Sebak imbau ibu bapa 'pergi'

Iklan
Nik Muhammad Raees (kanan) menunjukkan beg baharu pada program CSR ATH Group bersama Mydin di pasar raya itu.

Seorang murid yatim piatu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kutan, Kelantan sebak ketika bercerita mengenai ibu dan bapa yang sudah meninggal dunia ketika usianya masih kecil.

Kongsi Nik Muhammad Raees Nik Rosman, 10, ibu dan bapanya meninggal dunia dalam kemalangan.

Iklan
Iklan

Kata murid tahun tiga itu, dia bersama dua abang kini dijaga nenek dan mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapa saudara mereka.

"Saya seorang yang belajar di sini dan dua abang bersekolah pondok sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membeli pakaian dan kelengkapan sekolah di Pasaraya Mydin pada Selasa.

Iklan

Nik Muhammad Raees gembira kerana dipilih membeli-belah masing-masing sepasang pakaian sukan dan pakaian seragam harian.

"Saya gembira kerana dapat membeli pakaian di sini bersama kawan-kawan lain," katanya.

Iklan

Rakannya, Nur Amani Syafiqah Mohd Faisal, 10, juga teruja dapat membeli kelengkapan dan pakaian sekolah lebih awal.

Nur Amani Syafiqah merupakan anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan pemandu lori dan pembuat air di kedai makan.

"Pakaian baharu ini sebagai persiapan untuk sesi persekolahan nanti (Mac)," katanya.

Menurut Nur Amani Syafiqah, seorang kakaknya masih bersekolah dalam tahun lima, manakala seorang lagi adiknya masih kecil.

Guru dan murid SK Kutan bergambar bersama selepas membeli kelengkapan dan pakaian sekolah.

Sementara itu, Muhammad Amisya Azuki, 10, berkata pakaian sekolah dan kelengkapan itu akan digunakan dalam penggal baharu persekolahan.

"Saya berterima kasih kerana ada pihak yang belanja kami membeli baju sekolah baharu. Hari ini saya beli beg, stoking dan pakaian sekolah," katanya.

Nik Muhammad Raees, Nur Amani Syafiqah dan Muhammad Amisya Azuki merupakan antara tiga daripada 135 murid SK Kutan yang terpilih membeli pakaian dan kelengkapan sekolah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebuah syarikat perumahan ATH Group bersama Mydin di pasar raya itu.

Pengarah Urusan ATH Group, Norlisan Ramzai berkata, setiap tahun mereka melaksanakan program berkenaan bagi membantu golongan miskin dan asnaf.

Tambah beliau, usaha itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa yang mungkin banyak komitmen kewangan.

"CSR seperti ini juga akan dilaksanakan pada Ramadan melibatkan anak yatim dan keluarga miskin," katanya.