Thailand kekal destinasi utama: Malaysia catat jumlah pelancong tertinggi

Iklan
Gambar hiasan

Malaysia telah merekodkan jumlah pelancong paling ramai yang berkunjung ke Thailand pada tahun 2025, sekali gus meletakkan negara ini sebagai penyumbang utama pelancong asing ke negara jiran tersebut.

Menurut laporan The Star pada 6 January 2026, Thailand menerima lebih 32.9 juta pelancong antarabangsa sepanjang tahun 2025 dengan rakyat Malaysia menyumbang kira-kira 4.52 juta pelawat mencatatkan Malaysia sebagai negara dengan jumlah pelancong yang paling tinggi.

Iklan
Iklan

Angka ini jelas menunjukkan bahawa Thailand menjadi destinasi kegemaran rakyat Malaysia bagi aktiviti pelancongan. Antara faktor utama yang mempengaruhi adalah kerana kedudukan geografi negara Thailand yang terletak bersebelahan dengan Malaysia.

Tambahan pula, terdapat dua alternatif utama bagi rakyat Malaysia untuk berkunjung ke Thailand, sama ada melalui laluan udara atau laluan darat.

Iklan

Keadaan ini jelas memberikan kelebihan kepada pelancong Malaysia kerana mereka mempunyai fleksibiliti untuk memilih kaedah perjalanan yang paling sesuai dengan keperluan dan minat masing-masing.

Akses yang mudah ini bukan sahaja memudahkan pergerakan malah membolehkan pelancong menghayati dengan lebih dekat nilai dan norma masyarakat Thailand.

Iklan

Menurut laporan mekongregion.com, Bukit Kayu Hitam merupakan pintu sempadan darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand kerana ia menghubungkan Lebuhraya Utara–Selatan di Malaysia secara terus ke jaringan lebuh raya utama di Thailand.

Kedudukan strategik ini turut memberikan akses yang mudah ke bandar-bandar di selatan Thailand yang sememangnya menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia.

Dari sudut ekonomi, Thailand dilihat sebagai destinasi yang masih mampu dikunjungi oleh rakyat Malaysia, walaupun nilai mata wang baht Thailand adalah sedikit lebih tinggi berbanding ringgit Malaysia.

Namun demikian, faktor kos bukan satu-satunya pertimbangan utama, sebaliknya pengalaman berbeza yang ditawarkan menjadikan percutian ke Thailand dirasakan berbaloi sama ada bersama rakan mahupun keluarga.

Pelancong Malaysia dilihat sering memilih destinasi seperti Hat Yai, Krabi dan Phuket kerana kedudukan geografinya yang lebih dekat dengan Malaysia selain menawarkan pelbagai tarikan pelancongan seperti pantai, alam semula jadi, makanan serta budaya tempatan.

Kepelbagaian pengalaman ini menjadikan Thailand menjadi tarikan sebagai destinasi pelancongan yang seimbang dari segi kos serta pengalaman berharga yang dapat dinikmati oleh para pengunjung.

Selain itu, Thailand juga dilihat berjaya mempromosikan destinasi pelancongannya melalui penganjuran acara berskala antarabangsa seperti Phuket Bike Week.

Penganjuran secara besar-besaran ini bukan sahaja menarik penggemar sukan permotoran dari Malaysia, malah telah menjadi salah satu acara tahunan ikonik yang dinanti-nantikan oleh para penggemarnya.

Hasilnya, strategi ini bukan sahaja berjaya menarik para pelancong, malah turut menarik komuniti penggemar motosikal untuk berkunjung.

Kesimpulannya, Thailand kekal sebagai salah satu destinasi pilihan rakyat Malaysia.

Sekiranya kerajaan Thailand terus menambah pelbagai rangsangan dan promosi pelancongan, tidak mustahil bilangan pelancong dari Malaysia yang berkunjung akan terus meningkat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan negara tersebut.

Maklumat penulis:

1. Pelajar Sarjana Sains Sosial (Sosiologi & Antropologi), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Khairul Aizzat Khairulaini

2. Pensyarah UKM Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (SEEDS), Dr Velan Kunjuraman