Empat pendaki UUM tawan Rinjani

Iklan
Asrol Anuar (kiri) dan Norzaliza antara empat pendaki UUM yang berjaya menawan Rinjani.

Berkelana ke Lombok, Indonesia pasti tidak lengkap tanpa menyantuni Gunung Rinjani. Gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu, mempunyai keunikan dan kecantikan tersendiri dan dambaan setiap pendaki.

Keindahan Danau Segara Anak, Gunung berapi aktif Barujari, alunan padang Savana, pemandangan Palawangan Sembalun, air terjun, kolam air panas, kehijauan alam dan kehebatan porter Rinjani antara tarikan Gunung Rinjani.

Iklan
Iklan

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Norzaliza Ghazali berkata, gunung itu boleh didaki melalui laluan trek Sembalun dan laluan trek Senaru yang mana kedua-duanya mempunyai landskap hutan serta pendakian yang berbeza.

"Kami memilih untuk mendaki melalui Sembalun Torean kerana jalur ini sangat cantik pemandangannya serta berpeluang melakukan khidmat masyarakat dengan menanam pokok di situ.

Iklan

"Pagi yang dingin tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perjalanan menakluki Gunung Rinjani. Perjalanan agak santai namun cabaran bermula sebaik saja menuju ke Pos 5.

"Di situlah kami mula berlawan dengan kekuatan emosi, mental dan kekuatan diri. Kami melewati Bukit Penyesalan iaitu tujuh bukit yang perlu dilalui sebelum tiba di tapak perkhemahan.

Iklan

"Sambil mendaki kami mendengar cerita masyarakat, khabarnya jika betul mahu memperisterikan seorang wanita, panjatlah Rinjani dan petiklah bunga El Edelweis, apabila bunga dalam genggaman, itu tanda bukti cinta yang sejati,” ujarnya.

Untuk rekod, pendakian Gunung Rinjani dengan ketinggian 3,726 meter itu membabitkan empat individu dari UUM iaitu Dr Amirul Faiz Osman, Asrol Anuar Ramli, Mohd Fauzwadi Mat Ali dan Norzaliza sendiri.

Para pendaki terkesima dengan panorama yang indah memukau, saujana mata memandang dan unik sewaktu pendakian ke puncak Rinjani.

Merentasi Padang Savana Sembalun Lawang sepanjang enam kilometer memberikan pemandangan yang indah mempesona. Savana ini didominasi dengan rerumputan dengan tinggi satu hingga 1.5 meter menghidangkan panorama yang menyejukkan mata.

"Untuk sampai ke Pelawangan Sembalun memakan masa tujuh jam. Di sini, pendaki mendirikan khemah dan beristirehat, kami tidur awal kerana pendakian ke puncak memerah segala kudrat dan tenaga.

"Pendakian ke puncak diteruskan seawal jam 2.30 pagi. Dalam perjalanan, kami melihat seorang demi seorang tewas akibat cuaca sejuk dan kekejangan otot. Mujurlah Amirul Faiz sentiasa memberikan kata-kata semangat agar terus berjalan walaupun secara perlahan-lahan,” tambahnya.

Amirul menyifatkan pendakian ini amat mencabar mental dan fizikal khususnya dengan cuaca yang sangat dingin, bahang matahari berada di atas kepala, sambil ruang udara dipenuhi dengan pasir batu kerikil.

"Setelah enam jam bertarung, akhirnya kami sampai ke puncak Gunung Rinjani menikmati keindahan yang menakjubkan ciptaan Allah sambil merenung diri betapa kerdilnya manusia,” katanya.

Pendakian ini amat mencabar mental dan fizikal khususnya cuaca sangat dingin, bahang matahari serta ruang udara dipenuhi dengan debu pasir batu kerikil.

Asrol Anuar Ramli yang merupakan kakitangan UUMPress berkata, sepanjang ekspedisi para pendaki terkesima dengan panorama yang indah memukau, saujana mata memandang dan unik.

"Cantiknya pemandangan yang tidak terjangkau dek akal fikiran yang membuatkan kami bertambah kagum dengan kebesaran Allah, benarlah bersahabat dengan alam amat mendamaikan, tenang dan hilang segala masalah,” luahnya.

Berkongsi pengalaman, keperitan dan kesengsaraan dihadapi dengan cekal misalnya ketika di jalur Torean yang terkenal dengan pemandangan yang sangat cantik seolah-olah berada di luar negara namun, sangat curam dan bahaya.

"Perjalanan panjang selama 16 jam menemukan kami dengan pelbagai hentian, menelusuri tebing yang curam, kawasan bergaung, lembah hijau, berpasir dan berbatu selain bukit-bukau, jurang dan gaung yang dalam,” katanya.

Mohd Fauzwadi juga teruja melakukan khidmat komuniti dengan menanam sebatang pokok setiap orang di sekitar kawasan pendakian.

"Kami amat bersyukur kerana bukan sahaja dapat menikmati keindahan Rinjani malah berpeluang menanam pokok tanda kehadiran kami di bumi Lombok,” luahnya.

Misi pendakian berjaya direalisasikan berkat doa, semangat berpasukan, kerjasama yang erat, disiplin tinggi serta minda positif yang menyemarakkan semangat untuk sampai ke destinasi istimewa.