Penat lelah berlatih akhirnya berbaloi!
Pasukan Debat Kedah bukan sahaja bergelar johan, malah salah seorang ahlinya turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan 2026 dalam Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026 kategori bahasa Melayu sempena PETAH KPM 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Bagi Sharifah Dhuha Armeyya Syed Dahuri Azmira, kejayaan kali ini pastinya membawa makna tersendiri apabila tahun ketiga penyertaannya dalam pertandingan debat berakhir dengan satu pengiktirafan yang cukup membanggakan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Kedah itu berkata, kemenangan tersebut bukan sekadar tentang sebuah gelaran, tetapi juga penghargaan terhadap usaha yang dilakukan sepanjang menyertai pertandingan berkenaan.
"Kali ini saya menang. Terima kasih kepada semua termasuk jurulatih, guru-guru dan kawan-kawan," katanya menerusi satu rakaman video.
Kejayaan pasukan Kedah membuktikan bahawa kemenangan bukan bergantung pada kebolehan seseorang semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen seluruh pasukan.
Mereka berjaya menewaskan pasukan Selangor (naib johan) dalam perdebatan akhir menerusi usul 'Kecerdasan Buatan akan Mengambil Alih Tugas Guru dalam Pendidikan'.
Hasil kemenangan itu, pasukan Kedah membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM12,000 manakala naib johan mendapat trofi dan RM10,000.
Mengulas kejayaan itu, salah seorang ahli pasukan berkongsi bahawa kemenangan tersebut bukan hasil usaha mereka sahaja, sebaliknya turut didorong komitmen semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, dalam kategori bahasa Inggeris turut menyaksikan pasukan Pahang muncul juara selepas menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan.
Perdebatan akhir berlangsung menerusi usul This House Believes that The Rise of AI Requires Schools to Redefine What Constitutes Academic Achievement.
Johan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000 serta naib johan menerima trofi dan RM10,000.
Terdahulu, PETAH KPM 2026 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan 'Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI' bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Pelbagai pertandingan kebahasaan dianjurkan, termasuk Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026, bagi mengasah kemahiran berhujah, memupuk kesantunan berbahasa dan memperkukuh perpaduan.
INFO
1) Pendebat Terbaik Generasi MADANI bagi kategori bahasa Melayu
- Daniel Chiah Wei Yuan dari Pasukan Selangor
2) Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan (kategori bahasa Melayu)
- Sharifah Dhuha Armeyya Syed Dahuri Azmira (Pasukan Kedah)
3) Pendebat Terbaik Generasi MADANI (kategori bahasa Inggeris)
- Yup Xin Yee (Pasukan Pahang)
4) Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan (kategori bahasa Inggeris)
- Wan Ahmad Yusuff Wan Mohd Yusni (Pasukan Pahang)