Pendidikan sentiasa menjadi bidang dinamik, berkembang dengan perubahan masyarakat dan kemajuan teknologi.
Abad ke-21 menunukkan anjakan paradigma dalam pendidikan dengan penggunaan teknologi digital yang meluas. Landskap pendidikan telah mengalami transformasi pesat dengan kemunculan teknologi.
Persekitaran pembelajaran berasaskan bilik darjah tradisional secara berperingkat memberi laluan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik dan fleksibel yang menyatupadukan platform pembelajaran digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Apabila institusi pendidikan beralih ke arah pembelajaran digital, adalah menjadi penting untuk menilai kesediaan penerimaan teknologi untuk memastikan penggunaannya berjalan lancar dan berkesan.
E-pembelajaran sebagai subset dalam teknologi pendidikan merangkumi pelbagai bentuk media elektronik, alatan digital dan platform untuk menyampaikan kandungan pendidikan.
Peralihan kepada pembelajaran digital berkembang cepat berdasarkan beberapa faktor seperti kebolehcapaian internet, penggunaan telefon pintar dan peranti lain yang bersambung dengan pesat dan keperluan untuk pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel.
Berikutan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan tahun lalu oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, oleh itu sebelum pihak sekolah menerima sepenuhnya pendidikan digital diintegrasi di sekolah, maka adalah penting untuk menilai kesediaan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi dalam pendidikan.
Murid daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi akan mengalami kesukaran daan kekurangan akses kepada peranti penting, penggunaan internet berkelajuan tinggi serta mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Oleh itu, sekolah perlu menangani jurang digital ini dengan melaksanakan strategi seperti menyediakan peranti bersubsidi, bekerjasama dengan organisasi badan bukan kerajaan (NGO), komuniti atau mendapatkan pembiayaan kerajaan untuk merapatkan jurang kebolehcapaian.
Salah satu pertimbangan utama dalam menilai kesediaan sekolah untuk pendidikan digital ini ialah kemudahaan infrastruktur teknologi. Ini adalah kerana infrastruktur teknologi yang mencukupi penting untuk pelaksanaan inisiatif pembelajaran digital agar dapat berjalan dengan lancar dan kondusif.
Antara aspek utama untuk dinilai termasuk infrastruktur pencapaian internet sekolah untuk mengenal pasti potensi kesesakan dan memastikan pengalaman dalam talian yang konsisten untuk penggunaan guru dan murid.
Sekolah perlu menilai sama ada mempunyai bilangan peranti yang mencukupi seperti komputer, komputer riba dan tablet untuk menampung keperluan keseluruhan murid.
Selain itu, penggunaan pencapaian peranti dengan platform dan perisian e-pembelajaran perlu dipertimbangkan untuk mengelak isu tidak selaras antara pengggunaan peranti dengan platform dan perisian.
Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) contohnya di Malaysia, Google Crassroom (GCR) merupakan platform yang digunakan oleh guru dan murid sebagai hab pusat untuk menjalankan aktiviti e-pembelajaran.
Malah, pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) telah mendapat Recognition of Excellence 2023 daripada OpenGovAsia, Special Mention: The Inter-Agency Award oleh GovInsider dan Learning Pioneer Country Award 2024-2025, UNICEF.
Guru dan sekolah
Sekolah perlu menilai keberkesanan platform sedia ada atau mempertimbangkan untuk meneroka platform lain yang sesuai untuk menjalankan aktiviti e-pembelajaran.
LMS perlulah mempunyai ciri-ciri mesra pengguna, menawarkan penyepaduan yang lancar dengan alatan pendidikan lain dan menyediakan ciri seperti perkongsian kandungan, penjejakan penilaian dan alat komunikasi yang berkesan.
Menilai kesediaan dan kebolehcapaian kandungan digital adalah penting termasuk menggunakan buku atas talian (e-buku), sumber dalam talian, simulasi interaktif dan kandungan multimedia.
Sekolah juga perlu memastikan bahawa guru dan murid boleh mengakses dan menggunakan sumber ini dengan mudah agar dapat memupuk pengalaman pembelajaran yang berkesan.
Sekolah yang bersedia dari segi teknologi bukan sahaja menumpukan kepada kesediaan infrastruktur tetapi perlu menilai dari aspek pembangunan profesional guru. Ia penting kerana kesediaan guru sebagai penggerak kepada pengintegrasian pendidikan digital.
Guru memainkan peranan penting dalam kejayaan inisiatif ini dan kecekapan mereka dalam menggunakan teknologi bagi memastikan proses pengajaran berkesan.
Mungkin ada segelintir guru yang tidak mahir penyepadukan teknologi kerana teknophobia atau kebimbangan tentang keselamatan pekerjaan. Untuk mengatasi perkara ini, guru memerlukan pendekatan yang komprehensif termasuk program latihan dan peluang bimbingan agar dapat memberi kesan positif e-pembelajaran terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.
Sekolah harus melaksanakan program latihan yang komprehensif untuk meningkatkan literasi digital dan kecekapan guru dalam menggunakan alatan digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Program ini harus merangkumi pelbagai topik termasuk penggunaan LMS, kaedah penilaian dalam talian, penciptaan kandungan multimedia dan sebagainya.
Malah, pihak sekolah juga memerlukan sistem sokongan teknikal yang mantap untuk menangani sebarang cabaran atau isu yang mungkin timbul semasa pelaksanaan pendidikan digital.
