Kejayaan manis yang mungkin tidak akan dilupakan sampai bila-bila!
Itulah yang dapat penulis simpulkan atas kejayaan Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang melakar kecemerlangan luar biasa dalam Pertandingan Inovasi Inter-Asasi Matrikulasi (PIITRAM) 2024 di Dewan Tuanku Canselor USIM, baru-baru ini.
Selaku tuan rumah penganjuran PIITRAM 2024, Pusat Tamhidi (Asasi) USIM membawa pulang sembilan pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa serta dua anugerah khas dalam pertandingan tersebut.
Sembilan pingat emas disumbangkan dari projek inovasi pelajar iaitu Non-CFCS Refrigerator; Smart Campus Mobility: Innovating Campus Life With Arduino-Based GPS Tracking; Edible Orange Straws; Pedestrian Traffic Gate (PTG); EGIP dan Bloom Guardian.
Inovasi seterusnya yang meraih pingat emas adalah IFACE Version 1.0: A State of The Art Facial Recognition System for Seamless Attendance Recording; AL-INAS: Model Bahasa Arab untuk Perundangan Islam Melalui Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dan IENROLLHUB: Automasi Sistem Pendaftaran Penyertaan Seminar & Pertandingan Inovasi PIITRAM2024 yang dibangunkan kakitangan akademik Pusat Tamhidi.
Sementara itu, dua lagi inovasi USIM iaitu Smart Campus Mobility: Innovating Campus Life With Arduino-Based GPS Tracking dan IFACE Version 1.0: A State of The Art Facial Recognition System for Seamless Attendance Recording merangkul anugerah khas PIITRAM2024.
Masing-masing menerima Anugerah Khas Projek Paling Kreatif dan Anugerah Pembentangan Terbaik (Dalam Talian).
Dalam pada itu, Smart Campus Mobility: Innovating Campus Life With Arduino-Based GPS Tracking yang dihasilkan kumpulan pelajar Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, USIM merupakan alat pengesan GPS yang membantu penuntut mengesan kedudukan bas di kampus.
Menurut ketua kumpulan, Muiz Irfan, idea membangunkan inovasi itu timbul ekoran mereka (penuntut) sering ketinggalan bas untuk ke kuliah.
"Bas tiba lewat dan bertolak terlalu awal dari yang dijadualkan.
"Oleh itu, inovasi dihasilkan ini dilihat mampu membantu penuntut untuk mengetahui kedudukan bas. Hanya muat naik aplikasi khas ke telefon pintar dan anda boleh menghubungi nombor yang tertera melalui pesanan teks sahaja,” katanya.
Sebanyak 342 produk inovasi menyertai PIITRAM 2024 yang terdiri daripada 224 penyertaan Asasi Universiti Awam, 113 Kolej Matrikulasi dan lima Politeknik (Asasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Profesor Datuk Dr Muhmmad Tauffik Mohd Nor telah menyempurnakan penyampaian hadiah sekali gus merasmikan majlis penutupan PIITRAM 2024.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Pusat Asasi Universiti Awam, Profesor Madya Dr Laili Che Ros dan Dekan Pusat Tamhidi, Profesor Mady ChM Dr Juliana Jumal.
PIITRAM adalah platform terbaik kepada mahasiswa asasi dan matrikulasi dalam menghasilkan reka cipta berteraskan pendekatan inter-disiplin dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) sejajar dengan transformasi pendidikan kebangsaan bagi melahirkan modal insan sangat mahir dan inovatif.