Sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian keberkesanan aplikasi inovasi digital iaitu AR-Mufradat dan AR-Faseh dalam membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Arab murid sekolah rendah.
Kajian yang dijalankan di Sekolah Rendah Sri (SRI) Al-Amin, Bangi, baru-baru ini, melibatkan 30 murid Tahun Lima dan tiga guru Bahasa Arab.
Inovasi digital berasaskan teknologi Realiti Terimbuh Augmented Reality yang dibangunkan pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr Lily Hanefarezan Asbulah adalah hasil kerjasama bersama Syarikat Wariscan Sdn Bhd diketuai Hilman Nordin.
Ia dihasilkan setelah mengenal pasti masalah murid dalam memahami dan mengingati kosa kata Bahasa Arab yang dipelajari.
Inovasi pertama iaitu AR-Mufradat membantu murid mengingati perkataan Bahasa Arab menerusi aktiviti mewarna.
Hasil karya yang telah diwarnakan akan di scan melalui alat peranti dan akan muncul secara nyata.
Manakala AR-Faseh adalah aplikasi menggunakan perkataan Bahasa Arab seharian yang selari diguna pakai dalam silibus Bahasa Arab Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Sementara itu, guru Bahasa Arab SRI Al-Amin, Nurul Afiqah Mohd Kamil berkata, aplikasi yang menggabungkan objek maya ke dalam dunia realiti membolehkan murid berinteraksi dengan objek maya secara nyata.
"Aplikasi ini telah menarik minat murid-murid untuk belajar dan menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif.
"Selain itu, pembelajaran menjadi lebih seronok kerana mereka memberi sepenuh perhatian ketika menggunakan aplikasi tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, mahasiswa UKM, Muhammad Hakimi Adli Azri yang terlibat dalam siri kajian tersebut melahirkan rasa kagum dengan aplikasi yang dibangunkan pensyarahnya itu.
"Sebagai mahasiswa yang mempelajari bidang Bahasa Arab, kita juga tidak terlepas dengan kemajuan teknologi yang semakin berkembang.
"Menguasai bidang teknologi pendidikan sebegini juga menjadi salah satu nilai tambah sebagai mahasiswa Fakulti Pengajian Islam yang mampu berdaya saing dengan graduan lain di luar sana,” katanya.
INFO
Lima mahasiswa UKM yang terlibat dalam kajian keberkesanan aplikasi inovasi digital ialah Muhammad Haiqal Hassan, Muhammad Hakimi Adli Azri, Fatimah Zahara Abu Abas, Nur Syahiirah Izhan Azihan dan Nur Alya Husna Mohd Asri.
Kesemuanya merupakan mahasiswa tahun akhir Program Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM di bawah seliaan Lily Hanefarezan.
Inovasi digital telah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Inovasi Terbaik (pingat emas) di Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (kNovasi 2020) dalam Siri Bicara Tuntas UKM kategori Teknologi Memuncul dalam Pembelajaran Tanpa Sempadan.
Maklumat Penulis
Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr Lily Hanefarezan Asbulah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my