Sekolah harus mempunyai pasukan sokongan teknikal yang berdedikasi agar dapat memberikan bantuan tepat pada masanya kepada guru dan murid.
Selain itu, menilai kesediaan pendidikan digital juga melibatkan pemahaman tahap literasi digital murid. Literasi digital merangkumi keupayaan untuk menggunakan alatan digital, menilai secara kritis maklumat dalam talian dan berkebolejan dalam mengemudi landskap digital dengan berjesan.
Sekolah perlu menilai kesediaan keperluan peranti untuk murid, dengan mengambil kira faktor seperti jurang sosioekonomi yang boleh menjejaskan akses. Inisiatif seperti program peranti seperti perpustakaan memberi pinjaman peranti boleh membantu merapatkan jurang digital dalam akses penggunaan teknologi.
Murid perlu mahir dengan platform dan alat dalam talian untuk tujuan e-pembelajaran. Ini termasuk kemahiran menggunakan LMS, mengambil bahagian dalam bilik darjah maya, menyerahkan tugasan dalam talian dan melibatkan diri dalam aktiviti e-pembelajaran.
Sekolah boleh mengadakan sesi orientasi untuk memberi pendedahan kepada murid dengan platform ini serta mempromosikan tingkah laku murid yang bertanggungjawab dan beretika dalam talian untuk kesediaan e-pembelajaran.
Pihak sekolah harus memberi penekanan dalam menggerakkan pendidikan kewarganegaraan digital agar dapat menangani cabaran penggunaan teknologi seperti mengentegahkan pendedahan kepada muris seperti etika dalam talian, celik maklumat dan keselamatan siber. Ini dapat memastikan murid dilengkapi celik maklumat untuk mengemudi dunia digital dengan penuh tanggungjawab.
Pendidikan digital bukan sahaja di persekitaran sekolah, namun melangkaui ruang bilik darjah. Memahami situasi akses internet di rumah untuk murid juga adalah faktor penting untuk tugasan kerja sekolah dan aktiviti e-pembelajaran.
Oleh itu, sekolah perlu bersedia memantau dan memberi pendedahan keselamatan digital kepada murid di luar waktu persekolahan.
Sekolah juga boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan internet atau inisiatif kerajaan untuk memastikan pelajar mempunyai akses internet dengan bayaran harga berpatutan di rumah.
Memandangkan penggunaan telefon pintar yang meluas, sekolah harus meneroka potensi pembelajaran mudah alih. Platform dan kandungan e-pembelajaran harus dioptimumkan untuk peranti mudah alih bagi memudahkan pembelajaran. Ini amat penting untuk pelajar yang mungkin tidak mempunyai akses kepada peralatan komputer atau komputer riba.
Kerjasama dengan NGO, komuniti dan usahawan boleh dilakukan agar dapat membantu jurang digital dalam kalangan murid. Sekolah juga boleh meneroka inisiatif seperti hotspot Wi-Fi komuniti, perkongsian dengan perpustakaan atau program selepas sekolah yang menyediakan akses internet dan sokongan untuk aktiviti e-pembelajaran.
Selain itu, penyepaduan teknologi dalam pendidikan boleh menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan privasi data. Sekolah perlu melindungi maklumat sensitif dan memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan data.
Sekolah harus menilai keselamatan sistem storan data termasuk protokol penyulitan, kawalan akses dan audit keselamatan untuk mengenal pasti dan menangani kelemahan sekiranya ada.
Dasar yang jelas dan telus mengenai pengumpulan, penggunaan dan penyimpanan data murid perlu dititikberatkan.
Sekolah harus menyampaikan dengan jelas dasar ini kepada ibu bapa, guru dan murid agar dapat memastikan mereka mengetahui cara penyimpanan data dan maklumat dikendalikan.
Sekolah juga perlu memupuk perkongsian dengan ibu bapa, memberikan mereka maklumat, sumber dan latihan yang diperlukan untuk menyokong pelaksanaan pembelajaran dalam talian anak-anak mereka.
Malah, sekolah perlu sentiasa mengikuti peraturan perlindungan data khusus untuk pendidikan seperti sentiasa peka dalam mengetahui maklumat terkini berkaitan pematuhan dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) untuk mengekalkan kepercayaan pihak berkepentingan.
Perjalanan ke arah kesediaan pendidikan digital adalah proses yang perlu melibatkan penilaian pelbagai aspek kesediaan teknologi di sekolah. Daripada kemudahan infrastruktur, latihan guru, celik digital pelajar dan keselamatan data, maka setiap komponen ini memainkan peranan penting dalam kejayaan pelaksanaan inisiatif pendidikan digital.
Dalam memperjuangkan kesediaan pendidikan digital yang disarankan oleh kerajaan, sekolah perlu menghadapi dan menangani pelbagai cabaran iaitu daripada isu akses kepada keselamatan siber dan pematuhan peraturan agar setiap cabaran ini memerlukan pertimbangan yang teliti dan langkah proaktif untuk menanganinya.
Pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak berkepentingan seperti guru, murid, ibu bapa, pentadbir dan penggubal dasar adalah penting untuk mewujudkan ekosistem pendidikan digital yang berdaya tahan dan adaptif di sekolah.
Dengan menangani cabaran ini, institusi pendidikan boleh membuka jalan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif, inovatif dan berkesan dalam era digital.
Maklumat Penulis
Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Ts Dr Siti Hajar Halili
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my