Gajet, manfaat atau risiko?

Iklan
Kanak-kanak yang terdedah kepada gajet mengalami perubahan dalam gaya hidup iaitu menghabiskan banyak masa di hadapan skrin berbanding aktiviti luar dan bersosial. Gambar kecil: Muhammad Haziq.

Pada era di mana teknologi menerajui setiap aspek kehidupan, isu pemberian gajet kepada kanak-kanak antara yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan pakar kanak-kanak.

Walaupun penggunaan gajet ini acap kali dijadikan sebagai medium pembelajaran dan hiburan, namun manfaat dan risikonya semakin menjadi tanda tanya di mata setiap lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

Gajet dalam kes ini merujuk kepada peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan permainan video yang menjadi sebahagian kehidupan harian kanak-kanak.

Pemberian gajet kepada mereka menimbulkan pelbagai isu termasuk kesan perkembangan sosial, kognitif dan kesihatan kanak-kanak daripada aspek fizikal dan mental.

Iklan

Pihak ibu bapa sering berdepan dengan dilema antara memanfaatkan teknologi sebagai alat pembelajaran kepada anak–anak di usia awal dan risiko pendedahan berlebihan gajet terhadap mereka.

Kanak-kanak yang terdedah kepada gajet pada usia awal mungkin mengalami perubahan dalam gaya hidup iaitu menghabiskan banyak masa di hadapan skrin berbanding aktiviti luar dan bersosial.

Iklan

Perkara ini boleh membawa kepada kurangnya interaksi sosial umum dan aktiviti fizikal untuk perkembangan fizikal dan sosial mereka.

Peratusan meningkat

Menurut kajian terkini, peningkatan peratusan penggunaan gajet terhadap kanak kanak dan remaja dalam lingkungan 5 hingga 17 tahun meningkat daripada 18.3 peratus kepada 47

peratus berdasarkan Kaji Selidik Penggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang dibuat pada tahun 2020.

Hal ini menunjukkan peningkatan pemberian gajet oleh ibu bapa terhadap kanak–kanak di usia awal yang semakin tidak dapat dibendung.

Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan, Kolej Universiti Antarabangsa (PICOMS), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, kanak–kanak tidak menganggap melihat skrin sebagai satu masalah bagi mereka.

"Ia sebenarnya tanggungjawab kita (ibu bapa) untuk menilai dan membantu golongan ini memahami waktu sesuai dan pengurusan masa penggunaan skrin yang efektif,” ujarnya.

Jelas di sini, ibu bapa memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak tentang pengurusan masa dalam penggunaan gajet. Ia penting demi menjaga anak-anak pada usia awal untuk tidak terlalu obses terhadap gajet yang diberikan.

Sementara itu, pendedahan berlebihan terhadap gajet boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, penting bagi ibu bapa dan pendidik menetapkan had yang munasabah terhadap penggunaannya.

Berlandaskan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan dan kesedaran mengenai teknologi yang betul perlu diperkenalkan sejak awal dan penggunaan gajet seharusnya diimbangi dengan aktiviti luar dan interaksi sosial.

Suntik kesedaran

Dalam menangani isu pemberian gajet kepada kanak-kanak, suntikan kesedaran bahawa teknologi adalah sebahagian penting dalam dunia moden sangat diperlukan.

Bagaimanapun, keseimbangan antara manfaat dan risiko perlu dijaga dengan teliti untuk memastikan masa depan kanak-kanak disinari, bukan dibayangi oleh perkembangan teknologi yang pesat.

Ibu bapa dan masyarakat sebagai pihak berautoriti perlu bekerjasama untuk membentuk persekitaran positif bagi perkembangan kanak-kanak dalam era digital ini.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Muhammad Haziq Baharim dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my