Pendidikan terbaik buat anak Malaysia

Iklan
Azman menyantuni murid sewaktu lawatan kerja di sekolah.

Sesi persekolahan 2024/2025 sudah membuka tirainya dengan menyaksikan pelbagai perancangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memastikan generasi muda khasnya generasi kini terus diberi pendidikan terbaik.

Perancangan-perancangan itu meliputi pelbagai aspek yang memerlukan usaha bukan sahaja daripada kementerian tetapi turut melibatkan kerjasama para guru serta ibu bapa.

Iklan
Iklan

Bagi memastikan segala rencana berjalan lancar, Sinar Bestari sempat menemu bual KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA (KPPM), AZMAN ADNAN bagi mendapatkan penjelasan tentang pergerakan sistem pendidikan bagi sesi baharu persekolahan.

Ikuti temu bual khas wartawan Sinar Bestari, Azleenda Sahaludin secara eksklusif bersama Azman.

Iklan

Azman (kiri) sewaktu ditemu bual wartawan Sinar Bestari di Putrajaya, baru-baru ini.

SINAR BESTARI: Tahniah diucapkan dengan pelantikan tuan sebagai KPPM yang baharu. Boleh kongsikan matlamat dan perancangan buat sektor pendidikan negara khasnya pelajar kita?

Iklan

AZMAN: Kita sememangnya tidak dapat lari daripada bidang pendidikan ini dan fokusnya untuk memastikan kemenjadian anak-anak didik.

Untuk itu, kita rangkumkan dalam lima fokus yang akan dilakukan sepanjang saya berkhidmat di KPM. Yang pertama adalah, kita sedia maklum bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bakal berakhir dua tahun lagi.

PPPM ini merupakan satu dokumen yang sangat penting untuk dijadikan sebagai garis panduan kepada seluruh warga pendidikan bagi melaksanakan semua inisiatif yang berkaitan dengan cara memperkukuhkan dan memperkasakan pendidikan.

Bagi PPPM 2024, kita telah pun melaksanakan beberapa perkara antaranya town hall bagi mendapatkan input serta pandangan daripada seluruh masyarakat.

Yang kedua pula bagaimana cara memperkukuhkan rangkaian pendidikan yang dinamik. Usaha itu bukan sahaja melibatkan pihak kementerian tetapi turut melibatkan semua pihak bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Dengan penglibatan pelbagai pihak ini, kita lihat ia sebagai peluang terbaik untuk memastikan pendidikan dapat terus dipacu daripada institusi pendidikan sama ada dalam dan luar negara.

Yang ketiga adalah berkaitan pengurusan sekolah. Kita akui bahawa terdapat sejumlah 10,232 buah sekolah yang diterajui oleh KPM dan fokus utama adalah memastikan semua sekolah ini dapat diurus dengan sebaliknya berdasarkan dasar serta inisiatif yang digariskan kementerian.

Untuk itu, kita ingin pastikan bahawa para pemimpin yang ada di setiap sekolah adalah pemimpin benar-benar berkualiti.

Selain itu, terdapat juga beberapa program yang akan kita laksanakan bagi membina nilai kepimpinan di peringkat sekolah supaya mereka ini boleh mengupayakan pengurusan sekolah, selain memastikan proses yang melibatkan dasar serta operasi berjalan dengan baik.

Kesannya, murid-murid juga dapat menerima kesan positif terhadap kualiti pendidikan itu sendiri.

Yang keempat adalah inisiatif dari segi kokurikulum oleh KPM. Jadi ingin saya tekankan adalah memperkasakan semua inisiatif tersebut yang berkaitan dengan guru dan murid bagi meningkatkan kualiti organisasi sekolah.

Ia bukan meliputi sekolah sahaja tetapi turut melibatkan kolej Vokasional, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej matrikulasi. Semua ini kita akan kukuhkan supaya Institusi tersebut dapat bergerak dan ditingkatkan kualitinya.

Terakhir adalah nadi kepada institusi pendidikan iaitu guru. Kita mempunyai 400 lebih guru seluruh negara dan penting untuk kita memastikan semua guru ini adalah mereka yang hebat di samping memperkukuhkan keupayaan yang pelbagai.

Kita ingin pastikan bahawa guru-guru ini dapat diberi input yang terbaik melibatkan pelbagai fokus antaranya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), prasekolah, digital dan sebagainya.

Merujuk isu membabitkan jawapan merepek dan kertas jawapan kosong (tidak berjawab) daripada pelajar sewaktu peperiksaan dalam kelas. Ramai berpendapat keadaan itu berpunca daripada ketiadaan peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Pendapat tuan?

Ia bukanlah melibatkan seluruh murid dalam negara dan saya melihat tidak ada kaitan dengan pemansuhan UPSR sert PT3.

Untuk makluman, sistem pendidikan sekarang berdasarkan kokurikulum sedia ada yang mana murid-murid akan ditaksir dan dinilai mengikut pentaksiran yang holistik.

Antara penilaian yang dibuat adalah, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), perkembangan jasmani melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PJASK) dan Psikometrik.

