2,000 mahasiswa terima sumbangan makanan asas MR D.I.Y.

Iklan
Para mahasiswa terima sumbangan asas makanan MR D.I.Y.
Lebih 2,000 bungkusan makanan asas yang mengandungi mi dan bubur segera, uncang teh serta biskut krim telah disumbangkan oleh Yayasan MR D.I.Y.

Bantuan asas makanan itu telah dimanfaatkan oleh 2,00 mahasiswa universiti di Universiti Teknologi Mara [UiTM] Shah Alam, Universiti Putra Malaysia [UPM], Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman [TAR UMT], dan Universiti Tenaga Nasional [UNITEN].

Ia merupakan inisiatif di bawah program #DIY4Universiti menerusi 'University Foodbank' yang diusahakan oleh Yayasan MR D.I.Y badan amal milik peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad [MR D.I.Y.] dengan mendekati empat universiti tersebut serta mengedarkan bungkusan makanan.

Mengulas tentang inisiatif berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan MR. D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata, ia dijalankan kerana pihaknya cakna akan masalah kewangan yang sering dihadapi oleh mahasiswa terutamanya menjelang hujung bulan.

"Kami sedar akan beban kewangan yang sering dialami oleh para pelajar universiti menjelang hujung bulan.

"Inilah sebabnya kami menjalankan inisiatif 'University Foodbank' untuk meringankan bebanan mereka dan matlamat Yayasan MR D.I.Y. adalah untuk terus menyokong perjalanan pendidikan serta menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan mereka supaya para pemimpin masa depan kita dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perihal akademik mereka,” katanya.

Zaleha turut mengucapkan terima kasih kepada semua institusi yang terlibat atas kerjasama mereka dan membantu memastikan pengedaran bungkusan makanan kepada semua mahasiwa universiti berjalan lancar.

Dalam pada itu, #DIY4Universiti adalah sebahagian daripada siri inisiatif yang dibangunkan untuk membantu dan menyokong komuniti universiti yang memerlukan.

Dalam inisiatif ini, lebih daripada 100,000 kit ujian percuma turut telah diagihkan kepada universiti-universiti tempatan di seluruh Malaysia, meningkatkan kesedaran mengenai COVID-19 kepada para pelajar tentang keselamatan diri dan komuniti universiti semasa pandemik.

Inisiatif ini juga melibatkan pengedaran RM3.6 juta dalam bentuk wang tunai melalui e-wallet kepada 12,000 pelajar universiti tempatan.