Memetik kata-kata Profesor Syed Naquib Al-Attas dalam bukunya Islam & Secularisme tentang ilmu. Ilmu diperolehi daripada maklumat yang benar dan memberikan makna kepada diri seseorang.
Oleh itu, seharusnya ilmu akan tercermin pada tingkah laku dan perwatakan seseorang. Justeru, kita akan dapat lihat perbezaan antara orang yang berilmu dan tidak berilmu.
Pada hari ini, masalah sosial berkaitan akhlak sudah menjadi isu bersama. Ilmu dan pendidikan yang baik dianggap sebagai asas dan teras kepada peribadi seseorang.
Namun pada hari ini, kita mendapati sesetengah masalah bekaitan akhlak dan moral berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berilmu pengetahuan.
Permasalahan ini makin meruncing dengan kemajuan teknologi maklumat yang berupaya menyampaikan segala berita dalam masa yag amat singkat. Maklumat beredar tanpa kawalan dan sempadan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah masyarakat terutamanya golongan muda yang baharu mengenal"dunia”. Lalu persoalan yang timbul ialah di manakah nilai ilmu dan pendidikan yang diperoleh?
Persoalan tindakan menyalahi pengetahuan bukan sahaja masalah pada masa kini, malah telah wujud sejak berkurun lama.
Ketika zaman Yunani lagi, masalah ini dikenali sebagai akrasia iaitu seseorang yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pertimbangan akalnya sendiri. Bagi Socrates, orang yang sedemikian pada hakikatnya tidak boleh dikira berilmu kerana ilmu adalah sifat bagi diri. Bagi Aristotle orang itu masih dikira berilmu kerana perbuatan yang menyalahi ilmu itu tidak mengubah keyakinannya bahawa ia suatu kesalahan.
Ilmu tanpa amal, di mana salahnya?
Seperti kata Hamka;"Iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi, ilmu tanpa iman bagaikan api di tangan pencuri.” Islam memandang berat masalah ilmu yang tidak diamalkan. Buktinya terdapat banyak sekali hadis yang mencela orang-orang yang berilmu tetapi tidak memanfaatkan ilmunya, iaitu tidak mengamalkannya untuk kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.
Antara hadis yang sering disebut adalah hadis yang membandingkan ilmu yang tidak diamalkan seumpama pohon yang tidak berbuah, manakala hadis yang lain pula menyebut bahawa di akhirat kelak ilmuwan yang tidak beramal dengan ilmunya akan ke neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Perkataan-perkataan ini adalah sebahagian kecil daripada contoh-contoh yang menunjukkan bahawa tujuan sebenar ilmu itu adalah untuk diamalkan dan apabila ia tidak diamalkan maka suatu kerosakan besar boleh berlaku.
Seharusnya ilmu yang bermanfaat itu mampu membentuk peribadi mulia yang terzahir pada cara berfikir, tindakan dan percakapan serta perwatakan. Ketidaksetaraan antara ilmu dan peribadi perlu menjadi perhatian semua pihak. Kekurangan amalan kepada ilmu yang ada, jika tidak disantuni sebaiknya akan menjadi barah kepada kesejahteraan masyarakat.
Mengapa pendidikan yang diperolehi tidak mampu melahirkan peribadi-peribadi unggul dan mulia? Mengapa golongan berpendidikan mempunyai perilaku yang tidak boleh diterima akal?
Tingkah dan percakapan yang tidak dapat dikawal seringkali meninggalkan kesan yang buruk dan berpanjangan terutamanya bagi yang mendengar secara langsung. Benarlah kata orang-orang tua;"terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya”.
Bukan salah ilmu pengetahuan
Kata pepatah Melayu, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Pepatah ini mempunyai mesej yang sarat iaitu semakin banyak ilmu atau semakin tinggi pangkat seseorang, semakin beliau merendah diri.
Itulah nilai ilmu yang terletak pada penghayatannya. Ini bermakna, orang yang berhikmah akan sentiasa belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan diri dan peribadi. Ilmu yang baik dan peribadi yang unggul akan sentiasa menjadi legasi kepada keluarga, agama dan negara.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program yang ditawarkan oleh OUM, boleh layari https://www.oum.edu.my/ atau hubungi Talian Pantas 03-7801 2000 / 012-303 9935 atau e-mel kepada enquiries@oum.edu.my.
Maklumat Penulis
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Dr Hamidah Mat. Beliau juga merupakan pengarah bagi program pasca siswazah di OUM iaitu Postgraduate Diploma In Islamic Studies (PGDIS) dan Master in Islamic Studies (MIST). Kedua-dua program ini direka bentuk dengan adunan pengetahuan agama Islam klasik dan kontemporari yang memenuhi keperluan asas dan lanjutan bagi bidang Pengajian Islam.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my