Pentaksiran-pentaksiran sedia ada ini boleh ditingkatkan lagi kualiti pedagogi bagi memastikan semua murid benar-benar menguasai kokurikulum yang dipelajari. Jadi untuk itu, langkah yang dilaksanakan oleh KPM sendiri adalah terus memperkukuhkan kefahaman guru serta ibu bapa berkaitan tentang sistem pentaksiran.

Misi beliau di bawah KPM untuk memastikan setiap murid dan pelajar mendapat kemudahan pendidikan secara optimum.

Boleh tuan perjelaskan mengenai Pendidikan Digital? Mengapa pelajar di Malaysia memerlukannya?

Pendidikan digital ini adalah satu proses yang pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang diberikan kepada anak-anak kita dengan menggunakan pendekatan digital. Kerana itu, dalam Dasar Pendidikan Digital (DPD), kita berusaha untuk memastikan anak didik fasih digital.

Usaha untuk melaksanakan perkara itu juga melibatkan beberapa langkah dan yang pertama sekali adalah untuk memastikan guru-guru kompeten digital.

Jadi pendedahan guru kita kepada aspek berkaitan digital akan diperkukuhkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkenaan teknologi dapat berjalan lancar.

Selain itu, kita juga ingin pastikan bahawa infrastruktur dan infrastruktur berkaitan dengan digital berada pada tahap yang terbaik. Bagi melaksanakan perkara ini, kita bekalkan talian jalur lebar (internet) yang terbaik untuk sekolah dan meningkatkan bekalan tersebut di seluruh negara.

Tidak hanya itu, kita turut melancarkan satu pelantar yang digelar sebagai DELIMA berperanan sebagai sumber ilmu kepada anak-anak berkaitan dengan semua mata pelajaran. DELIMA ini boleh diakses oleh guru dan murid bagi mendapatkan bahan pendidikan termasuklah buku teks digital.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ada bercakap mengenai akaun TikTok kanak-kanak dan akan berbincang mengenainya bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Apakah wajar untuk kanak-kanak memiliki akaun aplikasi itu?

Pada pandangan saya, media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram adalah medium yang memberikan manfaat kepada semua orang termasuklah murid-murid.

Ia kerana, medium ini sekiranya digunakan dengan betul akan mendatangkan manfaat yang terbaik memandangkan platform berkenaan membekalkan banyak sumber pendidikan. Contohnya, anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak tahu akan proses permohonan UPU.

Melalui perkongsian ilmu mengenai perkara ini, sedikit sebanyak membantu mereka menjana ilmu dan kefahaman tentang perkara sedemikian. Oleh yang demikian, saya berpendapat, semua media sosial ini sekiranya diurus dengan betul maka elok kejadiannya. Dan yang paling penting adalah untuk memastikan anak-anak ini mempunyai integriti tinggi dalam menggunakan media sosial.

Di peringkat KPM sendiri sudah mengeluarkan garis panduan penggunaan media sosial kepada guru dan murid. Kita harapkan garis panduan itu dapat dipatuhi dan diikuti.

Berbalik kepada penggunaan media sosial sebagai tempat luahan para guru tentang sistem pendidikan. Boleh tuan berikan sedikit pandangan?

Semua perkara melibatkan isu permasalahan yang berkaitan tentang pendidikan seharusnya diselesaikan dengan medium yang sesuai.

Disebabkan itu, isu-isu berkenaan perlu ditangani di peringkat sekolah kerana penggunaan media sosial sebagai platform luahan boleh memberi impak lain dalam mengurus dan menangani isu tersebut.

Jadi saya mengesyorkan semua perkara yang berkaitan dengan sekolah dikemukakan melalui saluran yang sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membuat gesaan mengenai sistem prasekolah. Kata beliau lagi, Malaysia agak ketinggalan dari segi kemudahan kategori digital prasekolah. Pendapat Tuan?

Seperti yang saya sebutkan tadi mengenai pelantar DELIMA ia merupakan satu platform yang mempunyai bahan sokongan dan boleh digunakan termasuklah anak-anak di prasekolah.

Disebabkan pra sekolah ini mempunyai kokurikulum standard prasekolah kebangsaan, maka kita telah susun banyak bahan-bahan sokongan bagi tujuan PdP termasuklah video dan sebagainya.

Seterusnya dari aspek infrastruktur pra sekolah ini telah kita sediakan setiap kelas dengan rangkaian jalur lebar.

Sebanyak 46 peratus prasekolah telah disediakan dengan kemudahan seperti komputer dan televisyen bagi memastikan anak-anak kita tidak tertinggal dalam menggunakan pendekatan digital.

AZMAN

PROFIL

Nama: Azman Adnan

Umur: 58 tahun

Tarikh lahir: 5 Julai 1965

Isteri: Latifah A Ghani

Anak: 5 orang (4 lelaki, 1 perempuan)

Pendidikan:

- Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Pengkhususan: Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1989)

- Diploma Pendidikan Pengkhususan: Bahasa Melayu & Kesusasteraan Melayu, UKM (1990)

- Ijazah Sarjana Kepengetuaan Pengkhususan: Kepimpinan & Kepengetuaan, Universiti Malaya (UM) (2000)

Pencapaian & Jawatan:

- Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

- Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Malaysia

- Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH)

- Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK)

- Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV)

- Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor)

- Ahli Mangku Negara (AMN)