Parlimen Mahasiswa: Wadah perbincangan dan perdebatan intelek

Iklan
Parlimen Mahasiswa, persidangan melibatkan badan perwakilan pelajar seperti MPPK, MPP dan Kesatuan Mahasiswa merangkumi pelbagai IPT awam dan swasta seluruh negara. Gambar kecil: Nuraliah Mohamed.

Apabila merungkai masa depan Malaysia, acap kali kita membicarakan tentang generasi muda yang merupakan bakal pemimpin negara.

Memberi peluang dan wadah kepada mereka untuk mengemukakan pendapat, membincangkan isu semasa dan merancang masa depan negara adalah amat penting dalam membentuk barisan pemimpin masa depan berkualiti.

Iklan
Iklan

Mereka adalah tulang belakang negara dan pewaris amanah dalam melanjutkan pembangunan dan kemajuan Malaysia.

Dalam usaha mencapai matlamat ini, Parlimen Mahasiswa diperkenalkan kepada generasi muda khususnya mahasiswa yang bukan sahaja berkumpul dan berbincang, bahkan memberi mereka peluang belajar dan merasai sendiri dinamika politik yang akhirnya membangunkan pendidikan tinggi lebih berkualiti.

Iklan

Parlimen Mahasiswa merupakan wahana tempat pemikiran kritis dan intelek diperkasakan yang akhirnya memberi impak positif kepada masa depan negara.

Merujuk kepada Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Parlimen Mahasiswa adalah persidangan melibatkan badan perwakilan pelajar seperti Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa merangkumi pelbagai institut pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.

Iklan

Ia merupakan platform bagi mereka menyuarakan dan mengupas secara intelektual serta berhemah isu-isu berkaitan kesemua teras perbahasan seperti ekonomi, kebajikan, pemerkasaan dan pembangunan mahasiswa serta pengantarabangsaan.

Menerusi ini, secara tidak langsung membolehkan penuntut memperoleh pengalaman dalam proses demokrasi dan pengetahuan tentang pelbagai isu semasa berkaitan negara.

Peranan dan impak

Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan mengenai peranan dan impak Parlimen Mahasiswa di negara ini.

Adakah masih relevan atau memberi manfaat cukup besar kepada mahasiswa dan negara secara keseluruhannya.

Untuk rekod, persidangan Parlimen Mahasiswa telah bersidang buat pertama kalinya di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia pada 27 Januari 2015.

Itu merupakan inisiatif sangat penting dan relevan dalam memastikan suara mahasiswa didengari dan diambil kira pihak kerajaan.

Parlimen Mahasiswa terbukti amat berkesan dalam membentuk dasar pendidikan dan sosial di Malaysia kerana memperjuangkan hak golongan mahasiswa menuntut penambahbaikan dalam sistem pendidikan dan menyuarakan pandangan mereka kepada pihak kerajaan.

Tambahan pula, Parlimen Mahasiswa menjadi platform penting kepada kelompok ini di seluruh negara untuk memperoleh pengalaman dalam proses demokrasi dan pengetahuan semasa berkaitan negara.

Sejak kebelakangan ini, beberapa isu yang timbul seperti kurang keberkesanan dalam membawa isu mahasiswa kepada pihak berautoriti, kehilangan fokus dan kurang efektif dalam mempertahankan kepentingan penuntut.

Ada juga pihak berpendapat, ia telah menjadi lebih politik dan kurang memikirkan hal penuntut yang sebenar.

Kami percaya, isu ini berbangkit kerana kurangnya keterlibatan dan kefahaman umum mengenai Parlimen Mahasiswa.

Parlimen Mahasiswa relevan

Sebenarnya, pembentukan Parlimen Mahasiswa telah lama terbukti sebagai penyelesaian relevan dalam memartabatkan suara mahasiswa.

Ia menjadi satu-satunya platform formal di mana mereka yang terpilih dapat berbincang dengan pihak berautoriti dan ahli politik secara berhemah bagi membincangkan isu-isu pendidikan.

Dalam proses ini, golongan berkenaan berpeluang untuk menyuarakan kebimbangan mereka, memberi cadangan dan mencari penyelesaian yang sesuai.

Secara tidak langsung, komunikasi antara mahasiswa dan pihak berkuasa dapat diperbaiki serta pandangan mereka boleh diambil kira dalam proses pembuatan keputusan.

Namun begitu, impak dan keberkesanan Parlimen Mahasiswa juga perlu dinilai secara berkala atau berterusan supaya sebarang isu berbangkit boleh dikenal pasti dan penambahbaikan sesuai boleh dilakukan.

Empat teras perbahasan

Merujuk kepada Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023, seramai 187 perwakilan mewakili MPPK, MPP dan Kesatuan Mahasiswa IPT awam dan swasta membahaskan empat teras perbahasan iaitu ekonomi, kebajikan, pemerkasaan mahasiswa dan pengantarabangsaan.

Data ini menunjukkan, Parlimen Mahasiswa menjadi platform efektif menyatukan pelbagai institusi pendidikan dan mahasiswa dari seluruh negara dalam perbincangan topik penting mempengaruhi pendidikan dan kehidupan mereka.

Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT komited menimbang segala pandangan, saranan dan pengamatan yang dikongsikan mahasiswa demi penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara.

Keterlibatan generasi muda dalam Parlimen Mahasiswa mempunyai potensi besar membentuk masa depan negara progresif dan mengukuhkan sistem pendidikan.

Sementara itu, menyertai Parlimen Mahasiswa membolehkan mahasiswa mengasah kemahiran berkomunikasi, perundingan, pengurusan emosi dan interaksi pembentangan.

Perkara ini akan membantu penuntut lebih berkeyakinan, kompeten dan terlatih dalam berinteraksi dengan pelbagai pihak.

Penglibatan mereka dalam parlimen memberi peluang dan ruang mahasiswa membangunkan diri, mempengaruhi perubahan dan menjadi suara yang berkesan dalam isu pendidikan serta kebajikan para penuntut.

Ia akan menjadi pengalaman bermakna dan mempunyai kesan jangka panjang dalam pembentukan mereka sebagai individu berpengetahuan dan bertanggungjawab.

Akhir kalam, Parlimen Mahasiswa di negara ini adalah usaha penting yang perlu dipelihara dan diperkuatkan untuk memastikan suara mahasiswa tetap diberi perhatian sewajarnya dalam isu pendidikan tinggi.

Kami berharap agar kerajaan memperkenalkan lebih banyak program dan aktiviti yang berkaitan dengan proses demokrasi sekali gus memperoleh pengetahuan tentang hal semasa berkaitan negara.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nuraliah Mohamed Firdaus dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my