Kesedaran masyarakat terhadap warisan budaya kunci penting untuk mengelakkan warisan tempatan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Kesedaran ini mencipta kefahaman akan keindahan dan keunikan warisan budaya hingga mendorong pemeliharaan dan memastikannya tidak dilupakan terutama kepada golongan muda masa kini.
pelbagai agensi terutamanya dalam sektor awam acap kali membuat program dan aktiviti kebudayaan sebagai langkah mengekalkan warisan turun temurun budaya di Malaysia.
Dalam usaha mempromosikan kepelbagaian seni warisan budaya dan mewarisi nilai tradisional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka melalui Kelab Warisan Budaya (KWB) menyahut seruan menganjurkan program dinamakan Minggu Aspirasi Budaya (MAYA), baru-baru ini.
Program berkenaan diadakan saban tahun dan berlangsung selama empat hari melibatkan mahasiswa kampus itu.
Ia adalah platform terbaik kepada penuntut untuk mendedahkan diri dengan budaya masyarakat Malaysia sekali gus menonjolkan bakat seni masing-masing.
MAYA sentiasa dinanti–nantikan warga kampus sejak penganjurannya pada tahun 2015 hingga kini, di bawah bimbingan dan naungan Mohd Isham Abidin dan Siti Amalina Mohd Yazid sebagai penasihat KWB.
MAYA bertujuan menarik minat mahasiswa terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia. Malah, ia juga berobjektif mendorong penglibatan aktif melalui kesedaran terhadap kepentingan melestarikan tradisi, seni dan keunikan budaya dalam kalangan penuntut.
Program itu menggabungkan usahasama semua persatuan penuntut UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka seperti Persatuan Marketing Student Associations (MASA), International Business Club (IBUC), Finance Student Association (FINEST), Human Resource Society (HURES), Bachelor of Office Systems Society (BOSS) serta Hotel and Tourism (HOTOUR).
Pelbagai kategori dipertandingkan dalam program MAYA 2023 antaranya nyanyian solo lelaki, perempuan, berkumpulan, duet, koir dan tarian berkumpulan.
Sambutan hebat
Pada awal penubuhan MAYA, ia kurang mendapat sambutan daripada para penonton.
Namun begitu, pada 2023, MAYA mendapat sambutan hebat dengan mencatatkan jumlah penonton yang hadir melebihi 450 orang. Ini merupakan kejayaan menakjubkan dan boleh dibanggakan
bagi program bertemakan warisan budaya seperti ini.
Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Dr Mohd Halim Mahphoth berpendapat, MAYA memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa menonjolkan bakat di samping menaikkan martabat seni warisan budaya dalam kalangan warga UiTM KBM.
"Kejayaan KWB dalam mengadakan MAYA memberi impak positif kepada semua pihak.
"Ia juga memberi inspirasi kepada golongan penuntut dalam memartabatkan seni warisan budaya di Malaysia selain dapat menyediakan platform kepada mereka mengasah bakat kesenian dalam diri,” ujarnya yang mengharapkan program sebegini sentiasa dijalankan setiap tahun dan terus mendapat sambutan meriah semua pihak.
Maklumat Penulis
Mahasiswa UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Alia Khairani Noraidi dan Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my