Malaysia sebelum ini menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi seperti yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan 5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA di Hilton Kuala Lumpur bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi Dasar Pandang Ke Timur.
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan lebih 40 tahun ketika dalam sesi temu bual dengan akhbar Asahi Shimbun di Tokyo, 17 Disember 2023 lalu sangat tepat pada masanya apabila turut berminat untuk belajar dari negara China.
Dasar Pandang Ke Timur ini telah banyak memberikan sumbangan kepada negara dalam pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi terutamanya sektor perkilangan dan perindustrian di Malaysia.
Dasar Pandang Ke Timur Malaysia yang termasuk China adalah satu langkah bijak dan wajar memandangkan kebangkitan pesat ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Malaysia merupakan negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974 dan akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan negara tersebut tahun ini.
Manakala dalam ekonomi turut mencatatkan perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah rekod sebanyak RM487.13 billion pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Kerjasama dengan China ini dilihat dapat meningkatkan dalam bidang teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things (IoT), aeroangkasa, automotif, keretapi berkelajuan tinggi, teknologi dron, e-dagang dan logistik.
Malahan, bakal dimanfaatkan dalam bidang-bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
ECRL projek terbesar China di Malaysia
Pelancaran pemasangan landasan pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng ke Dungun, Terengganu menandakan titik permulaan penting pemasangan landasan untuk melengkapkan projek ECRL yang menghubungkan negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 akan memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting dalam memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.
Sebagai sebuah universiti teknologi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang juga salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah dilantik sebagai Universiti Fokal yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) serta subkontrator CCCC bermula pada 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027.
Sehingga kini, UMPSA berjaya melahirkan seramai 780 pelatih dalam program tahap professional dan sijil serta jumlah ini dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan.
Pihak Beijing Jiaotong University (BJTU) terlibat melalui sesi train of trainers (ToT) bagi perkongsian pengetahuan dan teknologi terutama dalam bidang pengangkutan kereta api kepada tenaga pengajar tempatan.
UMPSA turut berkolaborasi dengan BJTU China bagi Program Ijazah Dual membabitkan pengajian selama sembilan semester iaitu dua tahun pengajian di UMPSA dan baki 2.5 tahun di BJTU dalam bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak 2020.
Program ini berjaya menarik minat dalam kalangan pelajar seramai 70 orang telah mendaftar dalam kohort pertama dan kedua program tersebut.
Sebagai komitmen menyokong pembangunan bakat industri pengangkutan rel di Malaysia, UMPSA telah menerima sokongan besar KPT dan badan-badan penajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Memaknakan kepakaran UMPSA dan UMPSA Holdings juga melaksanakan Kajian Kebolehsanaan Pembinaan Spur Line di daerah Pekan, Raub, Lipis dan Rompin dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang hasil kerjasama dengan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang.
UMPSA tubuh Pusat Latihan Rel hasil kolaborasi dengan LZRVTC
Usaha ini turut menyokong terhadap penubuhan Pusat Latihan Rel hasil kolaborasi strategik UMPSA dan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) dalam menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan rel negara serta memperkasa bidang kejuruteraan dan teknologi rel yang menyokong agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
LZRVTC merupakan sebuah institusi pengajian terletak di Guangxi, China yang berasaskan kemahiran berfokus kepada bidang teknologi dan kejuruteraan rel serta menjadi pusat rujukan bagi industri rel di selatan China.
Kolaborasi ini juga memberi peluang kedua-dua pihak meneroka potensi dalam projek ECRL antaranya penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan rel serta kerjasama akademik bentuk pensijilan terbuka dalam bidang ini sebagai nilai tambah terhadap kebolehpasaran graduan bergaji premium.
Kepakaran dan pengalaman UMPSA di bidang teknikal ini begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan projek berkenaan.
Pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
Malahan TVET juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara.
Konsep latihan berbentuk meningkatkan kemahiran sedia ada dan baharu (upskilling dan reskilling) berkaitan dengan bidang rel.
Dalam pada itu, tenaga pengajar bagi program ini terdiri daripada tenaga akademik yang mempunyai pengalaman luas, kompetensi dan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang pembinaan.
Pihak CCCC merupakan kontraktor utama kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) dan LZRVTC, Guangxi, China bagi menjalankan latihan TVET untuk tenaga kerja ECRL yang merupakan projek milik pihak MRL.
UMPSA turut melebar luas kerjasama dengan institusi pengajian di China termasuklah program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta kerjasama strategik dengan Universiti Ningxia (NXU), Baotou Railway Vocational & Technical College (BRVTC) dan Baotou Iron & Steel Vocational Technical College.
Kerjasama ini telah memainkan peranan penting untuk memupuk kerjasama akademik dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China.
Kolaborasi ini telah memberi sumbangan besar dalam memajukan industri pengangkutan rel di Malaysia dan mampu melahirkan jurutera profesional berketrampilan tinggi di bidang ini.
Pastinya pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, berkaitan sebanyak 1,000 kuota ditawarkan kepada lepasan jurusan TVET melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di China, terutama bidang automotif disambut baik bagi memberi peluang dalam kalangan institusi TVET yang ada termasuk UMPSA dan MTUN menerima manfaat ini.
Maklumat Penulis
Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my