Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), sebuah institusi pendidikan milik penuh kerajaan negeri Johor akan terus diperkasakan dalam usaha menjadikannya sebagai institusi terunggul dan bertaraf antarabangsa.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pelbagai usaha sedang dirancang termasuk memperkenalkan KYPJ melalui pengukuhan strategi antarabangsa bersama universiti luar negara seperti China, Singapura, Indonesia, Thailand dan Pakistan.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu prasarana KYPJ seharusnya diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, agar institusi itu sentiasa selari dengan perkembangan teknologi masa kini.
"Selain itu, (melihat) dunia sekarang ini sedang mempergiat inovasi dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), KYPJ juga akan memberi nilai tambah kepada setiap program pengajiannya.
"Ia bertujuan memenuhi kehendak pasaran IR4.0 yang dijangka mengambil tempat dalam tempoh lima tahun dari sekarang," katanya pada sidang media di KYPJ di sini.
Aznan berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM100,000 bagi menaik taraf Internet berkelajuan tinggi secara percuma di KYPJ yang bakal memanfaatkan seluruh warganya sekali gus memberi impak kepada kualiti pembelajaran dan inovasi pendidikan institusi itu.
"Harapan besar saya agar KYPJ kekal relevan, berdaya saing dan terus utuh menyebarkan ilmu," katanya sambil menambah kerajaan negeri mahu KYPJ menjadi pilihan kedua bagi pelajar di Johor selepas universiti awam dan institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Beliau turut menyeru tenaga kerja pengurusan akademik untuk melipatgandakan usaha bagi membolehkan kolej itu menjadi pilihan pelajar dan berjaya mencipta nama di persada pendidikan tinggi negara sebagai antara institusi terbaik di selatan tanah air dan Malaysia khususnya. - Bernama