Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Arab Saudi dan Turkiye, akan mengukuhkan lagi potensi Malaysia sebagai pemain utama sektor pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa khususnya di rantau Asia Barat.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu juga membuka peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala dengan kedua-dua negara dalam bidang pendidikan tinggi.
Menurut KPT, penyertaan Malaysia di persidangan Inisiatif Keupayaan Manusia (HCI) di Arab Saudi dan Forum Diplomasi Antalya (ADF) 2024 di Turkiye yang bakal membantu melebarkan ruang bagi merancakkan program mobiliti pelajar, tenaga akademik, penyelidik, anggota pentadbiran serta kepimpinan sektor pendidikan tinggi negara.
Zambry mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi dari 27 hingga 29 Februari dan Turkiye dari 1 hingga 3 Mac ini bagi memenuhi jemputan rakan sejawat beliau iaitu Menteri Pendidikan Arab Saudi, Yousef Abdullah Al-Benyan untuk menghadiri HCI di Riyadh.
HCI adalah persidangan antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin dan pemikir global terdiri daripada penggubal dasar, sektor korporat, pelaburan dan akademik untuk menghasilkan potensi, memangkinkan kerjasama antarabangsa serta memaksimumkan daya tahan dalam bidang pembangunan keupayaan manusia.
Bertema #FutureReadiness, KPT berkata, Zambry akan menyertai sesi panel bersama Al-Benyan bagi mengupas persoalan berkaitan sistem pendidikan dan asas yang diperlukan bagi memupuk tenaga kerja yang berdaya tahan masa kini.
Beliau juga dijangka menyentuh mengenai pembangunan pendidikan tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Kenyataan itu menyebut Zambry juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Arab Saudi, Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar dan Menteri Pendidikan Bahrain selain lawatan kerja ke King Abdul Aziz University Jeddah serta sesi perjumpaan dengan beberapa rakan strategik pendidikan tinggi di Arab Saudi.
Beliau kemudian dijadual melakukan lawatan kerja ke Turkiye bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima jemputan untuk menghadiri serta menyampaikan ucaptama di ADF 2024 di Antalya.
ADF 2024 adalah persidangan ketiga yang dianjurkan oleh Turkiye sebagai platform diplomasi antarabangsa serta diskusi intelek oleh united minds dunia dalam menangani cabaran global dan serantau.
Menurut kenyataan itu, semasa di ADF 2024, Zambry akan menyertai sesi panel bersama Menteri Luar Bangladesh Hasan Mahmud, Menteri Luar Sri Lanka Tharaka Balasuriya dan Timbalan Menteri Luar Vietnam Nguyen Minh Hang.
Panel itu dijangka membicarakan kesiapsiagaan rantau Asia Pasifik dalam mendepani isu rentas sempadan seperti perubahan iklim, keselamatan maritim dan keganasan serta kesan pembangunan digital dan teknologi baharu.
KPT berkata, Zambry juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.
Selain itu, Zambry akan ke Istanbul untuk menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia dengan empat institusi pendidikan tinggi Turkiye iaitu Universiti Karabuk, Universiti Yildrim Beyazit Ankara, Universiti Dicle dan Universiti Teknikal Gebze.
Turut disaksikan ialah MoU antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dengan beberapa universiti di Istanbul. - Bernama