Cabaran pendidikan 2024

Iklan
Pendidikan dapat melahirkan pelajar yang akan menggunakan ilmu pengetahuan dipelajari untuk hidup berdikari dan membina serta mereka cipta peluang pekerjaan sendiri. Gambar hiasan

Baru-baru ini saya menerima undangan daripada Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pembentang dalam satu majlis wawancara mengenai Kepimpinan dalam Pendidikan: Cabaran 2024. Peserta terdiri daripada guru-guru besar sekolah seluruh Kuala Lumpur.

Terdapat lima perkara yang saya utarakan. Pertama, kepentingan latihan kepimpinan diterapkan daripada awal dalam kalangan bakal guru kerana mereka akan dipertanggungjawabkan memimpin anak murid dan sekolah.

Iklan
Iklan

Kedua, dalam mendidik seseorang, falsafah pendidikan saya idamkan bagi Malaysia adalah pendidikan itu dapat melahirkan pelajar yang akan menggunakan ilmu pengetahuan dipelajari untuk hidup berdikari dan membina serta mereka cipta peluang pekerjaan sendiri. Bukan bergantung harap kepada belas ihsan orang lain untuk memberi pekerjaan kepada mereka.

Pada hemat saya, ilmu yang dididik itu jadi gagal sekiranya pelajar tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya untuk dia hidup berdikari dan mencari punca pendapatan sendiri.

Iklan

Ketiga yang saya perincikan adalah cabaran menanti pendidik pada 2024 dan jenis kepimpinan VUCA (volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity) dalam pendidikan yang diperlukan bagi menangani cabaran tersebut. Situasi semasa yang tidak menentu dengan persekitaran sangat kompleks dan mencabar memerlukan seorang pemimpin dalam bidang pendidikan yang versatil dan mempunyai ketahanan diri kental.

Perkara keempat, saya ungkap kembali cabaran sedia ada yang masih belum diatasi pemimpin tertinggi sektor pendidikan hari ini terutama dalam menentukan rakyat di kawasan desa mendapat pendidikan terbaik.

Iklan

Saya difahamkan masih terdapat sekolah di pedalaman yang tiada kemudahan elektrik mahupun capaian internet. Begitu juga saya difahamkan hampir 65 peratus sekolah rendah di seluruh negara atau lebih kurang 5,772 sekolah berada di kawasan luar bandar.

Dengan data maklumat seperti di atas, mana mungkin kita dapat mencapai perkara kelima yang saya sebut pada hari tersebut iaitu pendemokrasian dalam pendidikan negara bagi mencapai kualiti dan matlamat dihajatkan oleh semua. Ia cabaran penting yang telah dirintih lama oleh rakyat dan saya pasti telah terkandung dalam pelbagai rancangan lima tahun Malaysia sebelum ini untuk diselesaikan.

Lebih menyedihkan, pada majlis tersebut saya dimaklumkan dalam peperiksaan subjek Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun lalu yang baru diduduki, terdapat beberapa pelajar tidak hadir. Tidak pasti berapa jumlahnya di seluruh negara.

Tanpa kelulusan dalam Bahasa Melayu, bermakna mereka telah sengaja menggagalkan diri. Kenapa perkara itu boleh berlaku hari ini? Adakah generasi hari ini terlalu terpengaruh dengan pempengaruh media sosial sehingga semuanya ingin menjadi seperti mereka dan berasakan mereka tidak perlu ambil SPM? Di mana ibu bapa pelajar berkenaan?

Dalam sesi soal jawab selepas pembentangan saya pada hari tersebut, seorang guru besar melahirkan kebimbangannya, dengan apa yang beliau sifatkan sebagai pelajar tiada hala tuju kerana mereka tidak ada peperiksaan atau ujian perlu diduduki untuk dinilai di sekolah rendah dan menengah rendah.

Pada 1 Februari lalu, wartawan Sinar Harian telah menulis analisis bertajuk ‘Acuh tak acuh belajar kerana tiada sasaran’. Benarlah seperti saranan wartawan itu yang melaporkan ramai pengguna media sosial menggesa kerajaan agar meneliti semula keperluan mewujudkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan dan Pentaksiran Tingkatan Tiga kerana ia amat membantu murid membuat persediaan lebih rapi.

Untuk lebih memahami isu tersebut, saya bertanya kepada beberapa rakan karib saya yang menjadi pendidik. Ada antara mereka di universiti, di sekolah kebangsaan dan sekolah swasta. Rata-rata mereka bersetuju ada keperluan untuk ujian yang standard, berwibawa dan seragam di seluruh negara diperkenalkan kembali.

Menurut Profesor Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohamad:"Kita tidak perlu mengikut model negara-negara maju lain. Kita perlukan model pendidikan kita sendiri. Kita harus melihat kemampuan guru kita dalam memberi pendidikan kepada pelajar. Bukan semuanya mampu menjadi pendidik yang dapat memberi tahap pendidikan kreatif dan inovatif.”

Tambah beliau:"Kita masih memerlukan peperiksaan, mungkin kalau tidak untuk semua, masih perlu untuk mata pelajaran penting yang dapat membangunkan kebolehan pelajar seperti Sains dan Matematik, yang lain-lainnya boleh dibangunkan kurikulum yang membantu pembelajaran secara experiential learning.”

Saya sangat bersetuju pandangan sahabat saya itu. Kolum akan datang saya akan kongsi pandangan-pandangan lain yang saya kira penting untuk diberi perhatian semua pihak. Semoga falsafah pendidikan yang saya dambakan untuk Malaysia akan dapat kita realisasikan bersama.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau juga adalah Felo Utama di KITA, UKM, dan pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM