Wajib ada lesen kejurulatihan

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan Bil. 1/2024, baru-baru ini.

"Guru dan kakitangan yang terlibat dalam kejurulatihan sukan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwajibkan mempunyai sijil kejurulatihan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) kendalian Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara.

"Manakala jurulatih sukan di bawah KPM dan KPT pula diwajibkan mempunyai lesen kejurulatihan berdaftar yang aktif di bawah Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan Malaysia Sports Coach Registry (MSCR),” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Perkara berkenaan yang diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan Bil. 1/2024 dan dipengerusikan Ahmad Zahid, turut mewajibkan guru Pendidikan Jasmani dan jurulatih sukan KPM dan KPT memberi pendedahan kepada para pelajar dan atlet mengenai elemen-elemen dalam Kod Sukan Selamat.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan Sukan Bil. 1/2024 memfokuskan kepada beberapa perkara termasuk pemerkasaan pembangunan sukan olahraga dan renang serta penambahbaikan ekosistem kejurulatihan melalui kolaborasi rentas kementerian.

Iklan

Malah, Ahmad Zahid turut menekankan agar bakat-bakat sukan dalam kalangan anggota badan beruniform diberikan perhatian sebagai satu kumpulan yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan sukan tanah air.

Sementara itu, beliau turut membuat catatan tentang kepentingan mencari bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi dalam melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Iklan

"Pemegang taruh utama seperti Kementerian Belia dan Sukan, KPM, KPT serta persatuan sukan perlu bergerak seiringan bagi mewujudkan suatu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang berstruktur dan efektif.

"Talent pool (kumpulan bakat) yang lebih luas memberi kelebihan bagi menggilap potensi atlet dari peringkat awal,” katanya.

Meskipun pertandingan kompetitif turut dilaksanakan di semua peringkat merentas pelbagai sektor pendidikan, Ahmad Zahid berharap, usaha itu dapat dipergiatkan lagi agar pencarian bakat untuk sukan berprestasi tinggi diperluaskan termasuk merentasi pelbagai sektor pendidikan seperti sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan institusi tahfiz.

"Insya-ALLAH, melalui mesyuarat seperti hari ini saya yakin penyelarasan baik antara kementerian, agensi dan semua pemegang taruh, pembangunan sukan negara akan dapat dipertingkatkan secara berstruktur dan mendapat hasil yang lebih baik di masa akan datang,” tulisnya lagi.