Bersediakah Malaysia 2026 hidup tanpa makanan akibat sekuriti makanan dalam negara yang berada pada tahap kritikal?

Iklan
Malaysia pernah menghadapi gangguan bekalan makanan beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, jika sistem sekuriti atau keterjaminan makanan negara masih terus lemah atau diabaikan, adakah kita bersedia untuk menghadapi senario menakutkan ini menjelang 2026, di mana hidup tanpa makanan mungkin bukan lagi sekadar imaginasi, tetapi ancaman sebenar. Gambar kecil: Muhamad Adhwa' Rafid dan Dr Jaharudin

Bayangkan seluruh dunia digegarkan dengan bencana alam yang ekstrim, konflik dan peperangan yang tercetus antara kuasa besar di seluruh dunia serta berlaku ketidaktentuan geopolitik dalam negara yang akan memberi impak besar secara langsung kepada negara.

Rak-rak pasar raya tiba-tiba akan menjadi kosong dan harga barangan asas seperti telur, gula, minyak, gandum, bawang, beras dan sebagainya melonjak naik sehingga tidak mampu dibeli oleh masyarakat biasa. Situasi ini akan menyebabkan seluruh negara, termasuk anak-anak kita, tidak mempunyai bekalan makanan untuk keperluan harian.

Iklan
Iklan

Malaysia pernah menghadapi gangguan bekalan makanan beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, jika sistem sekuriti atau keterjaminan makanan negara masih terus lemah atau diabaikan, adakah kita bersedia untuk menghadapi senario menakutkan ini menjelang 2026, di mana hidup tanpa makanan mungkin bukan lagi sekadar imaginasi, tetapi ancaman sebenar.

Malaysia pada hari ini masih bergantung kepada import luar untuk pelbagai komoditi penting. Sebagai contoh, lebih daripada separuh keperluan asas seperti beras, bawang, gandum dan sebagainya.

Iklan

Foto: Canva

Keadaan ini selari dengan dapatan sektor pertanian negara yang menunjukkan bahawa Malaysia masih belum mencapai tahap mampu diri untuk membuat pengeluaran bekalan makanan yang mencukupi untuk memenuhi jumlah penduduk dalam negara terutamanya, bekalan beras dan bahan makanan asas yang lain.

Iklan

Di samping itu, kita juga dapat nilai import makanan negara yang pernah mencecah berbilion ringgit setahun. Hal ini sekali gus akan menyebabkan aliran keluar pertukaran asing yang sangat tinggi dan meningkatkan risiko sekiranya berlaku gangguan global seperti konflik antarabangsa, kenaikan harga dunia atau masalah logistik. Situasi ini akan menjejaskan bekalan makanan tempatan secara tidak langsung.

Di samping itu, gangguan bekalan makanan seperti telur, minyak masak, bawang, beras dan sebagainya, telah pun berlaku dalam negara pada beberapa tahun yang lepas. Hal ini secara jelas menunjukkan betapa rapuhnya sekuriti makanan negara kita. Ketergantungan yang sangat tinggi bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi tetapi juga akan menimbulkan ketidakpastian untuk rakyat.

Foto: Canva

Dalam konteks sekuriti makanan, situasi ini amat berbahaya kerana sebarang gangguan geopolitik, bencana iklim, pandemik atau sekatan eksport oleh negara pengeksport boleh menyebabkan kekurangan bekalan makanan secara mendadak.

Oleh itu, negara kita perlunya pelan tindakan yang proaktif untuk memastikan negara berada dalam keadaan kesiapsiagaan menghadapi sebarang krisis makanan melalui pengukuhan pengeluaran tempatan, stok simpanan strategik dan kepelbagaian sumber makanan.

Isu lain yang membimbangkan negara juga adalah termasuk kelemahan polisi dan penguatkuasaan. Hari ini, masih banyak kita dapat lihat jualan seperti, ketam betina, ketam bertelur, udang betina, ikan bersaiz kecil dan sebagainya.

Namun, jika kita lihat di negara maju, tindakan ini dianggap sebagai satu kesalahan yang besar kerana ia mampu menjejaskan kelestarian ekosistem serta stok makanan masa depan.

Sehubungan dengan tu, perlunya ada tindakan untuk memastikan kelestarian sumber melalui kawalan penangkapan ikan, pengurangan pembaziran makanan serta penguatkuasaan rantaian bekalan yang lebih sistematik.

Tanpa kawalan yang tegas, eksploitasi sumber makanan hari ini akan mampu menyebabkan krisis bekalan yang lebih parah pada masa hadapan. Anak muda juga perlu bersuara untuk memperkukuh lagi polisi makanan yang lebih lestari.

