Terasa bagaikan mimpi apabila bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam peringkat diploma tetapi turut merangkul Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anzenikha Zali, graduan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu menerima anugerah khas tersebut yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPPM) Azman Adnan.
Menurut kenyataan yang diberikan kepada Sinar Bestari, Anzenikha telah terlibat dalam pelbagai bidang antaranya inovasi, seni, penulisan, kepimpinan dan sukan selain turut memperoleh keputusan akademik yang cemerlang.
"Dia pernah mengetuai pasukan sekolahnya dan memenangi tempat pertama bagi kategori persembahan puisi di Festival Seni yang berlangsung secara dalam talian pada awal taun 2022.
"Tidak hanya itu, dia juga mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Penulisan Lagu anjuran Persatuan Never Such Innocence, United Kingdom, pada tahun yang sama,” katanya.
Anzenikha juga pernah berjaya menerbitkan cerpen hasil penulisannya sendiri yang bertajuk ‘Linangkit’ yang merupakan cetusan ilham daripada budaya etnik Dusun di sebuah majalah sastera antarabangsa pada 2021.
Manakala, dari sudut kepimpinan pula dia merupakan salah seorang ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) selain turut aktif dalam sukan memandangkan dia adalah salah seorang pemain bola lisu sekolahnya yang pernah memenangi beberapa kejohanan.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Vokasional tersebut, Nordin Akup meluahkan rasa bangga akan pencapaian Anzenikha yang telah menonjolkan bakat kebolehannya di peringkat diploma.
"Ini membuktikan kegigihan pelajar kolej vokasional yang menggunakan kemahiran dan peluang sedia ada dapat membantu mengasah lagi bakat dan potensi mereka dalam mencapai peluang demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.