Kebitaraan Batik Perak mengangkat prestij seni kreatif tempatan

Iklan
Motif Bunga Kelumpang pada acuan ball clay. Gambar kecil: Dr Anida (atas) dan Dr Nur Syuhada (bawah).

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Perak merupakan badan yang bertanggungjawab dalam menghasilkan kajian rintis Batik Perak.

Secara umumnya, Batik Perak merupakan sejenis penghasilan batik beridentiti bagi negeri Perak Darul Ridzuan yang menjadikan Bunga Kelumpang sebagai motif rasmi dan menggunakan bahan berasaskan tanah liat (jenis bebola atau Ball Clay) sebagai medium penghalang warna.

Iklan
Iklan

Manakala proses pembuatannya secara keseluruhan atau sebahagian menggunakan tangan dan hampir menyerupai proses pembuatan Batik Lilin.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, Batik Perak memiliki keunikan dan identiti yang tersendiri yang berbeza dengan batik-batik lain di Malaysia.

Iklan

"Inovasi Batik Perak ini dilihat dapat memberi nadi baharu dalam pengindustrian masa hadapan dalam melestarikan Seni Batik.

"Batik Perak pada masa ini, semakin mendapat perhatian dengan rekaannya mengandungi unsur warisan dan identiti negeri dan telah dipromosikan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2024 (MAHA 2024)," katanya.

Iklan

Contoh corak Bunga Kelumpang pada kain.

Beliau berkata, Batik Perak turut mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta barisan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak ke Pavilion Negeri Perak MAHA 2024 tahun lalu.

Jelasnya lagi, keistimewaan Batik Perak tersebut, ia menyerlahkan kebitaraan identitinya menerusi motif Bunga Kelumpang.

"Bunga Kelumpang merupakan bunga yang dipilih sebagai identiti negeri Perak dan merupakan jenis tumbuhan natif di Malaysia.

"Bunga Kelumpang diolah menerusi kreativiti pereka kraf tekstil di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak dengan idea tersendiri di samping mengintegrasikan olahan motif Tekat Benang Emas yang memberi sentuhan eksklusif," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizan memberitahu, proses penghasilan Batik Perak direalisasikan menerusi inovasi bahan pembatikan alternatif iaitu bahan penghalang warna batik berasaskan tanah liat bebola (ball clay) sekali gus memberi kesan motif dan corak batik yang unik, abstrak dan mirip kesan penggunaan lilin batik.

Penggunaan bahan penghalang warna berasaskan tanah liat ini jelasnya lagi, mampu memberi kesan corak dan motif yang berbalam di atas permukaan fabrik yang memberi identiti tersendiri berbanding kejelasan corak dan motif yang terhasil melalui penggunaan bahan penghalang warna berasaskan lilin dan rosin.

Motif Bunga Kelumpang pada Batik Perak.

"Kesan berbalam pada motif batik, terhasil melalui cirian tanah liat bebola yang bersifat hidrofilik iaitu mudah larut air.

"Sifat ini amat berlawanan dengan cirian lilin yang bersifat hidrofobik, iaitu tidak larut air, walaupun kedua-dua jenis bahan tersebut berperanan untuk menghalang warna batik yang dikenakan kepada fabrik," ujarnya.

Katanya lagi, bahan penghalang warna berasaskan tanah liat tersebut bersifat mesra alam dan telah mampu memendekkan tempoh masa penghasilan batik berbanding penggunaan lilin yang memerlukan tempoh masa penghasilan yang lebih panjang.

Tambahnya lagi, jenis pewarna batik yang digunakan adalah sama seperti pewarna batik lilin iaitu jenis Remazol dan Naphtol.

"Pewarna jenis alami seperti ekstrak akar, kayu, buah dan daun turut boleh digunakan bersama bahan penghalang warna berasaskan tanah liat untuk menghasilkan Batik Perak yang bersifat lestari.

"Bahan penghalang warna berasaskan tanah liat dikategorikan sebagai bahan pembatikan versatil kerana boleh diaplikasi kepada pelbagai jenis fabrik seperti cotton, silk, lycra, satin termasuk belacu, merangkumi gred kain yang premium, sederhana sehingga ke gred rendah," jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, kebitaraan Batik Perak juga dapat dilihat menerusi inovasi penghasilan blok batik berasaskan bahan polimer menggunakan teknik cetakan 3D.

Penghasilan blok batik terap menerusi cetakan 3D katanya lagi, telah membantu menyelesaikan masalah tempoh masa penghasilan blok terap berasaskan tembaga yang panjang kerana dilakukan secara tradisional.

Malah, blok tembaga terdedah kepada risiko karat kerana sebatian penghalang warna berasaskan tanah liat yang digunakan mempunyai kandungan air yang tinggi, maka blok terap berasaskan bahan polimer yang bebas karat menjadi pilihan untuk menghasilkan Batik Perak.

Penghasilan Batik Perak melibatkan penggunaan bahan berasaskan tanah liat, telah memberi dimensi baru terhadap bahan pembatikan yang lebih mesra alam, mesra pengguna dan selamat digunakan oleh semua golongan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Batik Perak mampu menjadi pemangkin usaha kerajaan negeri untuk mendaya upaya golongan OKU dari segi pembinaan kemahiran dan penjanaan pendapatan untuk kelangsungan.

Kerjasama antara kerajaan negeri dan institusi pendidikan tinggi menerusi pelbagai program penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan masyarakat dilihat mampu untuk mengukuhkan kesejahteraan sosial menerusi pengenalan Batik Perak sebagai sumber baru limpahan ekonomi dan pewujudan identiti baharu Negeri Perak yang boleh dibanggakan.

Batik Perak bukan sekadar fabrik, tetapi sebuah seni yang mengangkat identiti melalui olahan motif flora yang unik serta bahan dan teknik pembatikan baharu yang diinovasi.

Melalui gabungan elemen warisan dan pembaharuan, Batik Perak akan terus berkembang sebagai hasilan kraf kebanggaan negeri yang menjulang citranya ke persada tertinggi.

Maklumat penulis:

1) Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Anida Sarudin

2) Pensyarah Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif UPSI, Dr Nur Syuhada Mat Sin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my