Seramai 53 penuntut perubatan, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicince Perak (UniKL RCMP) mengikuti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Zoo Taiping & Night Safari, Perak, Ahad lalu.
Agenda utama program CSR Zoo Guardians itu adalah aktiviti pembersihan yang memerlukan para peserta membersihkan lima lokasi berbeza di zoo berkenaan.
Menurut kenyataan media UniKL RCMP, hampir 35 beg sampah yang terdiri daripada daun kering, tisu, botol plastik, tin dan pelbagai lagi sampah lain berjaya dikutip sepanjang Zoo Guardians dijalankan.
"Selain membersihkan kawasan zoo, peserta turut mengikuti beberapa permainan berkonsepkan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle.
"Permainan bahasa interaktif seperti spelling bee, flora & fauna charades serta plants & animal trivia quiz turut diadakan dengan tujuan meluaskan pengetahuan tentang haiwan dan meningkatkan kerja berpasukan dalam kalangan peserta,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, program CSR kumpulan penuntut UniKL RCMP tersebut diketuai Rili Andika Alzamaniq Warijan, seliaan Pensyarah Unit Pengajian Am, Ahmad Shahir Mohd Sahran.
Program terbabit berakhir sekitar jam 4 petang dengan majlis penyampaian hadiah dan sesi fotografi.
UniKL RCMP selaku penganjur Zoo Guardians merakam penghargaan kepada Key Field Offshore Sdn Bhd kerana menaja program CSR berkenaan.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat.
"Kami percaya aktiviti sebegini berjaya memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang pemeliharaan alam sekitar ke arah meningkatkan kelestarian bumi akan datang,” ujar kenyataan itu.