikan masalah dan memberikan bimbingan apabila diperlukan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina berkata, perkara itu ditekankan beliau pada sesi libat urus peringkat kebangsaan bersama lebih 300 pegawai SIPartners+ dan SISC+ di Institut Aminuddin Baki.
Beliau berkata, keberkesanan bimbingan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah laporan atau intervensi yang dilaksanakan, sebaliknya perubahan nyata yang berjaya dibawa kepada sekolah.
Katanya, reformasi sekolah juga tidak hanya tertumpu kepada penambahbaikan fizikal seperti pemasangan pendingin hawa atau mencantikkan ruang lobi, kerana perubahan sebenar perlu menyentuh budaya sekolah dan meningkatkan kualiti pengajaran.
Beliau berkata, aspek tersebut semakin penting ketika Kementerian Pendidikan (KPM) bersiap sedia melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 dan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, dengan guru memerlukan sokongan lebih kukuh untuk memahami serta melaksanakan perubahan tersebut.
Fadhlina berkata, semangat"Cikgu Bantu Cikgu" juga perlu terus diperkukuh bagi memastikan kepakaran yang dimiliki pegawai pembimbing dapat disalurkan secara berkesan kepada guru yang memerlukannya.
SIPartners+ dan SISC+ merupakan dua kumpulan pegawai pembimbing profesional yang diwujudkan KPM bagi membantu meningkatkan prestasi sekolah, kualiti kepimpinan serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. - Bernama