Berikutnya, isu dalam negara, termasuklah cabaran sekuriti makanan Malaysia juga melibatkan eksport dan hak cipta.

Produk makanan tempatan contohnya keropok dan sebagainya bukan sahaja dieksport ke luar negara, malah ada pihak luar yang cuba meniru produk tersebut dan menjualnya kembali, termasuk ke pasaran Malaysia dengan harga yang sangat murah.

Situasi ini akan menyukarkan pengeluar tempatan untuk bersaing dan mengekalkan penguasaan terhadap makanan dalam negara.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengeluar, tetapi juga memberi impak negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Foto: Canva

Teknologi moden juga boleh menjadi penyelamat kepada sekuriti makanan negara. Penggunaan dron, sensor tanah, sistem pengairan pintar, dan analisis data akan membolehkan petani untuk membuat keputusan dengan lebih tepat dan mengurangkan pembaziran.

Inovasi seperti tanaman hidroponik dan aquaponik membolehkan pengeluaran makanan walaupun di kawasan bandar atau kawasan terjejas disebabkan oleh perubahan iklim.

Namun, teknologi sahaja tidak mencukupi ia juga perlu kepada polisi yang menyokong pengeluaran tempatan dan perlindungan sumber makanan tetap diperlukan.

Namun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Hal ini kerana, ia perlunya disokong oleh dasar yang konsisten, insentif kepada petani dan penternak, serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Oleh itu, perlunya ada tindakan yang lebih agresif seperti menggariskan penggunaan teknologi IoT, automasi, pertanian pintar dan mitigasi perubahan iklim bagi memastikan sistem makanan negara lebih stabil, mampan dan berdaya tahan terhadap sebarang ancaman krisis masa depan.

Krisis makanan bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Anak muda perlu terlibat dalam memperjuangkan dasar yang lebih efektif, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembaziran makanan dan menyokong pertanian yang lestari.

Langkah-langkah kecil seperti membeli hasil tempatan dan mengurangkan pembaziran boleh memberi impak besar dalam memastikan bekalan makanan lebih stabil.

Oleh itu, Malaysia perlu memperkukuh lagi kerjasama antarabangsa dalam pertukaran teknologi, perlindungan hak cipta makanan, dan pembangunan kapasiti tempatan.

Sistem stor simpanan strategik, insurans pertanian dan pengurusan risiko bencana alam adalah antara langkah yang penting untuk memastikan negara untuk terus mampu bertahan dalam situasi darurat.

Tanpa langkah-langkah ini, ketergantungan import dan kelemahan polisi boleh membawa Malaysia ke ambang krisis makanan yang serius.

Selain itu, sektor pertanian juga tidak boleh lagi dilihat sebagai sektor yang lapuk dek zaman atau kurang menguntungkan.

Sejarah ekonomi Malaysia banyak menunjukkan bahawa ketika negara menghadapi krisis, sektor pertanian sering menjadi penyelamat utama serta kekuatan negara dengan menyediakan makanan, peluang pekerjaan dan kestabilan sosial.

Walaupun sumbangannya kepada KDNK terlihat semakin menurun, peranannya dalam menjamin keselamatan makanan negara masil kekal berada pada keadaan yang sangat kritikal.

Foto: Canva

Oleh itu, usaha memperkukuh sekuriti makanan haruslah dilihat secara lebih menyeluruh iaitu merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan keselamatan negara.

Tanpa reformasi secara menyeluruh terhadap dasar makanan, pengurusan sumber dan penglibatan generasi muda, Malaysia berisiko berdepan dengan krisis makanan yang lebih serius.

Persoalan 'hidup tanpa makanan' mungkin kedengaran ekstrem, namun tanpa tindakan hari ini, ia boleh menjadi realiti pahit pada masa hadapan.

Walaupun Malaysia tidak berada pada tahap yang krisis kebuluran seperti yang berlaku di negara konflik iaitu negara Somalia atau Yaman, pengalaman negara-negara tersebut telah membuktikan bahawa kegagalan mengurus sistem makanan, ditambah dengan krisis global, boleh membawa implikasi yang begitu dahsyat kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Menjelang 2026, isu sekuriti makanan menjadi persoalan kritikal bagi kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Tanpa tindakan segera dalam memperkukuh pengeluaran tempatan, memperbaiki polisi dan penguatkuasaan, serta melibatkan generasi muda secara aktif, Malaysia berisiko menghadapi kekurangan makanan yang serius.

Persoalannya kini: adakah negara benar-benar bersedia menghadapi masa depan yang penuh ketidakpastian?

Jika tidak, apa yang kita saksikan hari ini hanyalah permulaan kepada masalah yang lebih besar.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhamad Adhwa' Rafid Rosli

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my