Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sudah pun bermula sejak 8 Januari lalu melibatkan seramai 395,870 calon.
Sudah pasti, semua calon pada saat ini sedang membuat pecutan terakhir sebelum menjelangnya ujian bertulis SPM yang dijadualkan bermula 30 Januari nanti.
Untuk itu, jom kita lihat apakah usaha terakhir yang dilakukan oleh tujuh calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding bagi menghadapi ‘peperangan’ mereka tidak lama lagi.
Perkongsian 1
Pelajar aliran Sains Tulen, Ahmad Imran Ahmad Zailan mengakui dia menumpukan sepenuhnya latihan dan latih tubi bagi meningkatkan lagi kefahaman terutama terhadap subjek yang memerlukan kaedah menghafal.
•Dia yang bercita-cita ingin menjadi guru Kimia itu berkata, latihan dibuat agar dapat mencantikkan lagi jawapan yang akan ditulis di atas kertas peperiksaan.
•"•Selalunya selepas Subuh, saya akan baca nota dan mudah faham kerana pada waktu itu otak masih segar.
•"•Membuat latihan dan latih tubi yang diberikan oleh cikgu pada waktu malam,•”• katanya.
•Memegang •prinsip discipline dan consistency is the key to success•, Ahmad Imran menegaskan turut menjaga kesihatan dari sudut pemakanan dan mental.
Perkongsian 2
Bagi Muhammad Aidil Armen, pecutan terakhir yang dilakukan dengan menghadiri seberapa banyak kelas tambahan serta seminar dalam talian.
Dia juga akan mengulang kaji sehingga lewat malam demi memastikan dirinya bersedia menghadapi peperiksaan.
"Dari segi penjagaan kesihatan dan fizikal, saya akan pastikan makan mengikut waktu dan bagi kesihatan mental, selalunya akan cari rakan-rakan sekiranya berdepan masalah atau tak faham sesuatu topik.
"Lebih-lebih lagi, saya suka mengulang kaji bersama kawan kerana dapat membantu dengan mengajar sekiranya mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Perkongsian 3
Biarpun mempunyai masalah kesihatan iaitu tekanan darah rendah, tidak mematahkan semangat Poon Wen Jia berjuang bagi menghadapi ‘perang’ SPM.
"Saya ada mengambil makanan tambahan seperti vitamin C dan Asid Folik sebab bila tekanan darah normal, saya mudah fokus untuk mengulang kaji.
"Saya juga membuat jadual belajar sendiri dan menekankan subjek yang memerlukan saya menghafal seperti Sejarah dan Biologi,” ujarnya.
Perkongsian 4
Tania Batrisya Madaruddin yang merupakan pelajar aliran Sains Tulen, mengakui telah berusaha gigih mengulang kaji pelajaran, selain menghadiri kelas tambahan yang dibuat oleh guru di sekolah.
Tidak hanya itu, dia turut mengikuti kelas tambahan luar secara dalam talian agar dapat menambahkan lagi ilmu dan pengetahuan sebagai persiapan menjelang peperiksaan SPM.
"Persediaan akhir ini kebanyakannya dengan mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan guru di sekolah. Saya juga menghadiri tuisyen tambahan lain setiap minggu.
"Untuk mengulang kaji sendiri, saya akan habiskan semua topik dan tidak menangguh latihan,” ujarnya.
Mempunyai hobi membuat kek, Tania memberitahu sering memberikan self-reward selepas bertungkus-lumus mengulang kaji dengan makan makanan manis seperti kek atau pavlova.
"Impian menjadi doktor haiwan dan berharap keputusan SPM ini melayakkan saya mengikuti pengajian asasi pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.
Perkongsian 5
Berkongsi tip mengulang kaji, Muhammad Najmi Mohd Khairulnizam mengakui calon SPM perlu rajin menganalisis soalan yang diberi guru serta tahun-tahun sebelumnya.
Dia yang mengambil sembilan subjek termasuk teras dan Sains Sukan, Prinsip Perakaunan serta Sains Komputer itu memberitahu, terdapat beberapa soalan serta topik yang menjadi 'target' para guru bagi SPM tahun ini.
"Saya akan mengulang kaji dengan melihat soalan SPM tahun sebelumnya dan beberapa soalan yang menjadi 'target.
"Saya juga buat latihan dengan melihat soalan percubaan SPM dari negeri lain sebagai tambahan kefahaman,” katanya.
Bercita-cita sebagai guru, Najmi memberitahu sudah mula membiasakan diri untuk tidur sebelum jam 12 tengah malam untuk memastikan rehat yang cukup.
"Usaha, doa dan tawakal. Saya kini dalam fasa berusaha diiringi doa guru serta rakan-rakan.
"Paling penting, doa ibu bapa sendiri,”ujarnya.
Perkongsian 6
Bercita-cita ingin menjadi doktor pergigian mendorong Nabila Rahmat untuk melakukan yang terbaik bagi mencapai keputusan cemerlang SPM 2023.
Katanya, prinsip yang dipegang iaitu tidak mudah mengalah telah membantu dirinya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh sebagai persiapan terakhir.
"Saya balik sekolah akan tidur dulu untuk rehat dan sebelah petang, baru saya akan mengulang kaji.
"Sebelah malam pula, saya akan membaca subjek yang memerlukan saya hafal seperti Sejarah sebelum tidur,” ujarnya.