Langkah bijak tangani tekanan

Iklan
Tekanan yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan mental para pelajar. Gambar kecil: Seri Aleeya.

Tekanan dalam kalangan pelajar sering dikaitkan dengan aktiviti akademik dan bukan akademik. Ia dilihat semakin tenat dan perlukan rawatan segera.

Disebabkan tekanan yang tinggi, ia boleh menjejaskan kesihatan mental para pelajar. Justeru, kupasan ini memfokuskan isu tekanan dalam kalangan pelajar, memahami punca, kesan dan menawarkan cadangan dalam menangani masalah berkenaan.

Iklan
Iklan

Laporan mengenai masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan iaitu lima kali ganda pada tahun 2022 berbanding 2020. Statistik itu merujuk kepada individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS).

MHPSS merupakan inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

Malah, kajian Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) menyatakan, 89 peratus pelajar di negara ini mengalami tahap tekanan sederhana hingga tinggi.

Selain itu, dalam kaji selidik yang dijalankan KKM, 32 peratus pelajar melaporkan berasa tertekan dengan tekanan akademik.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Azmawaty Mohamad Nor berkata, umumnya ramai pelajar sekolah dan universiti kurang celik kesihatan mental.

Bila berlaku hal sebegini, ia secara tidak langsung mengakibatkan mereka tidak dapat mengatasi dan gagal berfikir dengan betul apabila berhadapan situasi rumit.

"Tekanan pelajar boleh membawa akibat yang teruk termasuk kemerosotan prestasi akademik, peningkatan risiko masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

"Selain itu, masalah kesihatan fizikal (insomnia dan sakit kepala), hubungan tegang dengan rakan sebaya dan ahli keluarga, pengurangan kesejahteraan keseluruhan serta kepuasan hidup turut berlaku jika tekanan tidak dapat diatasi,” ujar Azmawaty.

Terdapat pelbagai cara menangani masalah tekanan dalam kalangan pelajar di negara ini, antaranya

1) Pihak bertanggungjawab haruslah menggalakkan Pendidikan Kesihatan Mental ke dalam kurikulum universiti di Malaysia. Ini akan membantu pelajar mengenali tanda-tanda tekanan dan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

2) Galakkan penggunaan media sosial yang sihat dengan mendidik pelajar tentang potensi kesan negatif di platform itu. Jika tekanan menjadi melampau dan berterusan, pertimbangkan untuk mendapat bantuan profesional.

3) Pelajar hendaklah bijak dalam pengurusan masa kerana ia kunci mengurangkan tekanan. Sediakan jadual belajar yang membolehkan anda berehat secara tetap. Utamakan tugasan dan tetapkan matlamat bagi mengelakkan rasa tertekan di saat akhir. Penggunaan kalendar digital boleh menjadi alat bantuan berharga dalam mengatur masa anda.

4) Pengekalan dan penekanan terhadap gaya hidup seimbang merangkumi aktiviti fizikal yang kerap, pemakanan sihat dan tidur mencukupi. Senaman adalah penghilang tekanan sangat baik dan diet yang seimbang diperlukan untuk menyokong kesihatan mental dan fizikal.

Kesimpulannya, menghadapi tekanan dalam kalangan pelajar di negara ini merupakan isu yang memerlukan perhatian serius.

Dengan mengenali punca dan akibat tekanan serta melaksanakan strategi disyorkan, kita boleh berusaha ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan lebih sihat dan menyokong.

Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, pendidik dan penggubal dasar serta remaja sendiri untuk bersama-sama menangani kebimbangan yang mendesak ini dan memastikan kesejahteraan generasi masa depan negara.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Seri Aleeya Abdullah Suhaimi dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my