Gali ilmu kewartawanan di Medan, Indonesia

Iklan
Mahasiswa PPK (Kewartawanan) USM bergambar kenangan di hadapan pejabat Harian Waspada.

Lawatan Akademik dan Silang Budaya telah membawa 11 mahasiswa tahun akhir kewartawanan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) terbang ke Medan, Indonesia pada 18 Januari 2023.

Program ini diadakan sebagai langkah pembelajaran luar bilik kuliah bagi kursus Pengurusan dan Penerbitan Majalah di bawah bimbingan Profesor Madya Dr Nik Norma Nik Hasan dan mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja dari Pulau Pinang ke Kualanamu, Medan.

Iklan
Iklan

Setibanya di sana, kami dijemput oleh alumni PPK, USM, Reyza Husein Siregar yang lebih mesra dipanggil Abang Reyza.

Kali pertama menjejakkan kaki ke Medan, kami mengalami kejutan budaya apabila melihat keadaan jalan raya yang sangat sesak sehingga jarak antara kenderaan sangat rapat, cermin sisi kenderaan hampir bertemu dengan cermin sisi kenderaan yang lain. Bunyi hon kenderaan juga berbalas antara satu sama lain bergema di sepanjang perjalanan.

Iklan

Sesampai di Kualanamu pada jam 6.40 pagi, kami terus menuju ke destinasi pertama iaitu Harian Waspada dan Waspada Online, sebuah syarikat akhbar yang penuh sejarah di Medan.

Nik Norma (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Bapak Hamonangan Panggabean, Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) di samping Pak Austin Tumengkol (kiri) dan Bapak M Syahir (paling kanan).

Iklan

Kecil ruang kerjanya, namun tinggi semangat kewartawanan yang ditonjolkan oleh para karyawannya. Kehadiran kami disambut meriah oleh warga Waspada dengan jamuan lontong Medan yang enak.

Sambil makan, Wakil Pemimpin Redaksi Harian Waspada, Pak Austin Tumengkol berkongsi sejarah penubuhan Harian Waspada yang diasaskan oleh nenek beliau, Ibu Ani Idrus pada tahun 1947 sebagai wadah rakyat Indonesia menentang penjajahan Belanda.

Kedudukan Harian Waspada terus teguh hingga kini dan berkembang mengikut peredaran zaman dengan menubuhkan Waspada Online.

Mahasiswa PPK (Kewartawanan) USM bergambar kenangan di hadapan pejabat Harian Waspada.

Ibu Putri, iaitu Pengarah Perniagaan Waspada Online menambah antara cabaran yang mereka hadapi ialah untuk melaporkan dengan kritis dan neutral. Contohnya dalam suasana Pemilu 2024 Indonesia yang akan berlangsung pada Februari 2024 ini seringkali ada media yang melaporkan pada sebelah pihak sahaja yang bukan prinsip akhbarnya.

Semasa di sana, kami bertuah kerana dapat bertemu dengan wakil dari Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) iaitu Ketua Dewan Kehormatan Provinsi (DKP), Bapak M Syahrir dan ahli PWI Sumut, Bapak Hamonangan Panggabean.

Menariknya cerita mereka mengenai wartawan warga yang menjadi pesaing kepada wartawan bertauliah di Medan, justeru pensijilan diberikan sebagai usaha membendung pelaporan yang tidak bertanggungjawab.

Selesai sesi diskusi, kami dibawa melawat ruang kerja Waspada Harian. Pejabat yang keluasan saiz bilik lebih kecil berbanding Bilik Berita kami di PPK membuatkan kami semua merasa bersyukur dengan kemudahan yang disediakan oleh PPK untuk kami.

Seterusnya kami mengunjungi pejabat Kompas, akhbar nasional Indonesia cawangan Medan disambut oleh Pak Nikson Sinaga. Di sana tertelaknya pejabat Harian Kompas, Kompas.id dan Kompas TV.

Selain menerangkan mengenai operasi dan latarbelakang Kompas, beliau juga menjelaskan dengan bersemangat bahawa media perlu mencari satu formula perniagaan yang lebih lestari bukan hanya meletakkan masalah media industri yang semakin mengecil terhadap teknologi dan media sosial.

Menurut Pak Nikson, perkembangan teknologi tidak boleh disekat tetapi kita yang perlu memikirkan bagaimana untuk berjalan seiringan dengannya.

Kami juga berpeluang melawat ruang kerja seperti bilik editorial dan studio rakaman berita. Selepas melawat ruang kerja mereka, kami sedar bahawa ruang kerja yang selesa dan peralatan yang canggih tidak menjamin penghasilan berita yang baik, sebaliknya kepakaran dan semangat wartawan yang menentukan nilai sesebuah berita.

Sebelum meninggalkan Harian Kompas, Pak Nikson menghadiahi setiap seorang daripada kami dengan senaskah surat khabar Harian Kompas yang baru dicetak pada hari tersebut. Kata beliau, untuk memastikan kelestarian akhbar Kompas, beliau perlu menulis dengan lebih kritis dan mendalam mengenai hal yang berlaku di Medan agar penceritaan itu lebih berkualiti. Cabaranya adalah beliau adalah satu-satunya wartawan yang bertugas di Harian Kompas.

Kunjungan ke media di Medan benar-benar memberi manfaat dan kesedaran kepada kami mengenai perihal kewartawanan yang sebenar.